
“Adakah paras kolesterol saya normal?”
Soalan inilah yang paling kerap diajukan oleh pesakit selepas menjalani ujian darah untuk menguji kolesterol.
Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan paras kolesterol yang normal?
Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Chee Kok Han berkata, tiada istilah kolesterol normal untuk mereka yang ingin mengetahui tahap kolesterol mereka.
Sebaliknya, paras kolesterol yang didapati melalui ujian darah ditafsirkan kepada empat profil lipid iaitu triglyceride, jumlah kolesterol, lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau dikenali sebagai kolesterol baik dan lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau dikenali sebagai kolesterol jahat.
“Ujian darah untuk pemeriksaan kolesterol sahaja tidak dapat meramal kemungkinan anda mempunyai penyakit kardiovaskular. Akan tetapi, maklumat lain turut diperlukan untuk doktor mengira risiko anda mendapat penyakit tersebut.
“Melalui kiraan Framingham, doktor memerlukan maklumat pesakit seperti umur, jantina, status merokok, jumlah kolesterol dan tekanan darah untuk mengetahui kiraan risiko anda mendapat masalah berkaitan kardiovaskular,” katanya.
Bahaya LDL tinggi
Menurut Dr. Chee, doktor akan menyarankan pilihan rawatan dan ubat yang sesuai bagi menurunkan tahap kolesterol pesakit.
Beliau berkata, tahap kolesterol LDL yang tinggi menjadi punca kepada pembentukan plak yang boleh menyumbat arteri. Sekiranya darah beku terbentuk dan menyekat arteri, serangan jantung dan strok boleh terjadi.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 melaporkan sebanyak 47.7 peratus rakyat Malaysia menghidap hiperkolesterolemia.
Hiperkolesterolemia ialah keadaan di mana kolesterol yang banyak dalam darah boleh menyebabkan penghidapnya mengalami pelbagai penyakit kardiovaskular termasuklah serangan jantung dan juga strok.
“Pesakit dalam kategori sangat berisiko tinggi perlu mendapat kiraan < 1.8 mmol/L kerana semakin rendah paras LDL-C, semakin rendah kemungkinan untuk mendapat serangan jantung.
“Jadi, para doktor akan sarankan untuk pesakit yang berisiko tinggi dan juga pesakit kategori sangat berisiko tinggi untuk merendahkan parad LDL mereka,” ujarnya.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.