backup og meta

Gangguan Sakit Jiwa Ini Adalah Antara Yang PALING SUKAR Dikesan & Dirawat, Cuba Periksa!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/10/2020

    Gangguan Sakit Jiwa Ini Adalah Antara Yang PALING SUKAR Dikesan & Dirawat, Cuba Periksa!

    Anda mungkin pernah mendengar beberapa gangguan personaliti seperti OCPD dan OCD, tetapi pernahkah anda mendengar mengenai gangguan personaliti sempadan.

    Dalam bahasa Inggeris, ia disebut sebagai borderline personality disorder atau ringkasnya gangguan BPD. Ini yang anda perlu ketahui mengenai BPD.

    Ini maksud gangguan personaliti BPD

    Gangguan personaliti sempadan atau BPD adalah gangguan kesihatan mental yang mempengaruhi cara anda berfikir serta merasa tentang diri sendiri dan orang lain, sehingga boleh menjejaskan kehidupan anda.

    Ini merangkumi masalah imej diri, kesukaran menguruskan emosi dan tingkah laku, dan corak hubungan yang tidak stabil.

    Apabila anda mempunyai gangguan BPD ini, anda berasa takut untuk ditinggalkan selain mengalami ketidakstabilan pada emosi anda.

    Anda juga mungkin akan menghadapi kesukaran untuk bersendirian. 

    Gangguan personaliti ini biasanya bermula pada awal dewasa. Keadaannya menjadi lebih teruk pada awal zaman dewasa dan secara beransur-ansur bertambah baik seiring pertambahan usia.

    Sekiranya anda mempunyai gangguan BPD ini, jangan sesekali berasa putus asa.

    Ramai individu yang mempunyai gangguan ini bertambah baik dari semasa ke semasa melalui rawatan yang diterima selain dapat menjalani kehidupan yang lebih memuaskan.

    Ini adalah simptom-simptom gangguan personaliti BPD

    gangguan personaliti

    Gangguan BPD menjejaskan apa yang anda rasa mengenai diri anda, bagaimana kehidupan anda dengan orang lain dan bagaimana tingkah laku anda.

    Antara tanda atau simptom yang menandakan kemungkinan anda mempunyai gangguan BPD:

    • Ketakutan yang kuat untuk ditinggalkan, bahkan melakukan tindakan yang melampau untuk mengelakkan pemisahan atau penolakan yang nyata atau yang sering dibayangkan
    • Corak hubungan erat yang tidak stabil
    • Perubahan yang cepat dalam identiti diri dan imej diri yang merangkumi perubahan matlamat dan nilai, selain melihat diri anda sebagai seorang yang buruk atau seolah-olah anda tidak wujud sama sekali
    • Tempoh paranoia yang berkaitan dengan tekanan dan kehilangan hubungan dengan kenyataan, yang berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam
    • Tingkah laku impulsif dan berisiko, seperti perjudian, memandu secara semberono, seks yang tidak selamat, makan berlebihan atau penyalahgunaan dadah, atau mensabotaj kejayaan dengan tiba-tiba berhenti daripada pekerjaan yang baik atau mengakhiri hubungan yang positif
    • Ancaman atau tingkah laku bunuh diri atau kecederaan diri, sebagai satu tindak balas kepada ketakutan terhadap perpisahan atau penolakan
    • Perubahan mood yang berlaku dalam tempoh beberapa jam hingga beberapa hari, yang boleh merangkumi kebahagiaan, ketidakstabilan, rasa malu atau kegelisahan
    • Perasaan kekosongan yang berterusan
    • Kemarahan yang berlaku tanpa sebab, seperti sering marah-marah, bersifat sarkastik atau bergaduh

    Punca-punca gangguan personaliti BPD

    Sebab-sebab bagi gangguan BPD ini masih tidak difahami sepenuhnya.

    Namun, para saintis bersetuju bahawa ia adalah hasil gabungan beberapa faktor termasuklah:

    • Genetik. Walaupun tidak ada gen atau profil gen tertentu yang terbukti secara langsung boleh menyebabkan gangguan BPD, kajian menunjukkan bahawa individu yang mempunyai ahli keluarga penghidap BPD mungkin berisiko lebih tinggi untuk mengembangkan gangguan tersebut
    • Faktor persekitaran. Individu yang mengalami peristiwa kehidupan traumatik seperti penderaan fizikal atau seksual semasa kecil, atau pengabaian dan pemisahan daripada ibu bapa, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat BPD
    • Fungsi otak. Sistem pengawalan emosi mungkin berbeza pada mereka yang mempunyai BPD, menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan faktor neurologi yang menyebabkan simptom tertentu. Bahagian otak yang mengawal emosi dan membuat keputusan / pertimbangan mungkin tidak saling berkomunikasi secara optimum

    Adakah terdapat rawatan khusus bagi merawat gangguan BPD?

    gangguan bpd

    Terdapat beberapa kaedah rawatan yang boleh digunakan bagi merawat gangguan ini. Ini termasuklah kaedah psikoterapi, ubat-ubatan dan juga kumpulan sokongan. 

    • Psikoterapi. Untuk rawatan pertama bagi gangguan ini, ia biasa melibatkan terapi tingkah laku kognitif (CBT), terapi tingkah laku dialektik (DBT) dan psikoterapi psikodinamik. Bagi perubahan jangka panjang untuk mereka yang mempunyai BPD, mereka akan mempelajari cara-cara untuk mengatasi ketidakaturan emosi dalam keadaan terapeutik
    • Ubat-ubatan. Tidak terdapat ubat-ubatan khusus yang digunakan bagi merawat simptom-simptom utama BPD. Namun, terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh merawat sesetengah jenis simptom. Ini termasuklah ubat penstabil emosi dan antidepresan
    • Kemasukan ke hospital untuk jangka masa pendek. Kaedah ini mungkin diperlukan ketika mana seseorang itu mengalami tekanan yang melampau atau tanda-tanda tingkah laku yang boleh menyebabkan tindakan membunuh diri

    Boleh sebabkan gangguan lain

    Tidak dinafikan, gangguan ini merupakan antara jenis gangguan mental yang paling sukar untuk dikesan dan juga dirawat.

    Selain itu, penghidap BPD juga akan turut mengalami beberapa keadaan atau gangguan mental yang lain seperti gangguan keresahan, gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), gangguan bipolar, kemurungan, dan gangguan pemakanan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan