backup og meta

Hepatitis, Apa Tu? Kenali ABC Hepatitis Dan Pastikan Diri Sentiasa Dilindungi!

Hepatitis, Apa Tu? Kenali ABC Hepatitis Dan Pastikan Diri Sentiasa Dilindungi!

Penyakit hepatitis bukanlah sesuatu yang baharu dalam hidup kita. Kita selalu baca atau dengar mengenai penyakit hepatitis yang berlaku kepada pekerja restoran ataupun pekerja kesihatan. Tetapi, apa itu hepatitis yang sebenarnya? Apa pula bezanya antara penyakit hepatitis A, B dan C?

Hepatitis merupakan sejenis inflamasi yang berlaku pada organ hati. Setiap tahun, 50,000 orang di seluruh dunia terkesan dengan penyakit ini. Malah, hepatitis juga merupakan punca utama kanser hati dan juga pemindahan organ hati.

Penyakit hepatitis boleh bersifat akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang).

Ada beberapa jenis hepatitis yang dapat menyebabkan jangkitan bersifat akut. Ada juga yang boleh menyebabkan kedua-dua jangkitan akut dan juga kronik.

Disebabkan penyakit hepatitis terbahagi kepada banyak jenis, sukar untuk kita kenal pasti perbezaan di antara semua penyakit ini. Tidak dinafikan, ada juga beberapa jenis hepatitis yang lebih ‘popular’ berbanding yang lain.

Tetapi, tahu nama dan jenis sahaja tidak cukup. Anda juga perlu tahu cara hepatitis merebak dan apa yang anda boleh lakukan untuk melindungi diri daripada penyakit ini.

Sempena Bulan Kesedaran Hepatitis, marilah kita ketahui dengan lebih lanjut mengenai penyakit hepatitis dan jenis-jenisnya.

Apa itu hepatitis dan jenis-jenisnya

apa itu hepatitis

Hepatitis terbahagi kepada 5 jenis iaitu hepatitis A, B, C, D dan E. Kelima-lima jenis hepatitis ini mempunyai simptom yang teruk dan boleh menyebabkan kematian.

Tetapi, di antara lima jenis hepatitis ini, hepatitis B dan C merupakan jenis hepatitis yang paling serius dan boleh menyebabkan penyakit kronik. Ia juga merupakan punca utama sirosis hati dan kanser.

Virus hepatitis A boleh dijumpai di dalam tinja individu yang sakit. Selalunya, hepatitis A disebarkan oleh mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit seperti pasangan suami isteri ataupun ahli keluarga.

Selain itu, hepatitis A juga boleh disebarkan melalui makanan ataupun air yang telah dicemari oleh virus HAV.

Virus hepatitis B pula boleh dijumpai di dalam darah dan cecair badan. Virus ini boleh menjangkiti orang lain apabila darah atau sebarang cecair badan individu yang sakit bertindak memasuki badan orang lain yang tidak mempunyai imunisasi.

Sama seperti hepatitis B, hepatitis C boleh merebak dengan cara yang sama. 

Oleh sebab itu, mereka yang melakukan seks yang tidak selamat atau pernah berkongsi jarum suntikan yang sama amat berisiko untuk menghidap hepatitis B dan C.

Anak juga boleh mengalami hepatitis B dan C jika ibu mereka dijangkiti hepatitis ketika melahirkan anak.

Tidak seperti hepatitis A yang boleh sembuh setelah jangkitan berakhir, penghidap hepatitis B dan C berisiko untuk mengalami jangkitan serius yang berlangsung seumur hidup.

Bolehkah penyakit hepatitis dirawat?

apa itu hepatitis

Buat masa sekarang, tidak ada sebarang rawatan untuk jangkitan hepatitis A. 

Oleh sebab itu, pesakit yang mengalami jangkitan ini perlu banyak berehat, minum air dan mendapatkan nutrisi yang mencukupi.

Anda boleh mendapatkan vaksinasi untuk hepatitis A. Malah, vaksinasi amat digalakkan untuk semua kanak-kanak yang berusia 12-32 bulan.

Selain vaksinasi, penjagaan kebersihan diri juga penting untuk mencegah hepatitis A. Pastikan anda sentiasa membasuh tangan selepas ke tandas dan basuh makanan sebelum masak.

Sama seperti hepatitis A, rawatan untuk hepatitis B juga lebih kurang sama. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, doktor mungkin akan memberikan ubat antiviral untuk mencegah kegagalan hati.

Ubat-ubatan ini amat efektif namun tidak dapat menyembuhkan hepatitis B yang kronik. Oleh sebab itu, pesakit perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat.

Jangkitan hepatitis B boleh dielakkan dengan cara menjauhkan diri daripada aktiviti tidak sihat seperti seks yang tidak selamat dan pengambilan dadah. Vaksinasi juga boleh didapati untuk mengelakkan jangkitan hepatitis B.

Hepatitis C pula merupakan satu-satunya jangkitan kronik yang boleh dirawat, semuanya disebabkan kemajuan dalam bidang perubatan. Pada tahun 1990, kadar kesembuhan untuk hepatitis hanyalah di sekitar 7%.

Kini, hampir 95% penghidap hepatitis C boleh sembuh. Rawatan mungkin mengambil masa 12 hingga 24 minggu. Ubat-ubatannya pula tidak mempunyai kesan sampingan yang teruk.

Walau bagaimanapun, tidak ada vaksin yang boleh diambil untuk penyakit hepatitis C. Sama seperti penyakit hepatitis B, hepatitis C boleh dielakkan jika anda tidak melakukan aktiviti yang berisiko seperti penyalahgunaan dadah.

Kesimpulan

apa itu hepatitis

Kami berharap, pembaca dapat memahami apa itu hepatitis dan jenis-jenisnya secara lebih mendalam melalui perkongsian kali ini. Penyakit hepatitis merupakan sesuatu yang serius dan berbahaya.

Antara simptom yang mungkin pesakit alami ialah demam, keletihan, hilang selera makan, loya, muntah-muntah, sakit perut, urin yang berwarna gelap, tinja berwarna kelabu, sakit sendi dan juga jaundis.

Lebih teruk lagi, hepatitis yang kronik tidak mempunyai sebarang simptom dan hanya boleh dikenal pasti setelah pesakit mengalami jangkitan yang serius.

Oleh sebab itu, pastikan anda jaga kebersihan diri dan ambil vaksin untuk mencegah hepatitis. Fahami juga risiko hepatitis di tempat kerja anda supaya sebarang jangkitan dapat dielakkan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. CDC. 2020. The ABCs of Hepatitis – For Health Professional . Accessed May 25, 2021. https://www.cdc.gov/hepatitis/resources/professionals/pdfs/abctable.pdf.
  2. CDC. 2020. What is Viral Hepatitis. July 28. Accessed May 25, 2021. https://www.cdc.gov/hepatitis/abc/index.htm.
  3. Hep B Blog. 2019. What’s the Difference: Hepatitis A vs Hepatitis B. January 16. Accessed May 25, 2021. https://www.hepb.org/blog/whats-difference-hepatitis-vs-hepatitis-b/.
  4. Immunize. 2020. Hepatitis A, B and C: Learn the Differences . Accessed May 25, 2021. https://www.immunize.org/catg.d/p4075.pdf.
  5. MedlinePlus. n.d. Hepatitis. Accessed May 25, 2021. https://medlineplus.gov/hepatitis.html.
  6. UNC Health Talk. 2017. What’s the Difference Between Hepatitis A, B and C? November 21. Accessed May 25, 2021. https://healthtalk.unchealthcare.org/whats-the-difference-between-hepatitis-a-b-and-c/.
  7. WHO. 2019. Hepatitis. September 1. Accessed May 25, 2021. https://www.who.int/news-room/q-a-detail/hepatitis.

Versi Terbaru

22/09/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Siti Sofiah


Artikel Berkaitan

Bukan Hanya A & B Sahaja, Tahukah Anda Hepatitis Sebenarnya Ada 5 Jenis?

Dalam Banyak Jenis Hepatitis, Jenis B Adalah Yang Paling Bahaya. Kenapa?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 22/09/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan