Adakah penyakit kucing berjangkit pada manusia? Ya! Ini termasuklah jangkitan kurap kucing pada manusia. Apakah cara menghilangkan kurap kucing pada manusia yang berkesan? Ikuti kupasannya di sini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Penyakit Berjangkit, anda boleh klik di sini.
Apakah yang dimaksudkan dengan kurap?
Kurap adalah nama biasa bagi sejenis jangkitan kulat yang berlaku pada kulit, rambut, dan juga kuku.
Jangkitan kurap boleh berlaku pada manusia dan semua spesies haiwan peliharaan termasuklah kucing anda.
Organisma yang menyebabkan jangkitan kurap ini tergolong dalam kumpulan kulat khusus yang dikenali sebagai dermatophytes.
Oleh sebab itu, nama penyakit ini dalam dunia perubatan disebut sebagai dermatophytosis dan memerlukan cara merawat kurap pada manusia yang tepat.
Bagaimana kucing boleh mendapat jangkitan kulit ini?
Bagaimana jangkitan kurap ini boleh menyerang kucing lalu merebak kepada manusia?
- Kucing anda akan mendapat kurap dengan cara bersentuhan dengan kucing lain yang dijangkiti atau berada dalam persekitaran di mana kurap membiak.
- Kemudian, ia akan memindahkan atau merebakkan kurap tersebut kepada kucing lain dan mungkin tuannya.
Perkara ini lebih mudah berlaku jika rumah anda mempunyai beberapa ekor kucing.
Ini kerana ia boleh merebak melalui folikel rambut dan kulit yang dijangkiti, yang dibuang secara semula jadi oleh kucing.
Kurap lebih kerap berlaku pada kucing yang lebih muda dan kucing berbulu panjang.
Ini kerana kucing yang muda (bawah satu tahun) lebih mudah terdedah kepada jangkitan kerana sistem imun mereka tidak berkembang sepenuhnya.
Kucing berbulu panjang pula mempunyai tempat pembiakan kurap yang sempurna dalam bulunya kerana spora kulat boleh terperangkap dengan lebih mudah dan lebih sukar untuk dikeluarkan.
Bagaimana kurap kucing pada manusia boleh berjangkit?
Adakah penyakit kucing berjangkit pada manusia?
Kurap sangat berjangkit dan penularan mudah boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan kulat tersebut.
Ia boleh berjangkit melalui sentuhan langsung dengan haiwan atau individu yang dijangkiti.
Ia juga boleh berjangkit sekiranya anda menyentuh objek dan permukaan yang telah tercemar dengan kulat kurap.
Spora kulat boleh berada pada sikat, berus, mangkuk makanan, perabot, tempat tidur, permaidani atau permukaan persekitaran lain secara tidak aktif sehingga mencecah tempoh 18 bulan!
Untuk pengetahuan anda, sentuhan dengan kulat kurap tidak selalunya mengakibatkan jangkitan.
Namun, jumlah pencemaran persekitaran adalah faktor penting dalam perkembangan jangkitan kurap.
Ini cara menghilangkan kurap kucing pada manusia
Terdapat beberapa kaedah atau cara menghilangkan kurap kucing pada manusia iaitu ubat kurap kucing di farmasi.
Namun, rawatan untuk kurap ini bergantung pada lokasinya dan tahap keterukan jangkitan.
Sesetengah jenis kurap boleh dirawat dengan ubat bukan preskripsi yang boleh didapati dengan mudah di farmasi.
Sesetengah kurap yang lain pula mungkin memerlukan rawatan ubat antikulat dengan preskripsi.
Berikut ialah ubat kurap kucing paling berkesan di farmasi:
#1. Cara menghilangkan jangkitan yang berlaku di kulit badan
Kurap pada kulit biasanya boleh dirawat dengan penggunaan krim, losyen atau serbuk antikulat tanpa preskripsi.
Ia digunakan pada kulit selama 2 hingga 4 minggu.
Terdapat banyak produk bukan preskripsi yang boleh dibeli di farmasi untuk merawat kurap. Antaranya ialah:
- Clotrimazole
- Miconazole
- Terbinafine
- Ketoconazole
Untuk krim, losyen atau serbuk bukan preskripsi, ikut arahan penggunaan pada label produk.
Hubungi doktor jika jangkitan anda tidak hilang atau menjadi lebih teruk.
#2. Cara menghilangkan jangkitan yang berlaku di kulit kepala
Kurap pada kulit kepala biasanya perlu dirawat dengan menggunakan ubat antikulat preskripsi yang diambil melalui mulut selama 1 hingga 3 bulan.
Antara jenis ubat antikulat preskripsi yang digunakan untuk merawat kurap pada kulit kepala termasuklah:
- Griseofulvin
- Terbinafine
- Itraconazole
- Flukonazol
Anda perlu berjumpa dengan doktor sekiranya jangkitan kurap kulit kepala anda menjadi lebih teruk atau tidak hilang selepas menggunakan ubat bukan preskripsi.