
Pada bulan Jun yang lalu, sektor kesihatan Malaysia telah mendapat satu pengiktirafan antarabangsa apabila seorang Pakar Endokrinologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Norlela Sukor menerima anugerah Fellow of the American College of Endocrinology.
Ini sekaligus menjadikan beliau wanita pertama di Malaysia yang menerima anugerah tersebut. Prof Dr Norlela telah lama berkecimpung dalam bidang endokrinologi, iaitu satu bidang kesihatan yang melibatkan penyakit-penyakit berkaitan dengan perubahan hormon di dalam badan manusia.
Anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi bagi bidang ini. Tiada badan yang sama diwujudkan untuk bidang ini termasuk di United Kingdom dan Eropah. Beliau juga turut pernah menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah The University of Queensland Dean’s Award for an Outstanding Research Higher Degree Thesis semasa menjalani pengajian peringkat doktor falsafah di universiti berkenaan.
Endokrinologi adalah bidang yang penting
Bidang endokrinologi melibatkan penyakit yang berkaitan dengan hormon di dalam badan. Ia merupakan subkepakaran di bawah bidang Perubatan Dalaman. Antara penyakit yang terbabit adalah diabetes, hipertiroid dan beberapa disfungsi seksual.
Diabetes contohnya melibatkan hampir 4 juta rakyat Malaysia. Begitu juga dengan gangguan hormon lain yang tentunya memerlukan ramai pakar bagi menampung keperluan pesakit di Malaysia.
Pemerkasaan wanita
Anugerah ini melihatkan ruang dan pemerkasaan wanita yang berlaku di Malaysia. Malah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia adalah pendahulu dalam menggalakkan perempuan dan wanita untuk terlibat dalam bidang kajian sains. Hampir separuh daripada pengkaji dalam bidang sains di Malaysia adalah terdiri daripada wanita. Peratusan ini lebih tinggi berbanding Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom.
Usaha yang baik ini harus diteruskan. Wanita adalah aset penting bagi sesebuah negara. Terdapat beberapa bidang yang sangat memerlukan keterlibatan mereka seperti bidang Perbidanan dan Sakit Puan.
Perkembangan ekonomi telah mengubah pola pemikiran bahawa wanita hanya duduk di rumah. Tanpa menafikan dan mengetepikan kepentingan tersebut sepenuhnya, golongan ini juga harus dilibatkan dalam pelbagai bidang demi kelestarian dan kemajuan negara.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.