backup og meta

Penyakit Radang Usus (IBD) Menyebabkan Wanita Tidak Subur, Fakta Atau Auta?

Penyakit Radang Usus (IBD) Menyebabkan Wanita Tidak Subur, Fakta Atau Auta?

Penyakit radang usus (IBD) adalah sekumpulan masalah kesihatan yang melibatkan proses keradangan pada organ dalam sistem pencernaan.

Seperti yang kita sedia maklum, laluan penghadaman manusia tidak bermula di perut tetapi di mulut.

Makanan kemudiannya akan dibawa ke perut dan usus kecil untuk diserap masuk nutrisi ke dalam sistem badan.

Bahan makanan yang tidak boleh dicerna akhirnya keluar bersama dengan sisa buangan lain melalui saluran usus besar dan rektum.

Secara amnya, penyakit radang usus merupakan satu istilah umum. 

Proses keradangan dalam sistem pencernaan boleh berlaku di mana-mana lokaliti pada sistem pencernaan.

Antara penyakit yang lazim didiagnosis di bawah kumpulan IBD adalah penyakit Crohn dan kolitis ulseratif (masalah ulser pada usus besar dan rektum).

Artikel ini akan memfokuskan kepada kesan penyakit radang usus terhadap tahap kesuburan wanita. Baca untuk tahu selanjutnya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

Masih lagi menjadi tanda tanya, bagaimana kesuburan wanita boleh dipengaruhi oleh penyakit radang usus?

ibd

Kebanyakan kajian menunjukkan tahap kesuburan bagi wanita yang mempunyai penyakit radang usus adalah dalam lingkungan normal atau hampir normal.

Walau bagaimanapun, ada penderita IBD yang sukar untuk mendapatkan anak.

Bagaimana proses penyakit tersebut menyebabkan penurunan pada tahap kesuburan masih lagi menjadi tanda tanya dan tiada jawapan mutlak pernah dijumpai.

Secara amnya, mereka yang mengalami masalah IBD tidak mengalami sebarang penurunan pada fungsi reproduktif.

Walau bagaimanapun, proses penyakit berbeza bagi setiap individu.

Sebagai contoh, mereka yang mempunyai penyakit radang usus teruk lebih cenderung mengalami masalah ketidaksuburan.

Begitu juga dengan wanita yang menjalani pembedahan tertentu sebagai rawatan bagi masalah IBD yang dialami.

Oleh sebab itulah anda perlu mengambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor terutamanya jika anda merancang untuk hamil.

Mereka yang tidak mempunyai penyakit aktif lebih cenderung untuk melalui fasa kehamilan yang lebih sihat.

Peratusan peluang untuk hamil menurun kesan daripada IBD 

sistem pencernaan

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa kehamilan boleh dicapai hanya jika anda berhenti mengambil ubat IBD.

Hakikatnya, mereka yang berhenti ambil ubat boleh mengalami simptom yang menyebabkan ketidaksuburan berlaku secara tidak langsung.

Sebagai contoh, mereka yang mengalami proses keradangan aktif akibat daripada penyakit Crohn boleh mengalami masalah untuk bersenggama dengan pasangan.

Ini berikutan rasa sakit dan tidak selesa yang disebabkan oleh simptom IBD boleh menurunkan keinginan untuk bersenggama.

Semakin kurang kekerapan seks, semakin rendahlah kebarangkalian untuk kehamilan berlaku.

Oleh sebab itulah penting bagi wanita yang menghidap IBD untuk merancang pelan kehamilan sebaiknya dengan doktor.

Artikel berkaitan:

Bukan sahaja gaya hidup, malah pengambilan ubat perlu ditekankan agar simptom IBD dapat diminimumkan.

Ubat yang digunakan dalam rawatan IBD tidak akan mempengaruhi peluang anda untuk hamil.

Namun, sebelum hamil, anda perlu rujuk doktor memandangkan ada ubat (seperti methotrexate) yang boleh merencatkan perkembangan janin.

Penggunaan ubat steroid juga akan diminimumkan secara berperingkat sekiranya perlu.

Setiap individu mempunyai tindak balas tersendiri terhadap ubat IBD dan kehamilan namun dalam keadaan tertentu, perubahan protokol rawatan perlu dilaksanakan.

Pembedahan IBD boleh sebabkan masalah ketidaksuburan

ibd

Bagi wanita yang menjalani pembedahan anastomosis kantung ileal – anal untuk rawatan kolitis ulseratif, komplikasi ketidaksuburan boleh berlaku.

Menurut kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 oleh Profesor Pembedahan Jeremie H. Lefevre, risiko ketidaksuburan akibat prosedur tersebut adalah di antara 30 hingga 50%.

Perkara ini boleh terjadi apabila parut tisu yang terbentuk menghalang satu atau kedua-dua tiub falopian.

Prosedur pembedahan IBD sebegini boleh menyebabkan pergerakan ovum daripada ovari ke rahim terganggu.

Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang si ibu daripada hamil. Ini bermakna, terdapat kaedah lain yang boleh bantu mendapatkan anak.

Contohnya, rawatan kesuburan persenyawaan in vitro (IVF).

Oleh sebab proses persenyawaan berlaku di luar sistem reproduktif wanita, kejayaannya sama dengan wanita yang tidak mempunyai masalah IBD.

Jika anda mengalami komplikasi akibat pembedahan IBD yang boleh menghalang persenyawaan berlaku secara semula jadi, berbincanglah dengan doktor tentang langkah yang perlu diambil.

Kajian terhadap pembedahan selain daripada anastomosis kantung ileal tidak menunjukkan dapatan yang signifikan berkaitan dengan pengaruh prosedur terhadap kesuburan wanita.

Malah, ada yang mendapati pembedahan yang boleh membantu pesakit mencapai remisi (proses penyakit terhenti) boleh meningkatkan kesuburan wanita.

Kesimpulannya, kunci kejayaan wanita yang menghidap IBD untuk hamil terletak pada keupayaan mereka mengawal simptom penyakit.

Kebanyakan faktor yang mempengaruhi tahap kesuburan berlaku dalam konteks secara tidak langsung, seperti sakit sehingga tidak selesa melakukan hubungan seks.

Oleh itu, jika anda merupakan penghidap penyakit radang usus dan inginkan cahaya mata, dapatkan khidmat nasihat dan rawatan sekarang.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Sex-Specific Issues in Inflammatory Bowel Disease. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4965619/). Diakses pada 13 Julai 2020.
  2. Body image dissatisfaction in patients with inflammatory bowel disease: a systematic review. (https://bmjopengastro.bmj.com/content/6/1/e000255). Diakses pada 13 Julai 2020.
  3. Sexual Function in Persons With Inflammatory Bowel Disease: A Survey With Matched Controls. (https://www.cghjournal.org/article/S1542-3565(06)01056-1/fulltext). Diakses pada 13 Julai 2020.
  4. Determinants of female sexual function in inflammatory bowel disease: a survey based cross-sectional analysis. (https://bmcgastroenterol.biomedcentral.com/articles/10.1186/1471-230X-8-45). Diakses pada 13 Julai 2020.
  5. What Factors Might Drive Voluntary Childlessness (VC) in Women with IBD? Does IBD-specific Pregnancy-related Knowledge Matter? (https://academic.oup.com/ecco-jcc/article/10/10/1151/2605337). Diakses pada 13 Julai 2020.
  6. Female sexual function and fertility after ileal pouch-anal anastomosis. (https://link.springer.com/article/10.1007%2Fs00384-015-2497-y). Diakses pada 13 Julai 2020.

Versi Terbaru

22/09/2021

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Ini 7 Punca Kanser Usus, Kanser Ketiga Paling Lazim Di Dunia! #4 Memang Bahaya

Guna Ubat Cuci Usus Untuk Cepat Kurus, Benarkah Berkesan Atau Mendatangkan Bahaya?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan