Nota pengarang: Selamat tinggal 2018, selamat datang 2019!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 7 minit bacaan
Share now

Sedar tidak sedar, kita sudah melengkapkan 365 hari di tahun 2018. Cukup setahun yang penuh dengan cabaran, kejutan, pencapaian, suka dan duka buat semua. Tidak kurang juga dengan sektor kesihatan awam yang menyaksikan pelbagai peristiwa dan momen yang akan dikenang sebagai catatan dan menjadi lipatan dalam sejarah.

Suka untuk kami di Hello Doktor menyoroti tahun yang penuh bermakna ini dan mempersiap siaga masyarakat Malaysia umumnya dan para pembaca kami yang setia khususnya dengan apakah yang bakal menanti bermula esok di tahun baru 2019.

Isu-isu menarik di tahun 2018

Mari kita bermula dengan isu-isu menarik mengenai kesihatan awam di Malaysia dan global. Tahun 2018 menyaksikan WHO mengumumkan mengenai sasaran global untuk mengurangkan kematian pra matang akibat penyakit tidak berjangkit (NCDs) pada kadar 25 peratus menjelang tahun 2025 mungkin tidak akan tercapai, sepertimana yang diumumkan ketika mesyuarat tertinggi kesihatan dunia di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada september lepas. Masyarakat global perlu mengembleng tenaga dan mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam menangani NCDs.

Selain itu, ketidak bolehan mencapai sasaran mengenai NCDs tersebut disokong dengan data yang penyakit NCD lain iaitu dianggarkan lebih 1 bilion manusia mengalami gangguan mental dan penyakit lain yang berkaitan mental dan neurologi. Jika kita merasakan angka ini seakan-akan diperbesarkan, mari kita lihat laporan mengenai selebriti dan personaliti terkemuka dunia yang tewas kepada masalah mental dan mengakhiri penderitaan mereka buat selamanya. Tahun 2018 menyaksikan Anthony Bourdain, Chester Bennington, Jo Min-ki dan Mark Salling antaranya yang mengambil nyawa sendiri. Ramai yang tidak menyangka mereka akan pergi selamanya dengan cara sebegitu, malah ahli keluarga dan rakan paling rapat mereka turut sama meratapi kepergian mereka. It’s just too soon, kata mereka.

Itu antara peristiwa penting global yang kami rasakan perlunya kita mengenang semula dan mengatur strategi bergerak ke hadapan agar kita dapat mendepani segala kebarangkalian mengenai kesihatan awam dengan lebih ampuh dan inklusif.

Manakala dalam negara pula menyaksikan setelah bertahun memperjuangkan isu larangan merokok di tempat awam, akhirnya Kementerian Kesihatan mewartakan larangan yang akan bermula 1 Januari 2019 walaupun mendapat tentangan daripada pemegang taruh daripada pengendali restoran dan ‘mamak’ yang merasakan sumber pendapatan mereka akan terjejas kelak. Namun begitu, Menteri Kesihatan tetap bertegas meneruskan larangan tersebut kerana merasakan kepentingan kesihatan awam keseluruhannya harus dipelihara.

Untuk mengikuti selanjutnya mengenai isu-isu menarik mengenai kesihatan awam di tahun 2018, sila baca: Kesihatan Awam: 5 Sorotan Isu Menarik Sepanjang 2018.

Pencapaian dalam bidang kesihatan di tahun 2018

Tahun 2018 menyaksikan banyak kajian dan rekacipta inovatif dalam bidang kesihatan yang memberi manfaat kepada masyarakat global. Agenda inovatif bidang kesihatan ini terkandung dalam Forum Ekonomi Dunia menerusi Revolusi Perindustrian Keempat 4.0 yang menekankan mengenai kejituan perubatan, internet of things (IoT), dan kecerdasan buatan (AI).

Antara yang mendapat perhatian adalah apabila Vanuatu menjadi negara pertama di dunia yang menggunakan dron untuk menghantar vaksin kepada rakyatnya yang tinggal di kawasan terpencil dan sangat sukar untuk diakses kerana keadaan geografinya yang sukar untuk urusan logistik kebiasaan. Penggunaan dron bukan sahaja dapat mencepatkan masa penghantaran ubat/kelengkapan kesihatan, malah dapat menyelamatkan beribu nyawa dan sangat ekonomik.

Selain itu, penghasilan pil ubat yang boleh dikawal menggunakan peranti elektronik juga menarik perhatian kami. Teknologi yang direka oleh saintis di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Draper, dan Bringham & Women’s Hospital ini bukan sahaja menepati teknologi IoT, inovasi ini juga mencapai kejituan perubatan apabila doktor dapat mengawal kadar pelepasan dos ubat yang tepat untuk seseorang pesakit, sekaligus dapat mengawal faktor risiko kesan sampingan ubat kepada pesakit.

Anda boleh mendapatkan lebih banyak informasi pencapaian teknologi kesihatan di tahun 2018 menerusi artikel ini: 7 Penemuan Perubatan Utama Tahun 2018 dan Kesihatan Dan Teknologi Perubatan: Harapan 2019.

Wira-wira Kesihatan Awam 2018

Semestinya ramai anak Malaysia yang mengharumkan nama negara dalam bidang perubatan di tahun 2018. Dari bidang endokrinologi hinggalah kepakaran pembedahan, pakar perubatan kita terus melakar nama dalam bidang masing-masing dan menjadi rujukan global.

Namun begitu, tiada apa yang lebih penting mengenai penerima Hadiah Nobel bagi bidang kesihatan apabila panel pemilih sebulat suara memberi pengiktirafan kepada dua pakar perubatan dalam bidang imunologi iaitu Dr. James Allison dan Dr. Tasuku Honjo. Pemilihan mereka berdua ini memberi titik tolak mengenai kaedah terapi sistem pertahanan badan (imunisasi) sebagai rawatan alternatif kepada kemoterapi yang menjadi kebiasaan dalam rawatan kanser.

Pengumuman mereka berdua sebagai penerima Hadiah Nobel tahun ini memberi isyarat kepada sektor kesihatan awam untuk mengarus perdanakan dan memberi lebih banyak capaian kepada rawatan tersebut kepada lebih ramai pesakit kanser. Ini sekaligus, menjadi titik pendemokrasian rawatan terapi imun yang selama ini kosnya sangat mahal dan tidak mampu ditanggung oleh pesakit kanser yang kurang berkemampuan, sekaligus, menuju impian untuk nyah hapuskan rawatan kesihatan sebagai komoditi yang menguntungkan pemain industri semata-mata.

Diharapkan pada tahun 2019 dan seterusnya, rawatan alternatif kanser menjadi lebih  murah dan dapat meliputi segenap masyarakat tanpa mengira status ekonomi mereka. Sesungguhnya langkah ini sangat mulia dan bertepatan dengan impak pemberian pengiktirafan tertinggi global tersebut kepada Dr. James Allison dan Dr. Tasuku Honjo kerana ia berjaya memobilisasikan kesihatan awam.

Selain itu, terdapat seorang lagi pengamal perubatan yang wajar diberi perhatian, beliau adalah anak tempatan; Dr. Muhd Lutfi Fadil Lokman yang merupakan pengasas Hospital Beyond Boundaries. Di sebalik pemodenan teknologi perubatan dan semakin hilangnya sentuhan ‘keajaiban’ seorang doktor, Dr. Muhd Lutfi kembali kepada asas-asas kemasyarakatan sepertimana yang dilafazkan oleh para doktor menerusi akujanji hippocratic.

Penyediaan rawatan asas dan primer kepada masyarakat tidak mengira latar belakang dan di mana mereka berada; semua berhak mendapatkan rawatan asas, adalah misi doktor muda tersebut. Maka tertubuhlah Hospital Beyond Boundaries yang bermula di Phnom Penh, Kemboja. Malah usaha beliau telah mendapat pengiktirafan Anugerah Pemimpn Muda oleh PBB.

Sememangnya tiada sumbangan terlalu besar dan terlalu kecil bagi mereka yang bergelar doktor. Kisah mereka ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menabur bakti demi kepentingan sejagat. Lebih banyak informasi mengenai mereka, baca selanjutnya di: Hero Perubatan dan Kesihatan 2018: Wira Tidak Didendang.

Apa yang menanti di tahun 2019?

Apalah ertinya kehidupan tanpa cabaran? Begitu juga cabaran-cabaran dalam bidang kesihatan global yang akan memberi kita kekuatan dan ilham dalam menjadikan masyarakat kita lebih kuat dan mampan mengharungi kehidupan. Cabaran-cabaran tersebut memberikan kita satu tamparan ‘reality check’ agar tidak terlepas pandang dan terus menjadi keutamaan kita agar mempertahankan sistem dan peraturan mengenai kesihatan global.

Penekanan terhadap sistem kesihatan global turut berkait rapat dengan matlamat ketiga Sustainable Development Goals (SDG) yang dikeluarkan oleh PBB, iaitu untuk memastikan kehidupan manusia yang sihat dan mempromosikan kesejahteraan kepada semua manusia di semua peringkat umur.

Antara cabaran tersebut adalah perubahan iklim dan kemudaratan kesihatan, di mana para pemikir dunia dalam bidang ekonomi, pengurusan iklim dan kesihatan global memberi perkaitan munasabah mengenai perubahan iklim dan kesannya kepada kesihatan. Dalam kita mengejar kekayaan dan harta di dunia dengan guna teroka tanah kepada perindustrian dan komersial, kita terlupa bumi kita cuma ada satu dan harta paling berharga sebenarnya adalah kesihatan. Kesan langsung akibat perubahan iklim seperti peningkatan kadar ‘carbon footprint’, peningkatan paras air laut,cuaca yang radikal dan tidak menentu, semestinya bukan sahaja merugikan ekonomi malah mendatangkan pelbagai jenis penyakit, tidak kurang juga mencipta keadaan kesihatan yang tidak pernah dialami sebelum ini (alahan yang teruk, keadaan autoimun, kejanggalan penyakit dalam kalangan kanak-kanak).

Realitinya, setiap kerajaan di dunia ini memerlukan pendekatan holistik yang merangkumi semua aspek penting kehidupan serta perubahan dinamik keadaan semasa mengenai dasar ekonomi dan pengurusan sumber yang lebih teratur, inklusif dan lestari. Nyatanya, perubahan iklim tetap akan berlaku dan sedang berlaku, dengan strategi yang tepat, kita dapat mengurangkan impak perubahan iklim kepada ekonomi dan kemaslahatan masyarakat.

Selain itu, dominasi ekonomi kesihatan menyesakkan masyarakat dunia. Isu-isu seperti ketersediaan ubat-ubatan dan kemampuan masyarakat bagi mendapatkannya terus membelenggu sektor kesihatan awam dari dulu hingga sekarang. Nyatanya, industri farmaseutikal masih memerlukan kaedah dan dasar mengutamakan kepentingan umat manusia haruslah melebihi keinginan mereka untuk mengaut keuntungan. Kita semua tahu di sebalik sesuatu ubat itu, terdapatnya kajian bertahun dan rintangan komersialisasi sebelum ia dapat dikeluarkan di pasaran. Itu adalah nilai industri farmaseutikal yang tidak boleh ditukarganti dengan wang ringgit. Nilai itu adalah harga sebuah kemanusiaan.

Diharapkan pemain industri dapat meletakkan ego dan keuntungan mereka ke tepi dalam bekerjasama dengan kerajaan bagi menghasilkan ubat-ubatan yang lebih mampu harganya terutama kepada negara-negara yang mempunyai sumber terhad.

Baca selanjutnya mengenai cabaran-cabaran lain bagi sektor kesihatan di: Realiti Semasa dan Cabaran Kesihatan Global pada Tahun 2019.

Malaysia Baru, Bajet Kesihatan pun ada pembaharuan!

Walaupun negara berdepan dengan kekurangan dana akibat ketidakcairan kewangan dan aset kerajaan, namun itu bukanlah alasan untuk tidak mengutamakan sektor kesihatan. Rakyat menerima manfaat lebih signifikan berbanding bajet terdahulu apabila kerajaan memperuntukkan RM29 bilion bagi sektor kesihatan, nilai tertinggi yang pernah diterima oleh sektor tersebut.

Di atas kertas, bajet 2019 sememangnya ‘on point’ apabila bajet kesihatan kali ini disuntik strategi dan inisiatif menyasarkan kumpulan pendapatan B40 agar mereka dapat memaksimakan manfaat daripada peruntukan tersebut.

Antara strategi yang dilaksanakan demi manfaat kumpulan B40 adalah pengenalan kepada Dana Perlindungan Kesihatan B40 Nasional yang meliputi rawatan penyakit-penyakit kritikal di pusat perubatan swasta. Semoga inisiatif ini berjalan lancar apabila ia dilancarkan kelak.

Dalam bajet 2019 juga kerajaan mencadangkan cukai minuman bergula yang diharap dapat mencegah krisis obesiti dalam kalangan rakyat. Diharapkan kutipan cukai ini dapat disalurkan tepat kepada program-program kesihatan berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCDs) seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung. Selain mempelbagaikan pendapatan kerajaan, cukai ini juga dapat mempromosi pilihan gaya hidup sihat.

Bercakap mengenai promosi kesihatan atau program pencegahan penyakit, dengan peningkatan bajet bagi sektor kesihatan kali ini, maka lebih banyak peruntukan dapat disalurkan bagi tujuan tersebut. Jika dibuat perbandingan, jumlah yang diberi oleh kerajaan bagi program promosi kesihatan di tahun-tahun sudah adalah sangat kecil dalam kalangan negara Asia/ASEAN. Pelaburan kerajaan dalam promosi kesihatan dan pencegahan penyakit adalah menguntungkan bagi jangka masa panjang dengan jangkaan pengurangan kos bagi rawatan penyakit dalam kalangan rakyat. Ini sekaligus dapat memberi kerajaan lebihan dana yang dapat disalurkan bagi tujuan pembangunan dan pendidikan.

Anda dapat melihat keseluruhan manfaat daripada bajet 2019 menerusi artikel ini: Bajet 2019: Apa Manfaatnya kepada Rakyat?

Paling penting, jaga kesihatan anda di tahun 2019

Kami di Hello Doktor akan terus menjadi mata dan telinga anda dalam menyediakan informasi-informasi mengenai kesihatan awam kepada masyarakat Malaysia. Diharapakan di tahun baru 2019, kita semua akan dikurniakan lebih banyak perkara-perkara positif dan menjadikan kita lebih produktif agar kehidupan kita lebih bahagia di tahun 2019 dan tahun-tahun seterusnya. Sekaligus, menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Paling penting, jaga kesihatan anda, uruskan faktor risiko penyakit dengan lebih baik, jaga pemakanan dan sentiasa pastikan minda kita dalam keadaan terbaik.

Mungkin ada di antara kita yang ingin mengikuti trend kesihatan terbaru di tahun 2019 demi mencuba kelainan untuk mencapai azam baru.

Diet eco-keto, studio mendayung, mesonutrien, wearable tech dan amalan berpuasa antara trend yang dijangka menarik perhatian orang ramai yang menitikberatkan kesihatan. New year, new you lah! Maklumat lanjut mengenai semua ini terdapat di: 6 Trend Kesihatan Baru Tahun 2019.

Mungkin ada di antara kita tidak pasti bagaimana untuk bermula dengan langkah yang betul? Jangan risau, Hello Doktor sudah pastinya di sisi sebagai teman kesihatan anda. Informasi-informasi yang disediakan oleh barisan editorial kami menjanjikan anda dengan fakta kesihatan yang tepat, sahih, relevan dengan masyarakat Malaysia dan seiring dengan isu-isu semasa kesihatan.

Teruskan membaca dan mengilhamkan kami untuk beri yang terbaik di tahun 2019.

Selamat tahun baru!

~ Pengarang, Hello Doktor

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy

Baca juga: