Varian baru virus COVID-19 terus bertambah seiring dengan peningkatan jumlah mutasi pada virus tersebut. Baru-baru ini, varian Omicron pula membuat kemunculan sulungnya di Afrika Selatan.
Ini yang anda perlu tahu berkenaan perkembangan varian baru virus COVID-19 di seluruh dunia.
Nama varian baru virus COVID-19
Kemunculan varian baharu virus COVID-19 sebelum ini dinamakan mengikut kod-kod tertentu.
Namun, sesetengah pihak merujuk sesuatu varian baru ini berdasarkan kepada nama kawasan di mana virus tersebut pertama kali muncul.
Sebagai contoh, varian B.1.1.7 telah disebut sebagai varian UK memandangkan ia pertama kali dikesan di United Kingdom pada bulan September 2020.
Namun, panggilan sesuatu varian yang merujuk kepada sesuatu kawasan ini boleh menggalakkan sentimen rasis atau prejudis terhadap penduduk yang berasal dari kawasan tersebut.
Menurut Ed Feil, profesor dalam bidang evolusi mikrob di University of Bath, keadaan ini berpotensi membuatkan negara-negara di seluruh dunia tidak berminat untuk berkongsi data penemuan varian baharu kerana bimbangkan sentimen prejudis yang boleh memburukkan nama negara mereka.
Menurut Ed Feil lagi, tiada jaminan bahawa kaitan varian baru dengan nama kawasan ini benar-benar tepat.
Ini kerana, varian virus COVID-19 dapat menyebar dengan mudah sebelum ia mula dikesan di kawasan tersebut.
Oleh itu, pemberian nama varian virus COVID-19 berdasarkan kawasan ia pertama kali dikesan telah dihentikan.
Ia kini telah diberikan dengan nama baharu bagi menghentikan sebarang stigma atau prejudis yang dikaitkan dengan nama sesuatu negara atau kawasan.
Setiap varian COVID-19 juga telah dimasukkan kepada tiga kategori iaitu sama ada kategori variant of interest (VOI), variant of concern (VOC) dan juga alerts for further monitoring.
Varian baru COVID-19 dalam kategori VOI
Variant of interest (VOI) merupakan satu kategori varian yang memiliki salah satu daripada ciri-ciri di bawah ini:
- Perubahan genetiknya dianggarkan boleh mempengaruhi sifatnya untuk mudah menular dan memburukkan keadaan penyakit
- Terdapat bukti bahawa varian ini telah menyebabkan penularan COVID-19 dalam beberapa kluster jangkitan yang dikesan di beberapa negara
Varian yang termasuk dalam kategori ini memerlukan satu atau lebih analisis lanjutan termasuklah mengenal pasti urutan kod genetiknya dan menilai kadar kebolehjangkitannya.
Berikut ialah beberapa varian virus COVID-19 yang termasuk dalam kategori VOI:
- Eta atau B.1.525. Ia telah dikesan buat pertama kalinya di beberapa negara seperti United Kingdom dan Nigeria pada bulan Disember 2020.
- Theta atau P.3. Ia telah dikesan pertama kalinya di Filipina pada bulan Januari 2021.
- Iota atau B.1.526. Ia dikesan buat pertama kali di Amerika Syarikat pada bulan November 2020.
- Kappa atau B.1.617. Ia dikesan pertama kalinya di India pada bulan Oktober 2020.
- Lambda atau C.37. Dikesan buat pertama kali di Peru pada bulan Disember 2020.
- Mu atau B.1.621. Dikesan pertama kali di Colombia pada bulan Januari 2021.