Perlu kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam menangani kanser – Sanchia Aranda, Presiden UICC

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 9 minit bacaan
Share now

Ketika berlangsungnya Kongres Kanser Dunia 2018 di Kuala Lumpur pada 1-4 Oktober, kami berkesempatan menemubual Prof. Sanchia Aranda, Presiden Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC).

Beliau bercerita mengenai kerja-kerja yang dilakukannya bersama UICC, Cabaran Kanser Bandaraya, ulasan mengenai Hadiah Nobel Perubatan 2018 serta sisi peribadi beliau yang jarang dapat dilihat oleh semua orang.

Berikut merupakan petikan temubual tersebut:

Hello Doktor: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang Prof?

Prof Sanchia Aranda: Saya seorang jururawat. Sudah 40 tahun saya berkecimpung dalam bidang penjagaan kesihatan awam. Pelbagai jawatan yang saya pegang, dari pakar klinikal, pentadbiran universiti, dalam sektor kerajaan dan kini aktif dalam bidang kebajikan. Jika dilihat menerusi mobilisasi saya dalam penjagaan kesihatan awam, semuanya berkisar mengenai perjalanan saya demi mencari platform yang lebih besar supaya dapat membawa suara-suara mereka yang menghidap kanser agar didengari dan mendapat lebih perhatian.

Dengan pengalaman dan ilmu yang saya ada, diharap saya dapat menyumbang di peringkat antarabangsa. Ini kerana, ketika saya bergiat aktif di Australia, perspektif yang didapati sangat berbeza berbanding isu-isu berkaitan kanser di arena global. Contohnya seperti hak dan ketidak samarataan dalam mendapat capaian rawatan kanser. Walaupun rawatan kanser di Australia menunjukkan perkembangan positif ini kerana Australia merupakan sebuah negara yang kaya dan mampu. Namun hakikatnya, rakyat Australia yang miskin terutamanya masyarakat peribumi adalah 30 peratus berisiko tinggi maut akibat kanser berbanding warga senegara yang kaya dan mampu mendapatkan rawatan. Oleh kerana perspektif  ini lah membuatkan saya berkobar-kobar untuk berbakti dalam bidang kawalan kanser di peringkat antarabangsa.

Hello Doktor: Apakah halangan terbesar bidang penjagaan kesihatan awam terutamanya dalam kawalan kanser?

Prof. Sanchia Aranda: Tindakan kerajaan. Sebenarnya terdapat banyak kritikan terhadap kerajaan mengenai penyakit tidak berjangkit (NCDs), terutamanya beban penyakit. Ini dapat dilihat ketika Perbincangan di peringkat tertinggi PBB di New York baru-baru ini, sasaran untuk mencapai pengurangan sebanyak 25 peratus kematian pramatang akibat NCDs menjelang 2025 menemui kegagalan. Komitmen tanpa tindakan dan pembiayaan adalah halangan terbesar setakat ini.

Selain itu, jurang suara yang berbeza juga menjadi penghalang. Ada negara yang mendesak untuk mendapat capaian kepada immunoterapi yang sangat mahal kosnya. Tak kurang juga yang mendesak agar kerajaan tidak terlalu tertumpu kepada kaedah rawatan lebih ‘seksi’ sifatnya seperti penemuan terbaru tetapi memohon agar mereka melihat kepada perkara asas dalam kawalan kanser seperti pencegahan, saringan awal, rawatan serta penjagaan palliatif yang harus menjadi agenda utama.

Hello Doktor: Tahun ini, Hadiah Nobel Perubatan diberi kepada James P. Allison dan Tasuku Honjo bagi penemuan rawatan immunoterapi untuk kanser. Apakah maknanya ini kepada Prof dan UICC?

Prof Sanchia Aranda: Secara peribadi, saya merasakan immunoterapi merupakan satu rawatan revolusi untuk kanser melanoma. Ia telah merubah nasib ramai pesakit dengan metatastik melanoma. Dari sekadar menunggu maut, rawatan ini memberi sinar baru kepada mereka. Di Australia, kami berbelanja berbilion dolar setahun bagi mendapatkan rawatan kanser kulit. Biarpun tiada sebarang kempen kesedaran mengenainya di peringkat kerajaan, kami di peringkat majlis kanser sentiasa berusaha keras membawa advokasi. Akhirnya kerajaan setuju untuk memperuntukkan dana bagi merapatkan jurang dalam sistem kesihatan awam dan strategi pencegahan agar mereka yang didiagnosis menerima rawatan sewajarnya. Kami sedar immunoterapi sangat berkesan kerana terdapat penurunan kes melanoma, namun kosnya yang mahal telah membuatkan syarikat farmseutikal bekerjasama dengan penyelidik bagi menghasilkan penawar kanser yang lebih efektif dan murah.

Kita harus melihat dari pelbagai sudut dan harus punya pendekatan holistik terhadap kawalan kanser bukan semata-mata rawatan sahaja. Perlu menilai semula intervensi kita dari perspektif sama ada kita ingin merapatkan jurang di peringkat global.

Hello Doktor: Dari pelbagai spektrum kawalan kanser, pencegahan, penyelidikan, penjagaan palliatif dan sebagainya, manakah yang perlu penambahbaikan?

Prof Sanchia Aranda: Soalan ini sangat penting, terutamanya kepada persekitaran yang mempunyai sumber terhad, tumpuan kita mesti terarah kepada pencegahan. Walau bagaimana pun, jika pencegahan diutamakan, ia masih belum mampu merapatkan jurang dalam kalangan pesakit kanser kerana hanya 30-40 peratus kanser boleh dicegah. Oleh kerana itu, saya begitu teruja dengan program ‘Cabaran Kanser Bandaraya’. Kita harus kembali kepada persoalan pangkal mengenai diagnosis awal seterusnya membuka jalan kepada rawatan utama yang berkesan.

Dan terlalu banyak tumpuan diberikan pada rawatan immunoterapi dan kemoterapi, sedangkan ramai pesakit kanser sembuh dengan rawatan pembedahan. Kebanyakan negara tidak mampu menyediakan rawatan radioterapi, apatah lagi menyediakan infrastruktur terbaik bagi melawan kanser. Pesakit-pesakit ini tidak patut dibiarkan mati begitu sahaja hanya kerana kekurangan infrastruktur.

Begitu juga dengan ketersediaan bantuan sokongan dan penjagaan palliatif, di mana terdapat lebih 50 negara yang masih tidak mempunyai capaian penggunaan morfin mengikut lunas undang-undang. Sebagai seorang yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan klinikal saraf, saya tidak dapat membayangkan melihat pesakit-pesakit ini dalam keadaan tenat, namun tiada morfin dalam peti ubat.

Inilah jurang yang saya maksudkan. Kita tidak usah bercakap mengenai capaian kepada rawatan kanser yang terbaru jika kita tidak mampu menyediakan kelengkapan asas sebegini kepada pesakit.

Hello Doktor: Bercakap lebih lanjut mengenai program ‘Cabaran Kanser Bandaraya’, apakah kriteria atau ‘game changer’ yang ingin anda saksikan menerusi program tersebut?

Prof Sanchia Aranda: Seperti yang saya nyatakan tadi, cabaran utama adalah tindakan daripada kerajaan. Umum mengetahui terdapat peningkatan 60 peratus dalam pelan kawalan kanser kebangsaan di seluruh dunia, namun hampir kesemua pelan itu tidak mendapat pembiayaan sewajarnya dan hanya sekadar pelan tindakan yang disimpan dalam almari. Di atas permasalahan inilah, kami di UICC berfikir bagaimana caranya untuk kita menghubungkan pesakit, kerajaan dan industri bersama dalam menangani kanser.

55 peratus populasi dunia tinggal di bandar, dan kami melihat banyak inisiatif yang diambil seperti kawalan tembakau, dan apakah peluang yang ada bagi menjayakan misi mencegah kanser. Jika bandar-bandar ini dapat memberi tumpuan kepada permasalahan utama yang menyumbang kepada kanser, ini sudah cukup baik.

Manakala kriteria kedua, bagaimana bandar-bandar ini boleh menggunapakai ilmu dan pengalaman daripada bandar-bandar rintis (learning cities) tentang kerjasama pelbagai pihak dalam meningkatkan tahap kesihatan awam.

Di peringkat global pun telah lama dialog mengenai kerjasama antara pelbagai pihak dan pemegang taruh, namun begitu tidak ramai yang melakukannya kerana bimbang konflik kepentingan, dengan sifat industri farmaseutikal (harus menjana keuntungan), kita sebagai organisasi bebas akan dikritik jika terdapat gambar produk pada poster, contohnya.

Apa yang kami ingin lakukan di sini adalah bagaimana kita menggunakan industri dalam tumpuan untuk memberi perkembangan positif dalam penjagaan kesihatan awam, tanpa perlu mereka berada dalam kerugian dan kita perlukan mereka untuk terus melakukan inovasi demi mencipta penawar untuk pesakit. Bagaimana kita harus membawa semua pemegang taruh bekerja bersama ke arah satu matlamat yang sama.

Apa yang kami pelajari menerusi bandar-bandar rintis, pemegang taruh ini tidak pernah duduk semeja. Kami mahu mereka mencapai kesefahaman dalam kaedah penyampaian rawatan kanser kepada populasi dengan menggunakan kepakaran dan sumber yang sedia ada dengan pengurusan kewangan dan solusi yang cekap.

Kaedah penyampaian tersebut haruslah bersifat dari rakyat untuk rakyat kerana mereka lebih memahami keperluan setempat.

Kita tidak mahu menyediakan sesuatu solusi dan memaksa pemegang taruh untuk melaksanakannya. Pada permulaannya, mungkin semua berjalan lancar. 2-3 tahun kemudian, sudah tidak menampakkan sebarang perubahan. Menerusi ‘Cabaran Kanser Bandaraya’ ini, kita mahu pemegang taruh mempunyai sifat ‘ownership’ terhadap solusi yang mereka cipta dan diharap ia akan menjadi satu model yang mampan dalam kaedah kawalan dan rawatan kanser.

Hello Doktor: Di peringkat global terdapat pelbagai program dalam membendung kanser, apa yang membuatkan ‘Cabaran Kanser Bandaraya’ ini berbeza secara signifikan berbanding program-program lain?

Prof. Sanchia Aranda: Program ini berbeza daripada yang lain kerana ia mencetuskan pemilikan tempatan terhadap solusi dan setiap cabaran yang dilalui akan dijadikan panduan untuk dikongsi bersama bandar-bandar yang lain.

Dan bagaimana kita dapat menjalin impak sosial dan industri boleh melihat dan menjadikannya kes kajian bagi memahami komuniti kanser setempat. Ini lebih ekonomik dan ia bukan sahaja mengenai perkembangan positif rawatan kanser tetapi lebih kepada isu-isu pembangunan dalam ekonomi kesihatan. Ini yang membezakan program ini daripada yang lain.

Dan setelah kita memahami kerangka kerja dan melihat perkembangannya untuk kanser, kita boleh menggunapakai model yang sama ke atas penyakit lain. Ini kerana, kita telah membuka jalan bagaimana kerjasama berkesan di antara kementerian, sektor swasta dan masyarakat sivil dapat dilaksanakan.

Hello Doktor: Apa fasa seterusnya dalam cabaran ini?

Prof Sanchia Aranda: Setakat ini kami ada beberapa bandar rintis, Colombia, Paraguay, Myanmar dan Ghana yang masih lagi dalam proses pembelajaran dengan membina infrastruktur bagi mendapatkan lebih banyak data bagi bandar-bandar cabaran (challenge cities) seperti Brazil, Georgia dan Rwanda, di mana mereka perlu menyediakan sumber sendiri dan kami bekalkan informasi dan pengalaman daripada bandar-bandar rintis.

Seterusnya ‘Cabaran Kanser Bandaraya’ akan meluaskan usaha program dengan memberi peluang kepada beberapa bandar raya yang turut bertekad untuk menambah baik penyelesaian penjagaan kanser untuk mendaftar sebagai “Bandar Raya Cabaran”. Seruan untuk membuat permohonan pada 2018 akan memberi tumpuan kepada penglibatan di Asia, dengan menjemput bandar raya di seluruh rantau ini yang mempunyai penduduk berjumlah lebih sejuta orang untuk menyertai inisiatif kami.

Fasa seterusnya juga adalah bagi mendapatkan pembiayaan terhadap solusi dan program kawalan serta rawatan kanser setempat. Selama ini, pembiayaan bagi kanser datang daripada kluster penyakit tidak berjangkit (NCDs), namun jumlah yang sedia ada hanya sekitar 1 peratus daripada dana pembangunan global. Kami menggunakan kemudahan yang terdapat menerusi NCDs tapi kami juga perlu berupaya menjadikan ini satu kes pelaburan dan belajar bagaimana untuk mendapatkan pembiayaan dan mengukuhkan komuniti kanser.

Hello Doktor: Prof. bakal menamatkan perkhidmatan sebagai Presiden UICC kurang daripada 24 jam dari sekarang, jika Prof. boleh nilai prestasi sendiri, adakah anda berpuas hati?

Prof. Sanchia Aranda: Sudah 2 tahun saya memegang jawatan ini. Organisasi ini sering berada dalam transisi. Ketika itu, ramai yang tidak pasti jika pelaburan mereka ke atas kami berbaloi atau tidak. Kini, banyak NGO di seluruh dunia menjadikan UICC sebagai model. Kami menetapkan penanda aras bagi amalan ‘governans’ yang baik, kerangka kerja yang telus serta kepuasan keahlian adalah pada kadar 97 peratus, yakni sangat-sangat bagus.

Ahli kami juga berkobar-kobar untuk mengadakan lebih banyak program di peringkat global agar mereka dapat berkongsi pengalaman. Hubungan kami dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berada dalam keadaan terbaik. UICC kini bertekad untuk menjadi suara masyarakat sivil dalam pergerakan global dengan mengekalkan sifat advokasi yang ada pada kami.

Hello Doktor: Jika anda mampu mengubah apa yang telah berlaku, apa yang anda akan lakukan dengan lebih baik?

Prof Sanchia Aranda: Saya mahu ada sedikit ketidaksabaran. Kerana sebelum ini, ramai yang berkata komuniti kanser adalah mereka yang paling sabar walhal kanser adalah satu penyakit yang membunuh. Jika saya mahu ambil pendekatan berbeza, saya mahu jadi tidak sabar dan mendesak semua pihak untuk memberi perhatian kepada kanser.

Contohnya, menjelang 2040 terdapat 600 ribu wanita menderita akibat kanser pangkal rahim. Kita harus jadi lebih ‘marah’ dan tidak sabar serta tidak selesa dengan tindakan yang kita ambil bagi membendung kanser tersebut. Kita kena lebih agresif supaya kita dapat mempercepatkan pencegahan dan rawatan.

Hello Doktor: Selepas ini, Yang Amat Mulia Puteri Dina Mired dari Jordan akan mengambilalih kepimpinan UICC, apa yang membuatkan beliau, calon paling layak memimpin UICC?

Prof. Sanchia Aranda: Setiap presiden UICC adalah unik dan punya pendekatan tersendiri. Puteri Dina adalah seorang insan yang penuh semangat membara, jika anda berada di dalam mesyuarat bersama beliau, kemungkinan besar juga anda akan turut sama bersemangat.

Dengan kepimpinan Puteri Dina, ia akan membuka jalan yang mudah bagi UICC untuk mengadakan dialog dengan kerajaan-kerajaan dan mencapai kata sepakat dalam masa yang singkat. Siapa yang mahu tutup pintu pejabat untuk dialog jika yang datang adalah kerabat Raja Jordan!  

Beliau akan mempamerkan sifat agresif menunjukkan betapa penting isu kawalan dan rawatan kanser diberi perhatian. Dan beliau akan dibantu oleh pakar-pakar yang penuh pengalaman, membawa keupayaan teknikal dan sifat lebih tenang yang dapat memberi nilai tambah kepada kepimpinan Puteri Dina.

Hello Doktor: Apa kata kita sentuh sedikit sisi peribadi Prof. Sepanjang dalam bidang ini, kisah ‘survivor’ kanser mana yang mendapat perhatian anda?

Prof. Sanchia Aranda: Sebenarnya ada banyak kisah mengenai ‘survivor’ terutamanya golongan wanita. Wanita seperti Kirsty Sword Gusmao, isteri kepada Presiden Timur Timor yang didiagnosis dengan kanser payudara. Seterusnya menjadikan beliau wanita besi yang sering berkongsi pengalaman bagaimana beliau memerangi kanser.

Selain itu, kisah Rolah McCabe yang berjaya menang saman ke atas syarikat tembakau juga menarik perhatian saya. Walaupun beliau menghidapi kanser paru-paru dan tidak akan hidup lama, kemenangannya ke atas syarikat tembakau bukan kerana wang tetapi adalah satu signal kepada syarikat tersebut untuk bertanggungjawab.

Tahunlepas, anak saudara perempuan saya meninggal dunia kerana kanser buah pinggang. Keadaannya sangat menyedihkan apatah lagi sedang bergelut dengan penceraian. Hidupnya terumbang-ambing. Walaupun mendapat rawatan daripada hospital kerajaan, namun beliau terpaksa menanggung kos rawatan terapi yang sangat mahal, sedangkan beliau sudah tidak bekerja ketika itu. Kami sekeluarga tekad untuk bantu beliau melunaskan segala bil rawatan. Beliau masih mempunyai keluarga, bayangkan jika pesakit sebatang kara? Kemungkinan besar akan mati di jalanan.

Oleh kerana kes beliau, membuatkan saya berkobar-kobar untuk membantu mereka yang tidak berupaya kerana sistem kesihatan kita tidak memihak kepada mereka yang tiada keupayaan (vulnerables).

Beliau sempat bergurau dengan saya, mungkin kematian beliau adalah sebab untuk saya membantu lebih ramai pesakit. Sesungguhnya kematian beliau tidak sia-sia, malah memberikan semangat dan kekuatan kepada saya untuk mendesak kerajaan supaya melakukan perubahan dalam sistem untuk membantu golongan miskin mendapatkan rawatan kanser yang sewajarnya.

Hello Doktor: Selepas UICC, kemana pula?

Prof. Sanchia Aranda: Saya masih lagi berbakti kepada UICC dengan menjadi salah seorang ahli lembaga ‘Cabaran Kanser Bandaraya’. Cabaran ini perlu pemerhatian rapi dan bimbingan bagi memastikan kejayaannya. Sekurang-kurangnya program ini dapat membuatkan saya sibuk dan leka.

Tapi sebelum itu, saya ingin bercuti menuju ke Seychelles dan menaiki kapal persiaran ke Maldives. Kemudian pulang ke rumah dan masak untuk anak-anak sebelum memulakan kembali kerja-kerja amal demi mencegah kanser.

Itulah temubual bersama Prof. Sanchia Aranda yang banyak memberi inspirasi kepada kami di Hello Doktor. Kami ucapkan maju jaya kepada Prof. Sanchia Aranda yang akan terus menyumbang bakti menerusi ‘Cabaran Kanser Bandaraya’.

Untuk butiran lanjut tentang ‘Cabaran Kanser Bandaraya’ dan maklumat tentang bagaimana bandar raya anda boleh menjadi Bandar Raya Cabaran, layari Senarai Semak Cabaran Kanser Bandar Raya di https://www.uicc.org/challenge-cities.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Risau Payudara Selalu Rasa Sakit Selepas Menopaus? 5 Perkara Ini Mungkin Puncanya

    Ada sebab mengapa menopaus disebut sebagai 'perubahan hidup,' ia boleh mempengaruhi hampir semua bahagian badan, termasuk berasa sakit pada payudara.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Wanita 25/09/2020 . 3 minit bacaan

    Bukan Alat Sulit Sahaja, Mulut Pun Boleh Dijangkiti HPV? Tolong Waspada 9 Tanda Ini!

    Tahukah anda bahawa HPV adalah punca kanser mulut? Jadi jom kita perhatikan tanda-tanda ia berlaku untuk mencegah lebih awal. Jom klik untuk baca!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Mulut 24/09/2020 . 3 minit bacaan

    Kerap Buat Seks Mungkin Boleh Cegah Kanser Prostat! – Berita Baik Atau Palsu?

    Umum sudah tahu bahawa kanser prostat adalah bahaya. Namun tahukah kalian bahawa kerap buat seks mungkin boleh cegah ia daripada berlaku. Jom baca!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Kanser Prostat, Kanser 21/09/2020 . 3 minit bacaan

    9 Perkara Ini PERLU Anda ELAK Ucapkan Pada Pesakit Kanser! Bertimbang Rasa, Please

    Sama seperti insan lain, individu dengan penyakit barah juga mempunyai hati dan perasaan. Jangan lafazkan 9 perkara ini jika anda menziarahi mereka, okay?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Kanser Payudara, Kanser 21/09/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    kesan duduk terlalu lama

    Anda Suka Duduk Sepanjang Hari? Jangan Biasakan Diri, Amalan Ini Boleh Sebabkan Kanser!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 20/10/2020 . 3 minit bacaan
    kanser testis adalah

    Jika Menghidap Kanser Testis, Ini Perkara Yang Akan Berlaku Kepada Alat Sulit Anda!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 14/10/2020 . 3 minit bacaan
    radiasi matahari

    AWAS! Penggemar Cahaya Matahari Berisiko Dapat Kanser Kulit, Ada Kaitan Juga Dengan Genetik?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 14/10/2020 . 3 minit bacaan
    apa itu kayap

    Pesakit Kanser Berisiko Dapat Kayap, Ini Yang Perlu Anda Lakukan Jika Nak Elak!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 07/10/2020 . 3 minit bacaan