Perbezaan Antara Faktor Risiko Dan Punca

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 10/07/2020 . 5 minit bacaan
Share now

Dilema Faktor Risiko Dan Punca

Sekiranya anda seseorang dalam bidang perubatan atau kerap menelaah jurnal perubatan, anda akan kerap bertemu dengan perkataan seperti ‘Faktor Risiko’ dan juga ‘Punca’, khususnya dalam perbincangan penyakit yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Malahan, faktor risiko dan punca ini kerap digunakan dengan maksud yang seakan-akan sama. Contoh yang mudah adalah kenyataan seperti ‘Punca Kanser Paru-paru Adalah Merokok’ atau ‘Diabetes Adalah Faktor Risiko Untuk Mati Pucuk

Kenyataan yang lazim anda dengar ini memerlukan penelitian yang lebih terperinci, khususnya berkaitan merokok dan kanser paru-paru. Menyatakan tabiat merokok sebagai punca kepada kanser paru-paru adalah kenyataan yang mengandungi sedikit masalah dari sudut konsistensi kaitan (correlation) dan dari terma epidemiologinya. Mengapa? Kerana walaupun terdapat kaitan yang tinggi antara merokok dan insiden kanser paru-paru, terdapat golongan perokok yang sehingga mereka mati atau tua pun tidak menghidap kanser paru-paru atau mengalami perubahan histologi paru-paru mereka yang mengundang kanser. Oleh yang demikian, hakikat merokok sebagai punca, adalah hujah yang tidak memenuhi syarat. Sebaliknya, ianya lebih tepat disebut sebagai faktor risiko.

Apa Itu Faktor Risiko?

Faktor risiko adalah terma epidemiologi yang wujud berdasarkan prinsip korelasi. Faktor risiko bagi sesuatu keadaan bermaksud ianya meningkatkan lagi kemungkinan seseorang untuk menghidap keadaan tersebut. Untuk menggambarkannya dengan lebih mudah, lihat graf di bawah antara pengambilan makanan berkalori tinggi, dan juga peningkatan berat badan.

perbezaan antara faktor risiko dan punca

Berdasarkan graf di atas, jelas wujudnya korelasi positif antara peningkatan berat badan dengan peningkatan jumlah kalori harian. Dalam bahasa yang mudah, korelasi di sini berlaku apabila faktor risiko (jumlah kalori harian yang tinggi) membantu kita untuk meramal insiden obesiti dan berat badan berlebihan. Penting untuk kita faham bahawa korelasi tidak bermaksud punca atau sebab. Mengapa? Kerana tanpa pengambilan makanan berkalori tinggi pun seseorang boleh menjadi obes dan dengan makanan yang sihat pun, seseorang masih boleh mempunyai berat badan berlebihan. Lihat jadual di bawah.

perbezaan antara faktor risiko dan punca

Jadual ini menunjukkan Wajdi mengamalkan diet yang tidak sihat dan mempunyai berat badan berlebihan. Sebelum anda cepat untuk menuding jari punca berat badan berlebihan itu akibat pemakanan yang tidak sihat, lihat pula Wafiq yang turut mengamalkan diet yang sama namun mempunyai berat badan yang ideal. Ini kerana lebihan kalorinya dibakar melalui aktiviti sukan. Waqiuddin yang mengamalkan diet sihat tetap mempunyai berat badan berlebihan. Dalam kes ini, keadaan Hipotiroid menyebabkan kadar metabolisma Waqiuddin menjadi rendah. Jadi, walaupun dengan diet yang sihat, Waqiuddin tetap mempunyai berat badan berlebihan. Jelas di sini, diet yang tidak sihat tidak menjanjikan berat badan berlebihan, begitu juga sebaliknya. Justeru, diet tidak sihat di sini adalah faktor risiko kepada berat badan berlebihan. Jadi, apa pula yang dimaksudkan dengan punca?

Kriteria Hill dan Apa Itu Punca?

Menurut Dr Kenneth Rothman, pakar epidemiologi yang mahsyur, dalam membezakan faktor risiko dan punca, perlu difahami bahawa ‘Punca itu merujuk kepada keadaan atau sifat yang, tanpanya, suatu penyakit itu tidak akan terjadi.’ Justeru, hubung kait sebab-akibat ini merujuk kepada keadaan di mana suatu kesan itu, difahami sebagai sesuatu berpunca daripada sebab atau suatu punca. Dalam perbendaharaan kata saintifik, ‘punca’ membawa tahap keyakinan yang tertentu.

Punca mutlak adalah sesuatu yang cukup sukar untuk dibuktikan. Lazimnya, pengkaji masa kini memperoleh sesuatu yang boleh disebut sebagai ‘punca’ melalui pembuktian berdasarkan kajian terkawal-rawak (Randomised Controlled Trial) yang sempurna. Antara kriteria yang digunakan dalam menentukan sesuatu itu sebagai punca adalah Kriteria Hill untuk penyebab (Hill’s criteria for causation).

Pada awal abad ke 20, zaman di mana populariti tabiat merokok mula mendapat tempat dalam definisi maskuliniti dan juga sebagai tabiat pelega yang mudah dan cepat, berlakunya peningkatan kes kematian akibat kanser paru-paru. Fenomena yang mendapat perhatian para pengkaji ini mendorong beberapa penyelidikan yang meneroka hubung kait antara merokok dan kanser paru-paru. Antara figura terawal yang meletakan batu asas kepada kaitan kuat antara kedua-dua pemalar itu adalah Austin Bradford Hill. Sekitar tahun 40-an dan 50-an, Hill telah menjalankan dua kajian, – kajian pertama adalah kajian kes terkawal (Case-controlled study) sebelum diikuti kajian kohort prospektif.

Dapatan daripada kajian-kajian ini menunjukkan kaitan yang sangat kuat antara merokok dengan kanser paru-paru. Malahan, merokok turut berkait rapat dengan peningkatan keadaan bukan kanser yang lain (Emfisima, TB dan strok). Walaupun kaitan yang cukup kuat ini berjaya dibuktikan, kritikan diberikan kerana ianya tidak membuktikan penyebab. Justeru, anjakan paradigma dalam definisi ‘punca’ berlaku, apabila punca itu bukannya dilihat sebagai pertimbangan formula pemerhatian, sebaliknya ianya dirumuskan berdasarkan himpunan pembuktian yang kukuh (body of evidence). Dalam membincangkan faktor risiko dan punca, Hill mencadangkan 9 kriteria yang menyebabkan faktor risiko itu cukup untuk dikira sebagai punca. Berikut dalah 9 kriteria tersebut:

  1. Kekuatan Hubung Kait: Semakin kuat kaitan sesuatu pemalar dengan suatu kesan, semakin tinggi kemungkinan ianya adalah punca.
  2. Konsistensi (Kebolehan untuk menghasilkan semula keputusan yang sama): Dapatan yang konsisten dalam kajian oleh orang yang berbeza dan populasi yang berbeza mengukuhkan lagi kemungkinan ianya adalah punca.
  3. Kekhususan: Hubung kait sebab-akibat adalah lebih kuat apabila penyakit khusus, berlaku dalam populasi yang khusus, pada tempat yang khusus tanpa ada kebarangkalian penjelasan yang lain. Semakin khusus kaitan antara faktor dan kesan, semakin ianya padan sebagai punca.
  4. Sifat Temporal: Kesan itu harus berlaku selepas pendedahan kepada faktor atau faktor tersebut harus mendahului kesan itu dengan perbezaan yang titik mula yang jelas. Jika ada tempoh lengah yang boleh dijangka antara pendedahan dan permulaan kesan, maka kesan itu perlu berlaku selepas tempoh lengah itu.
  5. Kewujudan cerun (gradien) bersifat biologikal: Gradien di sini boleh berlaku dalam beberapa bentuk. Pertama, semakin kerap atau jitu pendedahan kepada suatu faktor, semakin tinggi insiden sesuatu itu (contoh, semakin ramai rakyat menghisap rokok, semakin tinggi insiden kanser paru-paru). Namun yang demikian, ada juga situasi di mana hanya kewujudan faktor tersebut, tanpa mengira magnitud pendedahan, sudah cukup untuk menghasilkan kesan. Ada juga cerun yang bersifat berkadar songsang (inversely proportional), di mana semakin tinggi faktor itu, semakin rendah insiden sesuatu.
  6. Kemungkinan Masuk Akal Atau Tidak (Plausibility): Mekanisma yang mempunyai kemungkinan yang masuk akal atau boleh dipercayai menyokongnya sebagai punca namun ianya terhad kepada tahap pengetahuan sedia ada tentang isu tersebut.
  7. Kepaduan: Kepaduan antara dapatan epidemiologi dan makmal meningkatkan lagi kemungkinan bahawa sesuatu itu adalah punca. Namun yang demikian, kurangnya pembuktian daripada ujian makmal tidak menolak kemungkinan sesuatu itu adalah punca.
  8. Eksperimen: Maksud eksperimen ini merujuk kepada membuang suatu faktor itu dalam eksperimen menyebabkan kesan itu berkurangan atau hilang/ kesannya boleh diramal.
  9. Analogi: Merujuk kepada metafora perbandingan dengan sesuatu yang hampir serupa dengan faktor yang dikaji.

Dalam meneroka perbezaan faktor risiko dan punca, perlu difahami bahawa dunia sains dan kajian itu bersifat transformatif dan dinamik, ianya berkembang dengan perkembangan pengetahuan kita terhadap sesuatu. Metodologi sains itu penting dalam memacu naratif baik buruk sesuatu demi kesihatan sejagat dan ianya menjadi landasan pembentukan ilmu kita. Menolak metodologi sains adalah bahaya dan tidak bertanggungjawab kerana ianya meletakkan asas pengetahuan kita bukan pada sesuatu yang berstruktur dan boleh dibuat semula.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Teknologi Laser Dalam Perubatan Mudahkan Kajian Sel Kanser

    Kaedah baharu teknologi laser bagi menganalisis sel-sel kanser boleh membantu para penyelidik membuat analisis 3,000 sel kanser dalam masa hanya 15 minit!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Shelby
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Gaya Hidup Sihat, Fakta Menarik 02/04/2019 . 2 minit bacaan

    Punca-Punca Utama Ketidaksuburan Dalam Lelaki

    Ketidaksuburan dalam kalangan lelaki merupakan masalah kritikal keibubapaan. Keadaan ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah faktor keadaan kesihatan, faktor persekitaran dan faktor gaya hidup. Faktor-Faktor ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Lelaki 22/02/2019 . 2 minit bacaan

    Penurunan Risiko Penyakit Kardiovaskular: Melihat Itu Lebih Sekadar Mempercayai

    Keupayaan untuk berkomunikasi dengan pesakit menggunakan bahasa mudah khususnya dalam penyampaian maklumat kritikal berkaitan dengan keadaan pesakit tersebut adalah satu seni komunikasi yang diterapkan dalam diri ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Shelby
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Berita, Berita Antarabangsa 18/02/2019 . 2 minit bacaan

    7 Penemuan Perubatan Utama Tahun 2018

    Tahun 2018 bakal melabuhkan tirai beberapa hari sahaja lagi. Dunia telah menyaksikan banyak inovasi dan revolusi dalam pelbagai bidang. Tidak ketinggalan juga ialah bidang perubatan yang sentiasa berkembang dengan ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Shelby
    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim
    Berita, Berita Antarabangsa 26/12/2018 . 4 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    44 Individu MAUT Kerana Percaya ‘Petua Cegah’ COVID-19, Jangan Main Share Saja!

    44 Individu MAUT Kerana Percaya ‘Petua Cegah’ COVID-19, Jangan Main Share Saja!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 17/03/2020 . 4 minit bacaan
    psoriasis

    Ayuh, Mari Hapus Stigma Psoriasis!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 25/10/2019 . 2 minit bacaan
    doktor-kot-putih

    Doktor…Tanggalkan Kot Putih Tu

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 11/10/2019 . 2 minit bacaan
    cara nak tinggi

    Jangan Rendah Diri Jika Anda Pendek, Mungkin Boleh Cuba Cara Untuk Tinggi Ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Diterbitkan pada 29/04/2019 . 3 minit bacaan