backup og meta

Usia Muda BUKAN Jaminan Terlepas Dari COVID-19, Bahkan Boleh Dapat Simptom Lagi Teruk!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/06/2020

    Usia Muda BUKAN Jaminan Terlepas Dari COVID-19, Bahkan Boleh Dapat Simptom Lagi Teruk!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Jika dilihat pada jumlah kes kematian yang berlaku di China pada fasa awal wabak virus korona baharu (COVID-19), kebanyakan individu yang maut adalah mereka yang sudah lanjut usia atau mempunyai penyakit kronik.

    Mereka yang muda seringkali dianggap lebih cenderung untuk mendapat simptom ringan dan boleh sembuh dengan sendirinya. 

    Namun, sejak kenaikan pesat pada jumlah kes positif susulan gelombang kedua jangkitan COVID-19, kita turut menyaksikan peningkatan pada jumlah kes yang berlaku pada mereka yang berusia muda.

    Pesakit termuda di Malaysia kini direkodkan pada usia 12 hari dan kematian termuda telah direkodkan oleh seorang lelaki yang berusia 27 tahun. 

    Keadaan ini telah membuka mata pakar, jangkitan COVID-19 walaupun mempunyai kecenderungan terhadap kumpulan usia tertentu masih boleh menyebabkan simptom teruk pada mereka yang berusia muda.

    Kini, jumlah kes positif COVID dunia hampir mencecah 800,000 individu manakala angka kematian pula sudah hampir dengan 40,000. Situasi di Malaysia adalah seperti berikut:

    [covid_19]

    Kisah kematian pesakit usia muda di Perancis akibat COVID-19

    Perancis kini mempunyai kes positif yang hampir mencecah angka 50,000 individu. Jumlah kematian bagi kes COVID-19 di negara tersebut sudah melebihi 3,000 dan ini termasuk dengan kes kematian remaja yang berusia 16 tahun tempoh hari.

    Pesakit tersebut yang dikenali dengan nama Julie hanya mengalami simptom batuk pada fasa awal jangkitan COVID-19. 

    Pada ketika itu, tiada siapa yang menyangka simptom tersebut disebabkan oleh virus korona memandangkan Julie masih berusia muda.

    covid

    Julie hanya diberikan ubat batuk dan terapi penghiduan wap sebelum dia mengalami simptom sesak nafas pada 21 Mac 2020.

    Apabila simptom batuknya menjadi tidak terkawal ditambah pula dengan masalah sukar bernafas, ibunya, Sabine telah membawa Julie ke klinik.

    Doktor yang bertugas mengesyaki COVID-19 sebagai punca kepada berlakunya simptom tersebut, maka protokol kawalan jangkitan telah diaktifkan dengan kadar segera.

    Pegawai barisan hadapan yang menguruskan kes COVID-19 tiba dan membawa Julie ke hospital berdekatan.

    Apabila dibuat pemeriksaan x-ray paru-paru, tiada tanda yang menunjukkan perkembangan serius dan keputusan COVID-19 adalah negatif.

    Julie dibenarkan pulang namun hadir semula kerana masalah sukar bernafas. Dia telah dimasukkan ke dalam unit jagaan rapi (ICU) sehari sebelum kematiannya. 

    Pada waktu itu doktor yang bertugas keliru lalu beliau membuat semula ujian COVID-19 dan ia menunjukkan keputusan positif.

    Perkara ini amat mengejutkan memandangkan ujian awal jelas menunjukkan ianya negatif. Tahap kesihatan Julie semakin merundum dan dia menghembuskan nafas terakhir pada 25 Mac 2020.

    Pengebumiannya hanya dihadiri oleh 10 individu berikutan protokol bagi mengelakkan penularan virus dan ia merupakan satu pengalaman yang menyayat hari buat Sabine.

    COVID-19, golongan usia muda tidak terkecuali 

    usia muda

    Memandangkan data terbaharu menunjukkan kebanyakan jangkitan dan kes kematian berlaku dalam kalangan orang tua, mudah untuk kita terlepas pandang akan potensi virus ini untuk menjangkiti individu pada usia muda.

    Tanggapan bahawa COVID-19 ini hanyalah selesema biasa atau lebih ringan daripada jangkitan virus korona lain tidak boleh diguna pakai lagi.

    Bilangan kematian dunia hampir mencecah 50,000. Biarpun kadarnya adalah lebih rendah, namun hakikatnya, angka peratusan tidak menceritakan segala-galanya. 

    Biarpun wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) mempunyai kadar mortaliti yang tinggi, ia hanya meragut 800++ nyawa, jauh lebih rendah berbanding dengan jangkitan COVID-19.

    Penggunaan sistem peratusan untuk menerangkan kadar kematian sesuatu jangkitan membuatkan kita alpa. Ia seakan-akan menutup kebenaran di sebalik keterukan wabak pandemik virus korona baharu.

    Kes positif dalam kalangan usia muda semakin meningkat. Sebagai contoh, New York, negeri yang mempunyai jumlah kes yang lebih banyak daripada Perancis dan Korea Selatan. Mereka yang berusia di antara 18 hingga 49 tahun merangkumi 54% daripada jumlah keseluruhan kes.

    Mereka yang berusia 75 tahun dan ke atas hanyalah 8% daripada jumlah kes keseluruhan. Walau bagaimanapun, 50% daripada jumlah kematian merupakan pesakit yang berusia lanjut.

    Risiko untuk mendapat jangkitan virus korona tidak boleh didiskaunkan hanya kerana seseorang itu berada dalam kelompok usia muda.

    Di Malaysia, kes kematian kedua negara melibatkan individu yang berusia 34 tahun tanpa sebarang latar belakang penyakit kronik

    Jika usia 30 tahun ke atas dianggap sudah lanjut bagi sesetengah pihak, di Atlanta, perempuan yang berusia 12 tahun bertarung nyawa menggunakan alat bantuan pernafasan selepas disahkan positif COVID-19.

    Kajian baharu perlu dibuat bagi mengenal pasti sasaran usia bagi COVID-19. Bukan kerana kita tidak percaya tetapi banyak ruang kosong yang perlu diisi apabila ia berkaitan dengan jangkitan COVID-19.

    Konklusi

    usia muda

    Kita bakal menyaksikan jumlah kes positif meningkat melebihi angka 1 juta sekiranya tiada tindakan susulan diambil. Individu yang berusia muda perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang sama dengan mereka yang lanjut usia.

    Tiada diskriminasi pada mereka yang bakal dijangkiti oleh COVID-19. Ia tidak mengenal usia, jantina, bangsa dan agama.

    Perkara yang boleh kita lakukan untuk menghindarkannya adalah dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan, amalkan jarak sosial, pakai topeng muka jika sakit dan basuh tangan sekerap mungkin.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan