
Minggu lepas, ketika saya melakukan rondaan harian wad, saya bertemu seorang pakcik tua berbangsa Cina yang dimasukkan ke wad setelah pengsan selepas dialisis. Bacaan gula pakcik ketika pengsan 1.8mmol/L (tersangat-sangat rendah) maka rawatan kecemasan dimulakan dengan bentuk pemberian air gula untuk mengimbangi semula bacaan gula yang normal bagi mengelakkan komplikasi neurologi (otak dan saraf) yang berpanjangan.
Saya lihat dalam nota lama pakcik, setahun lepas saya sendiri jumpa pakcik ini di klinik. Memang saya sudah tahu tentang bacaan gula yang selalu rendah lalu saya turunkan ubat kencing manisnya ke dos yang minimum lalu memintanya datang kembali dalam masa terdekat untuk pemeriksaan semula.
Selang beberapa minggu, seorang lagi doktor telah berjumpa pakcik lalu menghentikan semua ubat kencing manis akibat masih mengalami masalah gula rendah. Saya lihat pakcik sering datang rawatan susulan seorang diri, malah di wad pun dia asyik sendiri.
Lalu saya bertanya pada pakcik “pakcik mana senarai ubat?”. Dalam pelat cinanya dia menjawab “Ada dalam ini beg”. Tapi tiada pun. “Pakcik masih makan ubat kencing manis?” Saya bertanya lagi. “Makan! Satu hali dua kali,” katanya. “Pakcik ubat tu dah lama kita berhentikan,” ujar saya lagi. Pakcik kelihatan keliru. “Siapa tengokkan ubat pakcik?”. Tiada jawapan.
Saya bertegas pada doktor-doktor junior saya. “Dapatkan ahli-ahli keluarga atau penjaga dia. Bawa semua ubat di rumah. Saya tak kira berapa bacaan gula dia sekarang, saya takkan benarkan dia pulang selagi ubat di rumah tidak diperiksa!”. Dua hari kemudian, saya ulang, DUA HARI kemudian baru isterinya membawa dua beg plastik besar. Hanya Tuhan yang tahu ubat dari zaman bila.
Dengan insulin yang dah enam bulan diberhentikan, dengan ubat kencing manis yang dah tiga bulan diberhentikan semua berkepuk dalam plastik cukup untuk makan lagi setahun. Makcik pun menambah “Ini saya pastikan ada semua jenis je doktor, ada banyak lagi di rumah”. Terduduk saya ketika melihat semua ubatannya. Tidak disusun rapi dan tiada siapa membantu dia. Itu belum tambah dengan segala jenis supplemen yang dibeli dari sana-sini entah untuk apa.
Berkali-kali di klinik dialisis, saya beritahu pesakit, fungsi buah pinggang tidak elok dan perlu berbincang tentang rawatan dialisis. Pesakit berdegil tidak mahu. Katanya dia sihat. Walhal kakinya bengkak, dadanya sakit. Minta bawa keluarga, kata anaknya sibuk. Kami bukan penjara ye kawan-kawan. Selagi pesakit ada kapasiti untuk berfikir tetapi sendiri menafikan rawatan, kami tidak boleh ikat mereka di katil atau kerusi.
Lalu jenuhlah saya terangkan tentang risiko yang boleh berlaku bila-bila masa tapi masih ada yang berdegil. Lazimnya beberapa minggu atau bulan kemudian, pesakit akan dibawa ke hospital dalam keadaan tenat. Tiub sana-sini dengan ubat masuk kanan-kiri. Ahli keluarga? “Doktor kena buat semua benda doktor. Dia sihat sebelum ini! Jalan, makan, minum tiada masalah!”
Terkesima. Tak terkata. Andai dimarah nanti dicaci tidak sensitif atau tak cuba memahami. Cakap baik-baik kata tak serius. Tambah terkesima, bila kita cuba buat dialisis kecemasan dalam keadaan mereka dah terlalu tenat, mula keluar ayat “kat rumah dia ok. Bawak dialisis terus macam nak mati. Apa benda doktor buat ni?”
Tenangkan hati, jangan dibalas, buat kerja kerana Tuhan… Macam-macam jenis mantra dibaca nak kurangkan amarah. Dalam hati berjanji takkan aku biar mak ayah aku jadi macam ini. Sayangnya, nak jaga mak bapak orang lain kena kerja siang malam beribu batu dari mereka. Terima kasih pada kawan-kawan yang sanggup tolong tengokkan.
Tanggungjawab wahai pembaca. Cuba kita ingat masa kita kecil dulu waktu demam. Meraunglah tak nak jumpa doktor, tak mahu kena cucuk. Siapa yang bawa? Ubat yang rasa pahit sukar untuk ditelan, siapa yang suap? Tak banyak saya minta, pilih seorang ahli keluarga atau ambil giliran. Iringlah mereka. Ambil tahu masalah mereka. Ketahuilah apa yang mereka ingin atau tak ingin lakukan. Betul, mereka ada hak untuk memilih, tetapi anda wajar tahu apa yang mereka pilih.
*Segala pandangan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini adalah bersifat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan polisi Hello Doktor.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga: