backup og meta

Panduan Berpuasa Bagi Pesakit Gastrik

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/02/2022

    Panduan Berpuasa Bagi Pesakit Gastrik

    Puasa menyebabkan pola makan berubah, dari yang awalnya tiga kali sehari menjadi dua kali sehari. Sebab itulah, ramai pesakit gastrik menghidap pedih ulu hati ketika berpuasa. 

    Perubahan pola makan ini menyebabkan terjadinya perubahan fisiologi tubuh, seperti penurunan berat badan pada minggu awal berpuasa, dan peningkatan asid di dalam perut semasa perut kosong, terutamanya di siang hari.

    Asid perut yang berlebihan boleh menyebabkan keradangan perut yang disebut sebagai pedih hulu hati atau dispepsia. Simptom yang boleh berlaku kepada pesakit gastrik antaranya adalah pedih ulu hati, loya, muntah, kembung, dan lain-lain.

    Pedih ulu hati boleh dibahagikan kepada dua jenis: fungsional dan organik. Klasifikasi ini boleh dikenal pasti setelah pesakit melakukan pemeriksaan endoskopi (teropong saluran penghadaman atas).

    Bagi pesakit gastrik organik terdapat gangguan organ penghadaman seperti luka di perut, usus halus, atau organ lain, sedangkan bagu pesakit gastrik fungsional, tiada kelainan yang ditemui.

    Umumnya, pesakit gastrik fungsional dibenarkan berpuasa, sedangkan bagi pesakit gastrik organik, puasa dapat membuatkan keadaannya lebih parah jika tidak diselia dengan baik.

    Berikut merupakan tip yang boleh diamalkan oleh pesakit gastrik agar dapat berpuasa dengan selesa.

    Panduan makanan ketika puasa bagi pesakit gastrik

    pesakit gastrik

    • Pengambilan karbohidrat atau makanan yang lambat dihadam saat sahur, agar anda tidak mudah lapar dan lemas di siang hari.
    • Kurma merupakan sumber yang bagus untuk karbohidrat, serat, kalium dan magnesium.
    • Kacang almond banyak mengandungi protein dan serat dan disyorkan ketika berpuasa.
    • Pisang merupakan sumber bagi nutrien seperti karbohidrat kalium dan magnesium.
    • Makanan yang dipanggang lebih disyorkan berbanding makanan yang digoreng dan berlemak.
    • Makan dalam jumlah hidangan yang kecil tetapi kerap.
    • Makan ketika hampir waktu imsak sewaktu sahur, dan segera berbuka ketika maghrib.
    • Jangan lupa minum ubat yang dipreskripkan oleh doktor sewaktu sahur dan berbuka.

    Panduan minuman semasa berpuasa bagi pesakit gastrik

    pesakit gastrik

  • Minum banyak air putih untuk mengganti kehilangan air semasa berpuasa, iaitu sekitar 8 gelas sehari.
  • Minum segelas susu semasa sahur. Hal ini dapat mengurangkan simptom gastrik dan ulser peptik.
  • Minum air putih, jus buah-buahan yang tidak masam, dan minuman yang mengandungi banyak kalium agar tubuh dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa berpuasa.
  • Perkara perlu dielakkan semasa berpuasa

    pesakit gastrik

    • Elakkan makanan yang dapat meningkatkan asid di dalam perut seperti coklat, makanan berlemak atau yang digoreng, dan buah-buahan yang mengandungi asid seperti limau, lemon, tomato dan lain-lain.
    • Elakkan makanan yang boleh merosakkan dinding perut seperti cuka, lada, makanan pedas, dan serbuk yang merangsang.
    • Jangan langsung tidur setelah makan sahur atau makan malam, kerana hal ini boleh meningkatkan risiko asid perut naik atau GERD.
    • Jangan terus makan dalam kuantiti yang besar ketika berbuka atau sahur, dan jangan menunda berbuka.
    • Elakkan minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, soda dan minuman tenaga.
    • Merokok meningkatkan risiko gastrik dan ulser peptik. Maka bulan Ramadan merupakan masa yang tepat bagi anda untuk berhenti merokok.
    • Alhohol boleh menyebabkan kecacatan injap antara perut dan esofagus sehingga meningkatkan risiko asid perut naik.
    • Elakkan ubat-ubatan yang dapat merengsa perut, seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs).
    • Elakkan stres. Beberapa kajian menyatakan bahawa stres boleh menyebabkan peningkatan asid perut.

    Puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu kewajipan bagi umat Islam.

    Umumnya tubuh manusia akan menyesuaikan diri dengan keadaan yang ada setelah beberapa hari atau minggu awal puasa, sehingga pedih ulu hati yang dirasakan umumnya bertambah baik atau tidak sampai membatalkan puasa.

    Malah, pesakit gastrik fungsional dianjurkan untuk berpuasa kerana ia dapat memperbaiki simptom yang ada, sedangkan pada pesakit gastrik organik atau gastrik kronik dianjurkan untuk berunding terlebih dahulu dengan doktor agar dapat menyesuaikan dos rawatan atau diet ketika berpuasa, sehingga pesakit gastrik boleh berpuasa dengan tenang .

    Kajian menunjukkan bahawa asid perut meningkat sampai kemuncaknya di siang hari, sehingga anda perlu memberi perhatian kepada simptom dan tanda yang berlaku pada waktu itu.

    Agama Islam tidak memaksa anda berpuasa jika tidak mampu, sehingga anda boleh menemui alternatif lain mengikut kemampuan anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan