
Seiring dengan kewajipan pemasangan kerusi bayi dalam kereta bermula tahun 2020, apakah yang berlegar dalam fikiran anda? Mungkin lokasi hendak membelinya? Atau juga mungkin anda mencari alternatif produk lain yang boleh menggantikan kerusi bayi tersebut. Tetapi kami tahu apa yang paling menjadi kerunsingan ramai ibu bapa dan penjaga; iaitu harga car seat bayi ini.
Harga semasa car seat bayi
Kami akui bahawa harga car seat bayi sememangnya mahal dan bergantung kepada jenis dan kualitinya. Kami telah membuat tinjauan di portal beli belah dalam talian terkenal di Malaysia, Shopee, dan mendapati, harga car seat bayi bermula sekitar RM200 hingga semahal RM1000.
Tetapi ada juga kerusi bayi yang dijual dengan harga diskaun, dengan harga sekitar RM100 hingga RM200. Tetapi kami tidak pasti berkenaan tahap kualiti dan keselamatan yang ditawarkan dengan harga semurah itu. Bak kata ramai orang: Made in China.
Kegusaran kelompok berpendapatan rendah
Kami menyedari harga sememangnya menjadi kegusaran pihak penjaga terutama bagi mereka yang berada dalam kelompok B40. Harga car seat bayi yang agak mahal memungkinkan mereka untuk berfikir dua kali, sama ada ingin membelinya dengan harga yang mahal atau berhadapan risiko dikenakan denda atau saman oleh pihak penguatkuasa.
Mungkin ada yang kata, kalau mampu memiliki kereta, mesti juga mampu membeli kerusi bayi. Ternyata tanggapan mudah seperti ini sangatlah silap. Kerana tanggapan ini hanya memandang kepada satu sisi kecil tanpa membuat pertimbangan pandangan daripada sisi lain.
Kebanyakan golongan B40 memiliki kereta atas tujuan memenuhi keperluan keluarga berbanding semata-mata sebagai kehendak. Siapa tahu, kereta itulah yang digunakan untuk mengangkut bahan jualan setiap hari yang untungnya belum tentu besar atau kecil.
Kereta itu jugalah yang digunakan untuk membawa anak-anak mereka yang tidak dapat diangkut dengan menggunakan motosikal. Memiliki kereta tidak bermakna seseorang itu kaya. Jika tidak, masakan masing-masing membayarnya secara ansuran setiap bulan.
Cadangan kami kepada pihak kerajaan, setiap undang-undang atau dasar yang ingin dilulus dan dilaksanakan, perlulah seiring dengan langkah perubahan dan penyesuaian yang secara perlahan-lahan boleh memudahkan semua pihak.
Kempen pembelian kerusi bayi sahaja tidak mencukupi dan langsung tidak membantu realiti semasa kesukaran yang dialami oleh rakyat bawahan.
Kaedah kawalan harga dan subsidi
Perlu ada satu mekanisme yang membantu golongan B40 untuk mendapatkan kerusi bayi dengan harga car seat yang murah. Antara cadangan yang boleh kerajaan pertimbangkan adalah:
Kawalan harga kerusi bayi
Kerajaan perlu menetapkan kadar harga yang bersesuaian agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga car seat bayi disebabkan permintaan yang tinggi. Hal ini perlu mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Subsidi bersasar
Sediakan satu skim atau baucer mudah untuk mereka yang berpendapatan rendah. Ini agar mereka dapat membeli harga car seat bayi dengan cadangan potongan harga sebanyak 30% atau 50%.
Kerajaan boleh mengguna pakai sistem data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebagai rujukan penerima subsidi bersasar ini. Ini perlu diberi perhatian oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Skim potongan harga pengeluar kenderaan
Pengeluar kenderaan juga boleh memainkan peranan dalam membantu pemilik kereta bagi mendapatkan kerusi bayi kereta melalui program subsidi tersendiri. Contohilah BMW Group Malaysia yang bekerjasama dengan Childline Foundation untuk menawarkan subsidi bagi pembelian kerusi bayi.
Mereka menawarkan pemotongan harga sebanyak RM100 bagi setiap pembelian kerusi bayi ‘150 snskidz Ace’ daripada pengeluar Safe ‘n Sound.
Kesimpulan
Penguatkuasaan undang-undang adalah agak mudah berbanding pelaksanaan dasar bantuan yang mengiringi sesuatu penguatkuasaan. Oleh itu, jangan tergesa-gesa dalam menguatkuasa atau meminda satu undang-undang tanpa wujudnya mekanisme yang boleh memudahkan urusan semua pihak.
Beri perhatian kepada kelompok yang mungkin mengalami kesukaran. Bukan semua yang tidak akan memasang kerusi bayi kelak boleh dianggap degil, kerana mungkin ada yang masih menabung untung jualan harian untuk membeli keperluan dapur.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
- Dengan RM100, RM200 & RM300, Barang Dapur Apa Saja Anda Boleh Beli?
- Anda Mungkin Terkejut Lihat Kos Rawatan Untuk 5 Penyakit Ini, Tak Sangka!
- Kos Sebenar Di Sebalik Penjagaan Seorang Bayi Di Malaysia, Jangan Terkejut!
- Berapakah Kos Membesarkan Seorang Anak Di Malaysia?
- Berapakah Anggaran Kos Sebenar Bagi Penghidap Diabetes?
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.