Adakah Ini Pengganti Kepada Haiwan Dalam Menguji Kesan Sampingan Ubat?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 12/12/2019 . 3 minit bacaan
Share now

Ubat yang baru dicipta oleh mana-mana syarikat atau saintis tidak boleh digunakan serta-merta oleh subjek manusia. Ini berikutan kesan sampingannya yang masih tidak diketahui dan berkemungkinan boleh memberi implikasi yang buruk. Penggunaannya terhadap haiwan kajian merupakan fasa awal kepada ujian ubat yang ingin dipasarkan kelak. Di sini kami ingin “mengintai” salah satu kaedah lain yang boleh menggantikan haiwan dalam menguji keberkesanan ubat. Teruskan membaca.

Haiwan bukan subjek yang boleh diharap?

Walaupun telah berabad lamanya haiwan subjek kajian telah digunakan bagi menguji keberkesanan ubat, ia tidak berupaya mengenal pasti kesemua kesan negatif ubat tersebut. Menurut laman web Science News, haiwan seperti anjing, tikus putih dan monyet hanya boleh mengenal pasti 71% kesan toksik sesuatu ubat sebelum ia dibawa kepada fasa ujian seterusnya. 

Pelbagai kaedah pernah dibuat bagi mencari alternatif selain haiwan seperti sel manusia atau tisu di dalam piring petri. Namun, hanya haiwan sahaja yang mampu menggambarkan kesan sampingan ubat pada keadaan yang hampir serupa dengan manusia. Perkara ini sering dikaitkan dengan pelbagai jenis isu seperti isu etika, pengetahuan umum dan kontroversi terhadap haiwan yang diuji. Namun, bagaimanakah dengan baki 29% kesan sampingan yang tidak diketahui oleh subjek manusia pada fasa seterusnya?

Sebagai contoh, ubat hipertensi yang dikenali sebagai bosentan. Apabila diuji pada tikus putih, ia tidak menunjukkan apa-apa kesan sampingan terhadap organ hati. Namun pada fasa subjek manusia, ia menyebabkan pengumpulan garam hempedu pada organ hati menyebabkan organ tersebut rosak. 

Teknologi cip organ

Tujuan teknologi ini dicipta adalah untuk menyerupai organ yang ingin diuji. Cip tersebut mempunyai sel-sel yang tumbuh bagi membentuk struktur dan fungsi yang sama dengan sistem organ manusia. Oleh sebab ia merupakan representasi organ pada saiz yang kecil, ujian ubat boleh dilaksanakan pada kadar yang cepat dan mempunyai kos yang lebih murah berbanding dengan penggunaan subjek haiwan.

Setiap cip mempunyai sel dan tisu yang tersendiri. Pemilihannya berdasarkan organ sasaran yang ingin diuji oleh pengkaji sama ada ia sel otak, paru-paru, jantung atau pun buah pinggang. Laporan yang diterbitkan di platform Science Translational Medicine telah menunjukkan keupayaan cip ini untuk membentuk sel atau tisu haiwan dan juga manusia. Ini membolehkan perbandingan kesan sampingan di antara sel haiwan dan manusia dibuat. 

Ambil contoh ubat hipertensi bosentan yang telah disebutkan sebentar tadi. Walaupun kesan sampingannya tidak dapat dikesan melalui fasa ujian haiwan, ia mendapat reaksi positif (ada kesan sampingan) pada cip yang dicipta oleh syarikat Emulate Inc. yang bertempat di Boston. Namun terdapat beberapa isu yang perlu diketengahkan sebelum haiwan kajian boleh digantikan dengan cip organ tersebut.

  • Cip tersebut boleh membentuk satu organ spesifik. Namun mampukah ia untuk membentuk sistem yang berteraskan pelbagai jenis organ bagi menjamin ketepatan dapatan kajian kesan sampingan ubat tersebut? Menurut Jos Joore, Pengarah kepada syarikat Mimetas, tahap kompleks cip tersebut akan meningkat selari dengan jumlah peningkatan cip organ yang disambungkan dalam satu rantaian sistem
  • Sesetengah ubat menunjukkan kesan sampingan kepada haiwan kajian, namun tiada apa-apa reaksi pada cip organ tersebut. Sebagai contoh, ubat JNJ-2 yang telah dihentikan kerana ia menyebabkan masalah fibrosis hati pada model tikus. Ia tidak menyebabkan masalah yang sama pada cip organ. Sejauh manakah tahap ketepatan reaksi cip organ tersebut terhadap kesan sampingan ubat yang diuji?

Konklusi

Teknologi cip organ masih lagi pada peringkat percubaan. Ia perlu diuji terlebih dahulu dan kesannya perlu direkodkan dalam kajian sebelum kita boleh mula menggunakannya sebagai pengganti kepada haiwan kajian. Teknologi akan terus berkembang dan suatu hari nanti, tidak mustahil jika gabungan cip organ ini dapat membentuk satu sistem yang boleh memberikan pemodelan yang hampir sama dengan manusia.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga: