Perspektif: Hargai Nyawa Anda

Ditulis oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 4 minit bacaan
Share now

Kencang betul cerita doula dan nyawa bayi yang terkorban. Sambil saya membaca jawapan sang doula mempertahankan tindakannya saya membaca pula komen-komen penyokongnya. Rasa menyesal baca pun ada. Mana tak terkesan tatkala membaca sesetengah ayat “Alah, pergi hospital pun ramai je mati”, “Geng doktor ni cakap macam dia je betul. Ada ilmu lebih sikit dah sombong” dan yang sewaktu dengannya.

Malas nak jawab komen-komen tu. Dalam hati terjentik juga sikit. Mungkin pada mereka, hari-hari tengok orang mati hati kami ni dah macam batu. Ada banyak cerita yang kembali berputar dalam kepala. Saya hidangkan satu pada anda dan lepas tu anda buatlah keputusan sendiri samada kami buat semua ini atas nama ego dengan nikmat ilmu yang Tuhan bagi atau atas nama tanggungjawab pada umat manusia.

Tujuh tahun dulu. Saya masih lagi setahun jagung jadi doktor. Hari itu hari pertama saya di Wad Onkologi Pediatrik (kanser kanak-kanak). Tuhan saja yang tahu banyaknya benda nak kena belajar. Minggu pertama kerja kena balik pukul 10 malam setiap hari demi untuk belajar buat oncall dan jadi doktor yang selamat. Ketika rondaan wad, seorang pesakit baru dimasukkan ke wad dipertanggungjawabkan kepada saya.

Namanya Harun (bukan nama sebenar). Umurnya 12 tahun. Menghidap sejenis kanser pada tulang kakinya. Nota dari klinik sudah lengkap segala perancangan rawatannya daripada tarikh pembedahan penggantian tulang kaki dengan prostesis besi dan tarikh-tarikh rawatan kemoterapi.

Itu hari pertama kemoterapi untuk dia. Itu juga hari pertama saya. Masa mak dia turun makan, saya datang kepada dia untuk cucukan jarum dan pengambilan sampel darah. Berani budaknya. Sambil senyum dihulurkan tangan kata “Alah saya tak takut”. Kalaulah dia tahu bahawa sebenarnya saya yang takut. Tapi tak boleh tunjuk.

“Abang, ni wad apa sebenarnya?” Dia bertanya sambil saya mengisi darahnya dalam botol-botol kecil.
“Wad budak-budak,” jawabku ringkas.
“Saya tahulah. Tapi mesti budak-budak special kan?”
“Ya. Betul. Special. Korang punya sel dalam badan membesar laju sangat jadi kena perlahankan sikit,” kataku lagi.
“Habis tu, kalau saya tak masuk sini saya jadi besar cepat ke?” Dia berjenaka.
“Haha terlebih pandai awak ni. Kelmarin scan diorang check kepala awak?”
“Check lah! Diorang kata ok je” jawabnya sambil tersenyum.

Tak sampai hati saya nak cerita kat dia semua kesan sampingan ubat yang dia bakal terima. Sempat saya beritahu dia nanti kalau ada apa-apa masalah, jangan diamkan. Bagitahu pada kami.

Benar, esoknya ketika rondaan wad tak berhenti dia muntah. Macam-macam ubat kami kena beri untuk kurangkan. Selang beberapa bulan banyak kali saya berjumpa dia apabila dia datang untuk rawatan. Ibunya selalu menegur suruh dia panggil saya Doktor tapi saya kata tak mengapa. Saya tak kisah dia panggil saya abang pun.

Saya ingat ada satu hari saya baru nak pulang, terdengar jururawat menjerit meminta pertolongan kerana Harun sedang sawan. Berlari saya ke katilnya. Rahangnya kejang, matanya memandang ke atas. Saya tanya “Adik, dengar tak?”. Dia mengangguk sambil air matanya mengalir kesakitan. Saya sedar dia bukan tengah sawan. Dia mengalami oculogyric crisis, sejenis kesan sampingan yang amat jarang berlaku selepas pemberian ubat tahan muntah.

Kami beri ubat rawatan. Dia beransur pulih. Pertama kali saya lihat dia menangis walau dah berkali-kali rawatan. “Abang, tolong janji jangan bagi benda tu jadi lagi,” katanya padaku. Aku hanya mampu angguk. Aku pegang bahunya dan aku kata aku janji untuk tolong dia dengan apa-apa masalah dia.

Sehingga saya habis posting pediatrik, saya berjumpa dia kembali di posting ortopedik. Rawatan kemoterapi sudah pun selesai. Dia perlukan pembedahan untuk memanjangkan besi kaki dan mengeluarkan biji ketumbuhan dalam paru-paru. Setiap kali itu pun dia masih tersenyum bila berjumpa. Ada saja benda yang nak diceritakan pada saya.

Selepas saya habis tempoh housemanship, saya berpindah ke selatan tanah air. Sempat saya berjumpa dia di wad sebelum berpindah sekali untuk saya katakan pada dia yang saya kagum dengan kekuatan dia dan harap dapat jumpa lagi.

Masa saya di hospital baru, dia ada menghantar mesej kepada saya melalui FB untuk bertanya khabar beberapa kali. Perwatakan kelakar dia sama seperti biasa. Ada masa saya balas dan kami berborak. Malangnya saya terlalu sibuk dengan tanggungjawab baru sebagai MO dan juga menduduki peperiksaan. Tak sempat langsung untuk berjumpa.

Setahun kemudian, seorang doktor daripada hospital lama masuk jabatan saya. Sambil berborak tentang tempat kerja lama, keluar cerita tentang Wad Onkologi Pediatrik dan pesakit-pesakit di situ. “Rindu pula dengan Harun. Lama tak mesej dia,” aku cakap jujur dengan kawan ni. Mukanya berubah “Kau tak tahu?” dia bertanya.

Dia tak perlu cerita pada aku untuk aku faham apa dah berlaku. Pantas aku keluarkan telefon dan baru sedar mesej terakhir dihantar sudah 4 bulan lepas lamanya. Dalam masa itu, kanser itu sudah datang kembali, jadi lebih agresif dan Harun sudah pun menghadap Ilahi.

Malam tu aku duduk seorang dalam bilik. Aku tenung mesej terakhir dia tanya aku tak balik KL ke. Tak terlintas mahupun terfikir mungkin ada sebab dia tanya begitu. Dalam kesibukan aku cuba tegur dia lagi sekali tapi tak perasan pun mesej tu tak berjawab. Dah lebih 6 tahun berlalu sampai sekarang aku tak padam fb chat tu. Hanya mampu menangis sendiri dan bacakan doa buat dia.

Aku ingat mak dia pernah cakap terima kasih kat semua doktor sebab tolong bagi lebih masa dan peluang untuk mereka bersama. Lawak jenaka Harun, senyumnya dan petahnya memang saya takkan lupa.

Kalau awak semua nak faham kenapa kadang-kadang kami beremosi bila ada pihak yang perjudikan nyawa, cuba awak faham cerita saya. Kami nampak pentingnya nyawa dan percayalah kami tak buat semua ni sebab nak tunjuk betapa pandainya kami mahupun untuk lebih kewangan. Ada banyak lagi cerita. Ini cuma satu contoh. Satu saja saya minta, jangan senang saja nak cakap yang kami nak sibuk serang pedajal dan kacau periuk nasi orang. Ada sebab kenapa kami begitu runsing dengan corak pemikiran anda semua tentang kerja kami.

Harap Tuhan kekalkan ikhlas dalam hati semua yang ingin membantu.

*Artikel ini pertama kali diterbitkan di blog Dr. Saful Adni dan disiarkan semula atas kebenaran beliau. Segala pandangan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini adalah bersifat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan polisi Hello Doktor. Hello Health tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy

    DARI PAKAR Dr. Saiful Adni Abd Latif

    Perspektif: Muliakanlah kerjaya seorang doktor

    Surat terbuka untuk Miya Wong. Assalamualaikum saudari, atau mungkin lebih tepat saya panggil dengan panggilan doktor. Sungguhpun begitu, awak nampak seolah-olah awak tak ingin dipanggil dengan gelaran itu. Benci ...

    Ditulis oleh Dr. Saiful Adni Abd Latif

    Perspektif: Hargai Nyawa Anda

    Itu hari pertama kemoterapi untuk dia. Itu juga hari pertama saya. Masa mak dia turun makan, saya datang kepada dia untuk cucukan jarum.

    Ditulis oleh Dr. Saiful Adni Abd Latif

    Erti Kata Perjuangan

    Artikel ini memaparkan berkenaan seorang penderita kanser yang sedang dalam perjuangan untuk melawannya. Sila baca dengan lebih lanjut.

    Ditulis oleh Dr. Saiful Adni Abd Latif
    perjuangan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Apa Itu Kanser Hati: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

    Penyakit hati merupakan barah keenam terlazim di dunia. Pada peringkat awal ia tidak menunjukkan simptom namun jika dirawat awal mungkin ada potensi sembuh

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser, Kanser Hati 21/10/2020 . 5 minit bacaan

    Anda Suka Duduk Sepanjang Hari? Jangan Biasakan Diri, Amalan Ini Boleh Sebabkan Kanser!

    Penyakit kanser kesan daripada duduk terlalu lama? Bahaya, cuba baca artikel ini. Pastikan anda bukan dari golongan mereka yang terlalu banyak duduk!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Kanser 20/10/2020 . 3 minit bacaan

    Jika Menghidap Kanser Testis, Ini Perkara Yang Akan Berlaku Kepada Alat Sulit Anda!

    Seperti mana yang kita semua sudah tahu, kanser testis adalah bahaya buat lelaki. Persoalannya, apa perkara yang akan berlaku pada alat sulit ketika ini?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Lelaki 14/10/2020 . 3 minit bacaan

    AWAS! Penggemar Cahaya Matahari Berisiko Dapat Kanser Kulit, Ada Kaitan Juga Dengan Genetik?

    Satu kajian berkaitan dengan tabiat berjemur dan kanser kulit (berpunca daripada radiasi matahari) telah menggemparkan komuniti sains. Menurutnya...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Pusat Kesihatan, Kanser Kulit 14/10/2020 . 3 minit bacaan