Warna Baju Dan Kasut Ini Tiada Kaitannya Dengan Otak Kiri Atau Otak Kanan

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 10/07/2020 . 4 minit bacaan
Share now

Sebelum ini pernah viral gambar ‘dress’ yang dilihat oleh segelintir netizen sebagai biru-hitam atau putih-emas, kini tiba pula gambar kasut yang turut memisahkan netizen kepada dua kumpulan (hijau-kelabu atau putih-merah jambu). Terdapat dakwaan bahawa perbezaan persepsi warna baju dan kasut ini disebabkan oleh hemisfera otak mana yang lebih dominan dalam individu tersebut, kiri atau kanan? Namun yang demikian, jawapan sebenar kepada fenomena ini langsung tiada kaitan dengan konsep otak kiri atau kanan. Ini kerana konsep individu berotak kiri atau kanan ini berkisar tentang pendekatan penyelesaian masalah, gaya belajar dan personaliti. Malahan, konsep ini pun sebenarnya tidak bersandarkan pada bukti saintifik yang kukuh dan semakin dicabar sebagai mitos berdasarkan kajian terkini. Namun, itu bukanlah fokus penulisan ini.

Mengapa Ada Perbezaan Persepsi Untuk Warna Baju Dan Kasut Ini?

Mengapa adanya persepsi warna yang berbeza pada gambar ‘close-up’ warna baju dan kasut ini adalah disebabkan oleh fenomena ‘Colour Constancy’ yang bermaksud kecenderungan otak kita untuk mengekalkan dan mengimbangkan persepsi warna sesuatu objek merentasi situasi dan pencahayaan yang pelbagai. Perlu diingati, Colour constancy ini bersifat subjektif merentasi individu (disebabkan oleh beberapa mekanisma yang akan diceritakan) namun, ianya langsung tiada kaitan dengan konsep seseorang itu berotak kiri atau kanan. Ini kerana konsep individu berotak kiri atau kanan ini berkisar tentang pendekatan penyelesaian masalah, gaya belajar dan personaliti. Malahan, konsep ini pun sebenarnya tidak disandarkan berdasarkan bukti saintifik yang kukuh dan semakin dicabar sebagai mitos berdasarkan kajian terkini (Lihat Rujukan). Namun, itu bukanlah fokus penulisan ini.

Fenomena Colour Constancy ini berlaku apabila terdapat perubahan pencahayaan dalam satu keadaan atau dalam kes ini, apabila sumber pencahayaan sesuatu gambar atau objek itu tidak diketahui. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan gambar sesuatu objek itu dengan jarak yang dekat (close-up) seperti dalam gambar kasut atau baju tersebut. Fenomena ini berlaku secara ‘sub-conscious’ (tanpa kita sedari) dan ianya penting bagi membantu kita untuk mengenal pasti sesuatu objek pada situasi pencahayaan yang berbeza. Otak kita mempunyai ‘bias’ yang tersendiri dalam menterjemahkan warna suatu gambar yang terhad maklumatnya, contohnya seperti dalam gambar kasut atau baju tersebut, di mana warna pencahayaannya tidak diketahui. Justeru, korteks visual, bahagian otak yang memproses imej dan warna apa yang kita lihat, akan cuba untuk mengekalkan warna sesuatu objek itu – dalam bahasa mudahnya, “nak adjust warna objek tersebut bagi nampak logik dan make sense”.

Contoh Mudah ‘adjustment’ Colour constancy:

Lihat gambar 1, 2 dan 3: Dalam gambar kedua, anda akan perasan bahawa warna kedua-dua kotak ini seakan-akan berbeza (yang di atas berwarna coklat gelap dan yang di bawah berwarna perang terang). Namun yang demikian, dalam gambar ketiga, setelah gangguan warna, cahaya dan bayang dibuang, anda akan perasan kedua-duanya berwarna sama (tiada edit warna dilakukan ke atas kedua-dua kotak). Mengapa jadi begini? Ini adalah contoh Colour Constancy, bagaimana otak kita cuba ‘adjust’ warna sesuatu supaya ianya kekal logik dan masuk akal. Dalam gambar keempat, otak kita mengenal pasti kewujudan bayangan (shadow), seterusnya cuba menafsir bayangan dan menerangkan warna-warna objek itu dari warna sepatutnya.

Gambar 1
Gambar 2
Gambar 3

Dalam kes warna baju dan kasut ini, apabila sumber pencahayaan tidak diketahui (kerana ianya gambar close-up), otak kita akan membuat andaiannya sendiri tentang kemungkinan cahaya yang menerangi gambar ini. Bagi anda yang melihat baju tersebut berwarna emas dan putih, mungkin otak anda sedang mengandaikan bahawa baju tersebut diterangi cahaya kebiruan (seperti cahaya yang menembusi langit biru, dekat dengan tingkap). Dari sini, otak anda akan cuba menekan warna biru (menyangkakan ianya dipengaruhi oleh cahaya kebiruan) itu dan sebaliknya, menterjemah warna baju itu sebagai putih. Mereka yang melihatnya berwarna biru dan hitam, otak anda sedang membuat andaian bahawa pencahayaan sekeliling mungkin datang daripada lampu tiruan (seperti lampu yang digunakan dalam kedai) yang berwarna kuning-oren. Justeru, pengaruh warna kuning akan dibuang atau dinafikan oleh otak, memberi gambaran belang hitam dan warna biru yang tidak terganggu.

Mengapa Boleh Jadi Begini?

Asas proses penglihatan bermula dengan cahaya bertemu dengan fotoreseptor (Cones dan Rods) di bahagian retina, yang kemudiannya dihantar ke Korteks Visual untuk diproses dan diterjemahkan sebagai imej.

Bagaimana Colour Constancy ini berfungsi masih lagi sesuatu yang sedang dikaji namun terdapat beberapa mekanisma yang memainkan peranan dalam penghasilan fenomena ini.

Adaptasi Fotoreseptor

Mekanisma utama yang digunakan adalah adaptasi fotoreseptor-fotoreseptor dalam retina mata kita. Reseptor ini akan melaraskan sensitiviti mereka berdasarkan rangsangan cahaya yang diterima. Jika jumlah gelombang panjang dalam pencahayaan keseluruhan bertambah, fotoreseptor merah akan mengurangkan sensitivitinya untuk mengimbangkan imej terhasil. Proses ini juga turut dilengkapkan oleh adaptasi kromatik yang dilakukan oleh otak kita, khususnya oleh saraf di bahagian ‘parvocellular lateral geniculate’.

Memori warna

Jika anda biasa mengenal pasti sesuatu objek harian seperti pisang yang berwarna kuning, memori anda akan mempengaruhi persepsi warna anda dengan cara membetulkan sebarang lencongan atau sisihan setiap kali anda melihat buah tersebut di masa akan datang. Secara tidak sedar, memori anda mempunyai bias yang tersendiri dalam menormalisasikan imej suatu gambar itu. Contoh paling mudah, lihat gambar 4. Gambar buah-buahan lazim dalam gambar 4 ini diberikan warna yang sama, namun, bila ditanya apakah warna setiap buah, anda sendiri akan perasan otak anda sedaya upaya untuk memberi warna kepada buah-buahan tersebut berdasarkan memori anda dan anda akan nampak seolah-olah ada perbezaan warna pada setiap buah. Sedangkan, gambar ini hanya mempunyai 2 warna sahaja, Merah dan satu lapisan warna kelabu.

Gambar 4

Teori Retinex

Teori ini dicadangkan oleh Edwin H. Land dan ‘Retinex’ merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh retina dan juga korteks visual kita. Dalam teori ini, persepsi suatu imej itu mengambil kira semua faktor sekeliling objek tersebut, dan sensasi atau persepsi warna itu dipengaruhi oleh peratusan dan kewujudan 3 jenis gelombang L, M, S (long, medium dan shot-wave) di persekitaran.

Begitulah penerangan berkaitan fenomena Colour Constancy yang menyebabkan berlakunya perbezaan persepsi warna baju dan kasut ini dalam kalangan individu yang berbeza.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga: