backup og meta

Nak Perut Kempis Lepas Bersalin? Amalkan 3 Cara Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 22/06/2020

    Nak Perut Kempis Lepas Bersalin? Amalkan 3 Cara Ini

    Bukan senang nak turunkan berat badan selepas bersalin. Almaklumlah, para ibu kebiasaannya akan bergelut dengan pengurusan bayi baru dan pada masa yang sama ingin menyesuaikan diri dengan rutin hidup yang baru. Perkara ini akan menyebabkan tekanan perasaan dan emosi kepada si ibu lebih-lebih lagi jika si bapa tidak diberikan cuti paterniti. Anda masih mencari cara kempiskan perut selepas bersalin? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Naik berat badan semasa hamil

    Senang je cakap “kita waktu hamil kena pastikan berat badan hanya naik xx kg” kan? Macam ada satu persamaan matematik pula yang boleh digunakan untuk meramal kebarangkalian seseorang itu untuk kekal “besar” selepas tempoh bersalin. Walaupun mungkin bagi mereka yang kurus, naik berat badan 12 kg itu masih dalam lingkungan nilai kenaikan berat normal namun berbeza pula dengan mereka yang obes. Menurut Panduan Pengamalan Perubatan Klinikal (CPG), kesesuaian jumlah nilai kenaikan berat badan semasa hamil diukur berdasarkan pada jisim berat badan (BMI) seseorang itu.

    • Kurang berat badan (<18.5 kg/m2): 12.5 – 18.0 kg
    • Berat normal (18.5-24.9 kg/m2): 11.5 – 16.0 kg
    • Berat badan berlebihan (25.0 – 29.9 kg/m2): 7.0 – 11.5 kg
    • Obes (30 kg/m2 dan keatas): 5.0 – 9.0 kg

    Berat tambahan yang dipikul oleh si ibu merangkumi:

    1. Berat bayi dan uri
    2. Cecair amniotik 
    3. Tisu payudara
    4. Kenaikan jumlah darah semasa kehamilan
    5. Pembesaran rahim
    6. Penambahan pada tenaga simpanan dalam bentuk lemak badan

    Mereka yang mengalami kenaikan berat badan melebihi apa yang disarankan sering dikaitkan dengan kenaikan risiko untuk mendapat diabetes gestasi dan masalah obesiti kelak. Frasa kata “Biasalah, dah bersalin nanti naiklah badan” merupakan norma perbualan yang mesti diubah memandangkan kegemukan kebiasaannya hadir dengan pakej berbentuk penyakit-penyakit kronik. Susah ke nak kempiskan perut selepas bersalin? Berikut merupakan cara kempiskan perut selepas bersalin yang telah terbukti dengan sains.

    Elakkan diet kilat (crash diet)

    Diet kilat merupakan diet yang dapat menurunkan berat badan anda secara mendadak melalui pengambilan kalori harian pada tahap yang sangat rendah (800-1,000 kalori sehari). Kaedah ini dapat membantu anda untuk menurunkan berat badan dalam masa yang singkat.  Bayangkan jika anda boleh hilang 20 kg berat badan dalam masa seminggu. Siapa tak tertarik untuk mencubanya, kan? Namun begitu gaya pemakanan yang seperti inilah yang bercanggah dengan tujuan pengamalan diet iaitu untuk kekal sihat dalam jangka masa yang panjang. Ia bukanlah cara kempiskan perut selepas bersalin yang efektif dalam jangka masa panjang.

    Selepas melahirkan anak, pengambilan nutrisi yang mencukupi penting buat si ibu bagi memastikan badan mereka dapat sembuh dengan baik. Malahan, jika anda menyusukan anak dengan susu badan, anda mempunyai keperluan kalori harian yang lebih tinggi berbanding dengan wanita lain. Jika diet kilat diamalkan, anda tidak akan mempunyai tenaga yang cukup untuk menjalani rutin harian. Ini akan mengakibatkan masalah kelesuan dan tekanan emosi tatkala melayan teriakan bayi yang tidak diketahui puncanya.

    Jadi, bagaimana cara kempiskan perut selepas bersalin dengan diet? Letakkan matlamat yang realistik. Secara amnya, penurunan berat badan pada kadar 0.5 kg seminggu dianggap normal. Ini boleh dicapai dengan mengurangkan pengambilan 500 kalori daripada jumlah pengambilan kalori harian. Sebagai contoh, seorang wanita memerlukan 2,000 kalori sehari, jika anda ingin menurunkan berat badan, ambil maksimum 1,500 kalori sehari. Menurut, kajian-kajian yang telah dijalankan, jumlah pengurangan kalori tersebut tidak akan memberikan apa-apa kesan negatif terhadap kadar penghasilan susu ibu ataupun tumbesaran anak.

    Amalkan penyusuan badan

    Mungkin ramai yang tahu berkenaan dengan kebaikan susu ibu terhadap sistem pertahanan tubuh dan sebagainya. Namun begitu, ada ke yang tahu bahawa pemberian susu badan kepada anak dapat mengurangkan kebarangkalian untuk si ibu mengalami masalah berat badan berlebihan seusai bersalin? Menurut satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 2011 oleh Universiti Perubatan Duke melibatkan 4,922 individu, mereka yang menyusukan anak sehingga berusia 6 bulan telah mengalami purata penurunan berat setinggi 1.68 kg berbanding mereka yang tidak memberikan susu badan.

    Dapatan kajian ini telah disokong oleh kajian yang melibatkan 36,030 ibu berbangsa Denmark. Menurut kajian tersebut, berat badan pospartum boleh kembali kepada berat badan asal dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan jika si ibu mengamalkan pemberian susu badan. Jika anda mempunyai keadaan kesihatan tertentu yang tidak membenarkan anda untuk memberikan susu badan seperti HIV dan jangkitan hepatitis B, kaedah pengurangan berat badan perlu tertumpu kepada kaedah diet dan peningkatan pada aktiviti fizikal.

    Selain daripada memberikan kebaikan berkaitan dengan perkara yang telah dibicarakan, pemberian susu badan juga mempunyai faedah lain seperti:

    • Menurunkan risiko bagi bayi untuk mendapat jangkitan
    • Membantu mengecutkan saiz rahim ibu dengan lebih cepat
    • Menyokong perkembangan anak melalui pemberian nutrisi yang kritikal buat anak sebelum berusia 6 bulan
    • Menurunkan risiko si ibu untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, kemurungan postpartum, kanser payudara dan kanser ovari

    Ambil makanan tinggi serat

    Kajian yang dijalankan pada tahun 2012 oleh Hairston telah menunjukkan kepentingan mengambil makanan tinggi serat dalam mengawal berat badan individu. Kajian tersebut melibatkan 1,114 orang dewasa dan pada setiap 10 gram makanan berserat yang diambil oleh mereka, jumlah lemak pada perut berkurangan sebanyak 3.7% dalam tempoh 5 tahun. 

    Pengambilan makanan tinggi serat merupakan salah satu cara kempiskan perut selepas bersalin yang berkesan. Ini berikutan peranan serat itu sendiri dalam memperlahankan proses penghadaman menyebabkan penurunan kadar rembesan hormon lapar. Ia juga mengurangkan penyerapan glukosa ke dalam salur darah sekali gus membuatkan aktiviti hormon insulin lebih terkawal, serta mengawal pendepositan lemak badan. 

    Kesannya kepada jumlah pengambilan kalori harian masih menjadi topik perdebatan berikutan terdapat perbezaan pada dapatan kajian yang dijalankan oleh ahli akademik. Namun, ia memberikan kesan fisiologikal yang positif terhadap sistem usus seterusnya menghalang berlakunya masalah kesihatan kronik seperti obesiti dan kanser usus. Jika anda masih tertanya-tanya berkenaan dengan cara kempiskan perut selepas bersalin, inilah salah satu daripadanya.

    Konklusi

    Jika anda keliru berkenaan dengan cara kempiskan perut selepas bersalin, cuba ambil petua di atas dan amalkannya. Ia tidak akan membantu menghilangkan lemak di perut dalam masa seminggu dua, namun jika dilihat atas dasar relevanan, ia merupakan cara kempiskan perut selepas bersalin yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 22/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan