Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Dalam keadaan wabak, pelbagai perkara khususnya yang melibatkan aktiviti kluster perlu disekat. Perkara ini bagi memastikan penularan wabak dapat dielakkan.
Namun bagaimana pula dengan mereka yang ingin menimang cahaya mata? Seperti yang pembaca sedia maklum, perancangan untuk hamil bukannya dibuat sehari dua.
Ia melibatkan pasangan suami isteri dan petugas kesihatan, jadi perancangan tersebut boleh dibuat beberapa bulan lebih awal. Ia bagi memastikan ibu berada dalam keadaan baik.
Namun, jika perancangan telah dibuat pada tahun lepas dan anda ingin mendapatkan anak tahun ini, adakah keadaan wabak virus korona baharu (COVID-19) boleh menjadi faktor penangguh?
[covid_19]
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Tiada kajian yang cukup berkaitan dengan COVID-19 dan wanita hamil
Seperti yang dinyatakan di dalam laman sesawang Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), kita masih tidak mempunyai maklumat yang cukup berkenaan dengan kesan wabak terhadap wanita hamil.
Kebanyakan individu membuat spekulasi bahawa wanita hamil lebih mudah untuk mendapat jangkitan COVID-19 dan ia boleh dikatakan logik jika dilihat pada faktor perubahan fisiologi kehamilan.
Namun, sains perubatan tidak bergantung kepada spekulasi semata-mata. Oleh sebab tiada kajian khusus yang boleh dijadikan panduan untuk mengukur risiko wanita hamil COVID, maka kita tidak tahu bezanya dengan populasi umum.
Jika dilihat pada jangkitan influenza, wanita mengandung mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami simptom teruk yang boleh mempengaruhi kesihatan bayi yang dikandung.
Perkara ini turut ditekankan oleh Profesor Klinikal Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Yale, Dr Mary Jane Minkin.
Masih tiada bukti yang menunjukkan COVID-19 boleh menyebabkan simptom teruk dalam kalangan wanita hamil. Namun, ini tidak bermakna populasi tersebut boleh mengambil mudah akan langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak.
Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan bahawa anak di dalam kandungan boleh dijangkiti oleh virus wabak sekiranya ibu dijangkiti COVID-19.
Menurut Dr Daniel Roshan, Doktor Pakar Obstetrik di Bandar New York, tiada juga bukti yang menunjukkan virus tersebut boleh disebarkan melalui susu badan. Namun, ia tidak bermakna ibu yang dijangkiti boleh menyusukan anak walaupun langkah pencegahan diambil.
Perkara yang boleh dilakukan adalah dengan menggalakkan penggunaan susu ibu yang diperah siap (EBM).
Langkah pencegahan untuk elak wanita hamil COVID
Walaupun kebanyakan individu menganggap ini bukanlah masa yang sesuai untuk hamil, namun, bukan semua yang berfikiran sedemikian.
Jika anda ingin menimang cahaya mata, langkah pertama yang perlu anda lakukan adalah untuk hadir temujanji dengan doktor. Mereka akan membuat pemeriksaan fizikal bagi memastikan anda berada dalam keadaan baik.
Baca juga: