backup og meta

Suka Makan Pedas Sewaktu Berbuka? Ini RISIKO Yang Akan Jadi Pada Tubuh Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    Suka Makan Pedas Sewaktu Berbuka? Ini RISIKO Yang Akan Jadi Pada Tubuh Anda

    Apabila tiba sahaja bulan puasa, pasti ramai yang sudah menyediakan senarai menu tertentu makanan bulan Ramadan yang ingin dimakan sewaktu berbuka puasa.

    Ada yang gemarkan makanan manis, makanan bergoreng, bahkan ada juga yang gemar makan makanan pedas sewaktu berbuka.

    Namun, adakah kita tahu berkenaan kesan makan pedas ketika perut masih kosong?

    Bulan Ramadan juga dianggap bulan makanan

    Di bulan puasa, ramai yang mengambil peluang ini untuk pergi ke bazar Ramadan bagi mendapatkan makanan bulan Ramadan kegemaran masing-masing.

    Siapa sahaja tidak terliur melihat barisan balang-balang air yang menyediakan pelbagai jenis minuman untuk menghilangkan dahaga setelah seharian berpuasa.

    Ada juga yang mencari makanan-makanan manis seperti kuih-muih untuk dimakan semasa berbuka.

    Bukan itu saja, ada juga peminat makanan pedas yang mungkin mencari hidangan nasi bersama sambal lebih.

    Namun, tidak ramai daripada penggemar makanan pedas ini mengetahui kesan makan pedas pada tubuh mereka ketika perut masih kosong.

    Adakah seseorang itu boleh memakan makanan pedas ketika berbuka puasa?

    Kandungan capsaicin dalam lada

    makanan bulan ramadan

    Tahukah anda, dalam setiap lada atau cili yang anda makan, terkandung kandungan capsaicin di dalamnya?

    Capsaicin ialah sejenis komponen kimia dalam cili yang menyebabkan rasa pedas pada tumbuhan tersebut.

    Apabila anda memakan atau menggigit lada, anda pasti akan berasa pedas pada lidah anda, bukan?

    Ia adalah hasil daripada capsaicin yang ada dalam lada tersebut

    Apabila capsaicin ini bertemu dengan dinding perut anda, ia boleh menyebabkan kesakitan dan juga ketidakselesaan untuk sementara waktu.

    Apa jadi jika saya makan makanan pedas semasa berbuka puasa? 

    Apabila anda memakan makanan pedas ketika perut kosong seperti ketika berbuka puasa, makanan pedas ini akan turun melalui saluran makanan atau esofagus anda seperti satu ‘bebola api’.

    Mengapa ia digambarkan sedemikian rupa?

    Ini kerana ia akan memberi kesan terhadap apa sahaja yang bersentuhan dengannya di dalam esofagus melainkan terdapat sesuatu dalam saluran ini yang bertindak mengurangkan kesan pedas tersebut.

    Jadi, apabila anda benar-benar teringin untuk makan makanan pedas sewaktu berbuka, jangan terus mengambilnya sebagai hidangan pertama anda.

    Makan makanan lain yang tidak pedas terlebih dahulu untuk mengurangkan kesan makan pedas yang mungkin berlaku selepas anda habis makan nanti.

    Apabila perut anda menjadi tidak selesa disebabkan oleh kesan capsaicin yang ada dalam lada, ia boleh menyebabkan perut meragam lalu mengakibatkan cirit-birit.

    Kesan makan pedas ketika perut kosong juga boleh menyebabkan iritasi pada dinding perut yang mengakibatkan kekejangan dan reaksi berasid pada perut anda.

    Sifat lada yang sedikit menyegat ini juga boleh mencetuskan ketidakhadaman dalam perut.

    Kesan makan pedas bertambah buruk jika ada ulser

    makanan bulan ramadan

    Sekiranya anda mempunyai ulser, makan makanan pedas hanya akan membuatkan keadaan tubuh anda menjadi lebih teruk

    Ia bukan sahaja boleh menyebabkan iritasi pada dinding perut, malah juga boleh menyebabkan keradangan pada jangkitan saluran kencing.

    Ia juga tentunya boleh menyebabkan mata dan hidung anda menjadi berair sehingga mendapat keradangan sinus.

    Apa yang boleh saya buat untuk kurangkan kesan makan pedas pada mulut dan juga perut?

    Cuba minum susu. Kenapa susu?

    Susu bertindak sebagai ‘sabun pencuci’ kepada kesan makan pedas yang anda alami.

    Susu boleh membantu melarutkan komponen capsaicin yang ada dalam lada tersebut.

    Hanya susu yang boleh memberikan kesan seperti ini dan air biasa atau air kosong tidak mampu melakukannya

    Susu haiwan mempunyai sejenis protein yang disebut sebagai casein.

    Casein adalah sejenis protein yang ‘sukakan lemak’.

    Oleh sebab itu, ia boleh bertindak seolah-olah sabun pencuci apabila bertemu dengan komponen capsaicin. 

    Tetapi ingat, hanya susu haiwan seperti susu lembu atau kambing sahaja yang boleh mengurangkan kesan makan pedas ini.

    Susu berasaskan tumbuhan seperti susu soya, santan atau susu badam tidak mempunyai kandungan protein casein ini

    Apa yang patut saya makan sebagai pilihan makanan bulan Ramadan?

    kesan makan pedas

    Terdapat beberapa cadangan jenis makanan yang boleh anda amalkan ketika ingin berbuka puasa agar perut anda tidak terganggu.

    Antara amalan pemakanan tersebut ialah:

    • Ketika berbuka puasa, ambil makanan yang ringkas terlebih dahulu agar sistem penghadaman tubuh kita dapat memproses makanan dengan baik dan lancar
    • Makan buah kurma terlebih dahulu. Fruktosa dalam buah kurma akan memberikan tubuh tenaga segera. Selain itu, enzim dalam buah kurma juga boleh membantu dalam proses pencernaan makanan
    • Pastikan anda mengambil makanan yang seimbang dengan kandungan karbohidrat, protein, vitamin dan mineral. Amalkan kaedah Pinggan Sihat Malaysia yang menyarankan pengambilan suku pinggan karbohidrat, suku pinggan sumber protein dan separuh pinggan sayuran atau buah-buahan
    • Pastikan juga anda mengambil air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi
    • Cuba elakkan pengambilan makanan pedas sebagai pilihan makanan bulan Ramadan kerana ia akan menyebabkan ketidakselesaan selepas itu

    Kesimpulan

    Makan makanan pedas sebagai pilihan makanan bulan Ramadan sewaktu berbuka adalah satu pilihan yang kurang tepat.

    Ini kerana, ia hanya akan membuatkan perut anda meragam dengan teruk apatah lagi pada waktu perut anda sedang kosong.

    Jika anda benar-benar ingin makan pedas, cuba makan makanan yang tidak pedas terlebih dahulu untuk mengurangkan kesannya kepada tubuh.

    Anda mungkin berasa nikmat apabila dapat berbuka dengan makanan pedas kegemaran anda, tetapi cuba fikirkan berkenaan kesan makan pedas yang akan dialami selepas itu.

    Adakah anda sanggup menanggungnya?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan