Chlamydia: Jangkitan Kelamin daripada Bakteria

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 24/06/2020 . 5 minit bacaan
Share now

Apakah itu chlamydia?

Chlamydia adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin disebabkan oleh bakteria Chlamydia trachomatis. Anda terdedah kepada risiko untuk mendapat jangkitan ini jika anda melakukan hubungan seks tanpa perlindungan (sama ada melalui faraj, dubur, atau oral) dengan orang yang dijangkiti, baik lelaki mahupun perempuan. Ini kerana bakteria bergram negatif ini hanya mampu membiak di dalam sel-sel manusia. Tambahan lagi, bakteria ini juga merupakan punca buta yang boleh berjangkit dan penyakit jangkitan kelamin bawaan bakteria yang paling lazim. Dianggarkan sekitar 84 juta manusia menghidapi jangkitan mata akibat Chlamydia dan sekurang-kurangnya 8 juta kes buta atau cacat penglihatan.

Bilangan kaum wanita yang menghidap jangkitan ini dikatakan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kaum lelaki. Kaum wanita berusia antara 15 tahun hingga 19 tahun adalah kumpulan umur yang mempunyai prevalens Chlamydia yang paling tinggi. Bakteria ini dapat mengakibatkan penyakit dalam tiga bentuk; penyakit yang membabitkan sistem genitourinari (bentuk yang paling lazim), sistem respiratori (paru-paru) dan juga okular (mata).

Bagaimana untuk tahu jika saya mempunyai chlamydia?

Lazimnya, mereka yang sudah dijangkiti Chlamydia tidak mempunyai sebarang simptom atau merasa diri mereka sakit. Justeru, mereka berupaya untuk menjangkiti orang lain kerana menyangkan diri mereka bersih. Tanda-tanda atau simptom (jika ada) hanya muncul selepas tempoh satu atau dua minggu selepas pendedahan. Perlu diingati, simptom dan tanda jangkitan Chlamydia mirip simptom dan tanda jangkitan Gonorrhea. Memandangkan Chlamydia tidak hanya berlaku di bahagian kelamin dan sistem urinari (sistem genitourinari) sahaja, terdapat simptom-simptom lain yang berkaitan dengan lokasi dan sistem yang dijangkiti. Antara tanda-tanda dan simptom utama yang dialami seseorang yang telah dijangkiti bakteria ini adalah:

  • Rasa sakit sewaktu kencing
  • Rasa sakit di bahagian bawah abdomen
  • Wujud lendiran keluar daripada kemaluan
  • Rasa sakit sewaktu melakukan hubungan kelamin (untuk kaum wanita)
  • Mengalami pendarahan yang tidak teratur (untuk kaum wanita)
  • Rasa gatal pada bahagian faraj (untuk kaum wanita)
  • Rasa sakit pada bahagian testis (untuk kaum lelaki)
  • Rasa sakit, keluarnya lendiran dan juga pendarahan daripada dubur

Bagi kaum lelaki, mereka lazimnya akan mengalami keradangan salur kencing (urethritis) manakala kaum wanita pula lazimnya akan mengalami masalah keradangan dinding pangkal rahim mereka (endocervicitis) Simptomnya juga boleh mirip simptom jangkitan salur kencing (kencing kotor). Seseorang yang menghidapi jangkitan ini juga mungkin akan perasan noda limfa di sekitar bahagian kangkang mereka membengkak. Ini disebut sebagai lymphogranuloma venereum. Jangkitan mata berlaku dalam bentuk konjunktivitis atau trachoma yang boleh berlaku baik dalam orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Jika anda perasan salah satu (atau lebih) simptom-simptom dan tanda-tanda di atas, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor anda. Sekiranya anda mengetahui pasangan seks anda mengalami salah satu (atau lebih) simptom-simptom dan tanda-tanda di atas, anda dan pasangan seks anda turut perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan juga rawatan, walaupun salah seorang tidak mempunyai simptom.

Bagaimana untuk mendiagnosis chlamydia?

Chlamydia boleh didiagnosis melakukan ujian berasaskan DNA menggunakan sampel air kencing atau sapuan faraj pesakit. Contoh ujian-ujian makmal berasaskan DNA yang digunakan untuk menganalisa sampel-sample tersebut adalah ujian amplifikasi asid nukleik (NAATs), ujian reaksi rantaian polymerase (PCR), Chlamydia Rapid Test dan juga strand displacement amplification (SDA).

Selain itu, ujian lain yang mampu untuk memberikan diagnosis jangkitan Chlamydia adalah ujian kultur sel. Memandangkan bakteria ini hanya mampu membiak di dalam sel, untuk melihat kewujudan bakteria ini dalam sampel, ianya akan dikultur di dalam sel binatang atau embrio telur ayam. Namun, kaedah ini adalah sangat rumit, memakan masa dan tenaga. Ianya juga tidak disediakan di banyak tempat. Justeru, kaedah ini kini semakin jarang digunakan berbanding kaedah yang berasaskan DNA yang lebih cepat dan mampu untuk menghasilkan keputusan yang tepat.

Bolehkah chlamydia diubati?

Lazimnya, seseorang yang mempunyai jangkitan Chlamydia akan diuji juga untuk jangkitan kelamin yang lain. Ini kerana seseorang itu turut berupaya untuk mempunyai lebih daripada satu jangkitan bakteria dalam satu masa, selain daripada Chlamydia. Justeru, rejim rawatan yang akan digunakan bergantung kepada usia pesakit, beban penyakit (berapa jangkitan yang ada) dan juga lokasi jangkitan. Lazimnya, ubat antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria ini adalah  azithromycin, doxycycline, erythromycin dan juga ofloxacin. Pasangan anda juga akan dirawat bagi mencegah jangkitan semula di masa hadapan. Perhatian perlu diberikan sekiranya penghidap itu sedang mengandung kerana ada ubat yang tidak boleh diberi.

Bagaimana sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan untuk bakteria ini?

Chlamydia yang tidak dirawat boleh membawa kepada kesan-kesan kesihatan yang serius, khususnya berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif. Dalam sesetengah wanita, apabila mereka tidak menerima rawatan awal dan mencukupi untuk membunuh bakteria ini, sekitar 50% daripada mereka akan terus diajngkiti dan progres kepada jangkitan kronik, dengan tempoh melebihi 1 tahun. Liciknya bakteria ini, ia mampu untuk mengelak daripada sistem imun badan pesakit dan bergerak naik ke atas, ke bahagian dalaman organ dan salur reproduktif. Pendedahan berterusan saluran Fallopian kepada bakteria ini (termasuk antigen yang dihasilkannya) akan membawakan pembentukan parut dan juga masalah integriti struktur saluran Fallopian.

Ia juga mampu untuk mengakibatkan kesan yang sama kepada organ-organ dalaman pelvis, membawa kepada penyakit keradangan pelvis. Justeru, dalam kalangan wanita, ia boleh merosakkan sisterm pembiakan wanita sekaligus membawa kepada masalah kehamilan ektopik, dan juga masalah untuk hamil. Walaupun seseorang itu berupaya untuk hamil, dengan jangkitan oleh bakteria ini, perkembangan bayi yang sihat sepanjang proses tersebut tidak dapat mencapai tahap yang optimum dan mereka terdedah kepada risiko jangkitan mata apabila bersalin.

Lelaki hanya mengalami sedikit komplikasi. Walaupun jangkitan boleh merebak ke buah zakar dan menyebabkan kesakitan, ia jarang memberi kesan kepada kesuburan lelaki. Selain itu, chlamydia yang tidak dirawat dipercayai meningkatkan risiko seseorang mendapat HIV.

Bagaimanakah chlamydia menjejaskan kehamilan seseorang?

Semasa bersalin, jangkitan chlamydia boleh merebak daripada ibu kepada bayinya, hasil daripada proses kelahiran yang melalui faraj. Bayi tersebut akan mempunyai risiko jangkitan mata dan jangkitan paru-paru (pneumonia) yang tinggi. Chlamydia juga meningkatkan risiko seorang ibu yang mengandung itu untuk mengalami kelahiran pramatang. Jika anda hamil, anda dinasihatkan untuk mendapatkan ujian untuk chlamydia secepat mungkin. Diagnosis dan rawatan awal amat membantu mencegah komplikasi kesihatan lanjut.

Bagaimana untuk mencegah chlamydia?

Selain menahan diri daripada seks, terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk melindungi diri anda daripada chlamydia, seperti:

  • Penggunaan alat perlindungan seperti kondom dengan cara yang betul semasa setiap kali melakukan aktiviti seksual dengan pasangan. Walau bagaimanapun, perlu diingati bahawa risiko tidak dapat dicegah sepenuhnya dan dengan penggunaan kondom yang betul sekalipun, terdapat risiko yang sangat kecil untuk seseorang itu masih mampu memberi dan/atau menerima jangkitan ini.
  • Menjauhi aktiviti seks rambang. Mempunyai lebih daripada satu pasangan seks meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap bukan saja Chlamydia, bahkan pelbagai penyakit jangkitan kelamin yang lain. Justeru, jauhi aktiviti-aktiviti seperti seks rambang, seks secara beramai-ramai, parti seks atau melanggan lebih daripada satu pekerja seks dalam satu masa.
  • Menjalani ujian untuk chlamydia dan jangkitan kelamin lain dengan kerap. Walaupun dari sudut teknikal, ini bukanlah sejenis pencegahan namun, pengesanan awal dapat mengelakkan penyebaran kepada orang lain dan mengurangkan risiko untuk berlakunya kecederaan atau kerosakan organ reproduktif dalaman yang teruk. Oleh itu, berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui berapa kerap anda perlu menjalani ujian.
  • Jangan melakukan douche (membilas dalam faraj). Douching boleh mengganggu keseimbangan pH dalaman faraj anda. Penting untuk anda tahu bahawa persekitaran dalaman faraj anda dihuni oleh spesis-spesis bakteria baik yang mengekalkan kesihatan dalaman faraj anda. Bakteria-bakteria baik ini disebut sebagai normal flora dan mereka mampu hidup dan membiak dengan baik dalam situasi dan pH normal persekitaran faraj. Dengan melakukan douching, anda secara tidak langsung mengganggu kestabilan keadaan dan pH dalaman faraj anda. Hal ini seterusnya akan menyebabkan keadaan itu tidak lagi optimum untuk bakteria baik tumbuh sekali gus mengganggu keseimbangan antara bakteria baik dan bakteria tidak baik dalam faraj anda.

Konklusi

Chlamydia adalah jangkitan bakteria kelamin boleh dirawat yang paling kerap berlaku di seluruh dunia. Walaupun ianya boleh dirawat, tidak sepatutnya seseorang itu memandang sambil lewa dan mengambil mudah sekiranya menghidapi jangkitan. Seperti yang telah dibincangkan, kegagalan untuk mendapatkan rawatan awal dan mencukupi akan menyebabkan jangkitan yang kronik dan komplikasi yang tidak boleh diubah semula.

Anda boleh bermula melindungi diri anda dengan mengambil langkah-langkah pencegahan yang telah digariskan dalam artikel ini. Anda boleh juga menambah langkah berjaga-jaga anda dengan memastikan anda atau pasangan seks melakukan saringan dan ujian berkala demi memastikan status anda. Sekiranya anda ada sebarang kesangsian atau ingin mendapatkan maklumat yang lebih, jangan malu untuk berjumpa dengan doktor anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Sebaiknya Sebelum Rancang Nak Hamil, Buat Ujian Penyakit Kelamin! Ini Sebabnya

    Jika anda berada dalam salah satu situasi seperti yang disenaraikan di bawah ini, anda perlu melakukan ujian penyakit kelamin bagi lelaki dan wanita.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Gaya Hidup Sihat, Seks Hubungan, STDs & STIs 15/03/2020 . 3 minit bacaan

    Jangan Pandang Ringan Jika Rasa Sengal Badan Lepas Bersetubuh, Ada Yang Kena Jumpa Doktor!

    Alami rasa ketegangan otot atau sengal badan selepas bersetubuh? Adakah ia bahaya dan didasari masalah kesihatan? Jom ketahuinya dalam perkongsian ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Gaya Hidup Sihat, Seks Hubungan 15/03/2020 . 3 minit bacaan

    Hati-Hati Dengan Simptom Sifilis Ini, Kesan Dirasai Jika Aktif Bersetubuh Tanpa Perlindungan!

    Sifilis adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin yang disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Gaya Hidup Sihat, Seks Hubungan 10/12/2019 . 5 minit bacaan

    Ulser Di Bahagian Kemaluan Yang Tidak Sakit? Jangan Abaikan!

    Ulser biasanya sakit namun jika anda perasan ulser di bahagian kemaluan anda yang tidak sakit, itu tidak bermakna anda tak perlu risau.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Gaya Hidup Sihat, Seks Hubungan 03/12/2019 . 8 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    sakit kelamin

    Orang Muda Lebih Ramai Dapat Sakit Kelamin Chlamydia, Ada 10 Lagi Fakta MENGEJUTKAN

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Nana Muhammad
    Diterbitkan pada 21/07/2020 . 3 minit bacaan
    hepatitis

    Awas! Jangkitan Virus Hepatitis C Boleh Tersebar Melalui Seks Oral, Tapi Bukan Air Liur

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 11/06/2020 . 3 minit bacaan
    wanita hamil

    ‘Main Belakang’ Boleh Buat Wanita Hamil? Ini Risiko Seks Anal Yang Anda Mesti Tahu

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 30/04/2020 . 3 minit bacaan

    “Saya Pancut Luar, Takkan Dapat Penyakit Kelamin”, JANGAN 100% Pasti, Ini Sebabnya!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 17/04/2020 . 3 minit bacaan