Di Akhir Nyawa – Perspektif Penjagaan Paliatif

Ditulis oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 4 minit bacaan
Share now

“Tolong saya, doktor. Makin lama makin banyak batuk ni. Setiap kali saya batuk makin banyak keluar darah,” keluh wanita di hadapanku. Aku sedang melakukan rondaan wad sebagai pakar dalam wad. Pesakit ini agak muda – awal 40-an. Itulah perspektif mereka.

“Puan M, menghidap sejenis kanser paru-paru sejak setahun lepas. Pernah diberi nasihat untuk pembedahan namun membuat keputusan untuk tidak melaluinya selepas diterangkan saiz ketumbuhan yang besar menjadikan kebarangkalian komplikasi lebih tinggi. Imbasan terakhir 4 bulan lepas menunjukkan ketumbuhan telah merebak dan tidak dinasihatkan untuk sebarang rawatan kemoterapi mahupun radioterapi,” pegawai perubatan menringkaskan kes untuk aku fahami, lantas aku terjemahkan ke Bahasa Melayu untuk pemahaman anda.

Ramai Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah tahu ini bidang yang aku ingin ceburi. Aku duduk di sebelah katil pesakit dengan suaminya juga di sisi katil. Aku nampak anak-anaknya ada di sekeliling. Semuanya masih di umur persekolahan.

“Puan faham perspektif yang berlaku?” Aku bertanya.

Dia mengangguk. Aku alihkan pandangan seketika pada suami dan anak-anak, mereka pun turut mengangguk.

“Saya Dr. Saiful, yang menjaga wad perubatan di sini. Saya difahamkan Puan dan keluarga sudah juga diterangkan yang tiada rawatan yang dapat diberi sebelum ini, yakni dari segi pembedahan, kemoterapi dan radioterapi,” aku terangkan sekali lagi inginkan kepastian tentang perspektif mereka.

“Ya, saya faham itu Doktor. Saya cuma sangat tak tahan,” dia berkata lagi.

“Boleh Puan terangkan lebih lagi tentang kesukaran Puan sekarang? Saya betul-betul ingin cuba membantu Puan rasa lebih selesa”.

“Saya tak boleh bernafas, Doktor. Tambahan lagi batuk ini, setiap kali bertambah darahnya. Saya kesian anak-anak kena tengok semua ini. Saya tak dapat bangun daripada katil sekalipun”.

Aku biarkan dia meluahkan semua. Salah seorang anak teresak menangis. Suaminya sungguh tabah. Dipeluk anak tadi sambil erat tangannya memegang tangan pesakit.

Setelah dia ceritakan semua masalahnya, aku terangkan peranan aku, “Puan, ada beberapa ubat yang saya boleh beri untuk kurangkan sesak nafas dan batuk berdarah itu. Mungkin tak dapat hilang sepenuhnya dan memang tidak dapat menyembuhkan penyakit Puan, tapi saya akan cuba sedaya-upaya untuk berikan lebih sedikit keselesaan pada Puan”.

“Terima kasih, Doktor,” suaminya bersuara.

Aku bangun kembali dan mula menerangkan dos ubat morphine kepada Pegawai Perubatan. Selepas habis rondaan wad, aku menghubungi beberapa orang kenalan kerja bidang paliatif dan onkologi yang lebih berpengalaman untuk memberi perspektif. Masa ini aku masih baru lagi berkhidmat sebagai pakar.

Setelah mendapat lebih nasihat, aku mulakan beberapa lagi ubat lain untuk membantu pesakit tadi. Beberapa hari beransur dan dia tidak lagi memerlukan oksigen malah dapat tidur malam tanpa diganggu batuk yang teruk. Kahak berdarah juga berkurangan.

Aku ingat hari terakhir aku jumpa dia di wad, dia tersenyum ingin pulang. Aku benarkan kerana memang itu yang dia mahu. Aku terangkan penggunaan ubat-ubatan termasuk cara menggunakan morphine. Dia nampak sungguh bersemangat. Aku juga terangkan kepada dia dan keluarga untuk datang kembali sekiranya terdapat apa-apa masalah.

Beberapa minggu kemudian, aku ke masjid berdekatan untuk solat Jumaat. Aku tak pasti kenapa, tapi hari itu aku buat keputusan untuk ke satu masjid yang bukan biasanya aku kunjungi. Selesai solat, ketika aku hampir berjalan keluar, seseorang menyapaku dari belakang. Aku menoleh dan kelihatan suami kepada pesakit tadi.

“Assalamualaikum, Tuan. Apa khabar?” Tanyaku.

“Waalaikumussalam. Saya sihat. Doktor ada masa untuk bercakap sebentar?” Dia bertanya kembali.

“Oh sudah tentu. Mari duduk sebentar,”

Kami pun duduk di bangku berdekatan pintu masjid tadi. Dia terus mula bercerita setelah aku pelawa. “Sepanjang beberapa minggu di rumah, isteri saya sangat gembira. Dia dapat bergerak, malah ada sekali dia ke dapur untuk memasak,”

Dia menarik nafas sebentar dan menyambung cerita. Matanya mula bergenang, “Dua malam lepas, ada batuk sedikit kuat dan lebih sikit darah keluar selepas batuk. Dia ambil dos tambahan morphine seperti yang Doktor ajar. Saya tanya dia jika ingin ke hospital. Kata dia, tak mengapalah, tunggu pagi esoknya jika masih teruk. Tengah malam itu dia kejutkan saya. Nafas dia nampak laju sedikit, tapi dia bukan dalam kesakitan. Saya ada sebut hospital sekali lagi tapi dia gelengkan kepala. Lalu saya panggil anak-anak untuk duduk bersama. Dia memang nampak lemah, tapi seperti yang Doktor terangkan dulu, dia selesa. Datang satu ketika, dia buka matanya, sebut Allahu Akbar, batuk sekali lagi dan kemudian berhenti bernafas. Dia meninggal dunia malam itu, Doktor”.

Aku sendiri menyembunyikan air mataku mendengar cerita si suami ini. “Takziah, Tuan,” hanya itu yang mampu saya katakan. Dia berkata lagi pada aku “Doktor beri kami perbezaan yang besar selama beberapa minggu ini. Semua orang asyik cakap tak boleh itu, tak boleh ini sampai dia janggal nak ke hospital. Orang yang datang melawat dulu pun semua habis cadangkan beli itu dan beli ini, bukan murah semuanya. Apa yang Doktor buat, saya akan ingat sampai bila-bila dan saya harap ada lebih ramai Doktor yang boleh buat apa yang Doktor telah lakukan”.

Aku ucapkan terima kasih kepada Pakcik atas kata-kata dia dan aku kirimkan salam pada anak-anaknya. Kami berpeluk seketika sebelum aku memandu pulang ke kerja. Cerita ini dah lebih tiga tahun lepas, tetapi aku akan ingat sampai bila-bila sebab ini antara cerita yang meyakinkan aku untuk menceburi bidang paliatif.

Mungkin muka aku berubah bila orang tanya aku sedang nak jadi pakar dalam bidang apa. Amat susah nak terangkan tentang perspektif paliatif sambil-sambil beramah mesra dengan orang biasa yang tiada pengalaman di hospital.

Bagi yang ingin tahu, doktor paliatif merawat pesakit-pesakit terminal yang tiada terapi yang memberi kesembuhan. Kami cuba mengurangkan simptom dan kesukaran yang mereka alami dalam menghadapi penyakit-penyakit tersebut dan juga membantu ahli keluarga untuk menghadapi tempoh yang amat sukar buat kesemua pesakit dan orang di sekeliling mereka. Aku harap, sampai satu masa, ramai orang mula sedar akan peranan dan perspektif kami dan tidak lagi berasa janggal dan pelik apabila perkataan paliatif disebut.

*Artikel ini pertama kali diterbitkan di blog Dr. Saful Adni dan disiarkan semula atas kebenaran beliau. Segala pandangan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini adalah bersifat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan polisi Hello Doktor. Hello Health tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"

    DARI PAKAR Dr. Saiful Adni Abd Latif

    Perspektif: Muliakanlah kerjaya seorang doktor

    Surat terbuka untuk Miya Wong. Assalamualaikum saudari, atau mungkin lebih tepat saya panggil dengan panggilan doktor. Sungguhpun begitu, awak nampak seolah-olah awak tak ingin dipanggil dengan gelaran itu. Benci ...

    Ditulis oleh Dr. Saiful Adni Abd Latif

    Perspektif: Hargai Nyawa Anda

    Itu hari pertama kemoterapi untuk dia. Itu juga hari pertama saya. Masa mak dia turun makan, saya datang kepada dia untuk cucukan jarum.

    Ditulis oleh Dr. Saiful Adni Abd Latif

    Erti Kata Perjuangan

    Artikel ini memaparkan berkenaan seorang penderita kanser yang sedang dalam perjuangan untuk melawannya. Sila baca dengan lebih lanjut.

    Ditulis oleh Dr. Saiful Adni Abd Latif
    perjuangan