Nota Pengarang: Hari Kesihatan Dunia 2019

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 7 minit bacaan
Share now

Menjelang 7 April hujung minggu ini. Apa istimewanya dengan tarikh tersebut? Bagi masyarakat umum, 7 April hadir seperti hari-hari biasa yang mungkin tidak membawa sebarang makna yang signifikan, namun tidak bagi komuniti kesihatan di seluruh dunia, di mana hari ini merupakan Hari Kesihatan Dunia.

Hari Kesihatan Dunia disambut bagi merai dan satu refleksi kepada seluruh komuniti kesihatan dunia; melihat sejauh manakah dunia telah melakukan yang terbaik bagi meningkatkan taraf kesihatan, membuat perbandingan penanda aras kualiti perkhidmatan kesihatan masyarakat setempat, sekaligus menyumbang kepada matlamat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu Liputan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage).

Kempen Hari Kesihatan Dunia begitu penting dan relevan dalam konteks kesihatan global masa kini – iaitu capaian kepada perkhidmatan dan sokongan kesihatan harus tersedia, tidak kira masa, dan di mana sahaja. Hari Kesihatan Dunia juga memberi peluang kepada komuniti kesihatan melaksanakan kempen kesedaran awam dalam memahami dan membuat perbandingan bagaimana keadaannya bagi masyarakat di negara yang mempunyai sumber terhad (LMICs) kesihatan, sekaligus bertindak sebagai advokasi kepada pengukuhan penjagaan kesihatan primer.

Video Kempen Hari Kesihatan Dunia 2019 oleh WHO

Kempen Hari Kesihatan Dunia juga merupakan peluang dan wadah kepada pihak berkuasa (menteri kesihatan seluruh dunia), kerajaan dan pembuat dasar menyatakan dengan iltizam komitmen mereka untuk merapatkan jurang dalam liputan kesihatan sejagat di negara masing-masing selain berkongsi kemajuan yang bagi sektor kesihatan awam yang telah dicapai sehingga hari ini.

Bagi WHO, pertubuhan dunia tersebut akan berkongsi data tahunan menerusi Laporan Statistik Kesihatan Dunia yang akan menyoroti trend kesihatan seperti kelahiran bayi dan kesihatan kanak-kanak, penyakit tidak berjangkit (NCD), kesihatan mental, risiko alam sekitar serta data mengenai liputan kesihatan sejagat dan sistem kesihatan di seluruh dunia.

Kami di Hello Doktor akan sentiasa mengikuti dan berkongsi laporan tersebut apabila ia diterbit dan diedarkan kelak.

Liputan Kesihatan Sejagat

Hari Kesihatan Dunia 2019 diraikan di antara Persidangan Global mengenai Penjagaan Kesihatan Primer yang diadakan di Astana, Kazakhstan pada Oktober 2018 dan Mesyuarat Peringkat Tertinggi mengenai Liputan Kesihatan Sejagat yang akan diadakan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA), September kelak.

Hari ini merupakan hari yang sangat penting bagi membicarakan mengenai kepentingan ekuiti dalam perkhidmatan kesihatan, bukan hanya tertumpu kepada kesihatan individu, malah isu-isu ekonomi kesihatan dan masyarakat secara keseluruhannya.

[BACA: Nota Pengarang sempena Forum Ekonomi Dunia]

Sekadar refleksi kepada kita semua di Malaysia yang semestinya bersyukur kerana kita mempunyai perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia, namun kita harus terus berpegang kepada prinsip kesihatan adalah salah satu hak asasi manusia dan memastikan masyarakat kita terus menikmati perkhidmatan kesihatan tidak mengira masa, di mana sahaja tanpa mengira status ekonomi. Perjuangan dan meraikan kesihatan sebagai hak asasi merupakan satu keperluan hidup,  jika ingin menuju kesejahteraan sepanjang hidup kita.

Apa itu Liputan Kesihatan Sejagat?

Untuk rekod, sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk dunia tidak mampu mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas. Manakala hampir 100 juta manusia menjadi miskin teruk kerana terpaksa meneruskan kehidupan dengan hanya RM 7.40 atau kurang daripada itu sehari, disebabkan mereka perlu membayar perkhidmatan kesihatan daripada poket sendiri.

Selain itu, lebih daripada 800 juta penduduk menghabiskan kira-kira 10% bajet barangan rumah untuk perbelanjaan kesihatan sendiri atau untuk ahli keluarga yang lain. Mereka menyebabkan diri terjebak ke dalam ‘bencana perbelanjaan’. 

Suka untuk kami menyoroti isu bencana perbelanjaan disebabkan kos penjagaan kesihatan dan ia merupakan satu masalah global. Terdapat peningkatan penduduk yang membelanjakan sekurang-kurangnya 10% bajet perbelanjaan rumah pada perbelanjaan kesihatan yang tidak dilindungi insurans di negara kaya.

Penjagaan kesihatan primer harus dilihat sebagai penjagaan sejagat di mana sektor kesihatan awam harus meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat dan mempromosi gaya hidup sihat, bukan sekadar merawat sesuatu jenis penyakit atau keadaan kesihatan sahaja.

Penjagaan kesihatan harus meliputi keperluan majoriti masyarakat sepanjang hayat termasuk perkhidmatan saringan penyakit, vaksinasi, maklumat bagaimana membendung penyakit, perancangan keluarga, rawatan bagi keadaan kesihatan yang bersifat jangka pendek mahupun jangka panjang, koordinasi bagi pelbagai peringkat penjagaan kesihatan dan rehabilitasi.

Penjagaan kesihatan primer juga harus mengutamakan masyarakat yang berbilang status dengan amalan berekuiti dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan, sekaligus menyumbang kepada kemajuan sektor kesihatan awam sesebuah negara ke arah liputan kesihatan sejagat.

Ini kerana, sistem kesihatan yang mempunyai penjagaan kesihatan primer yang optimum dapat menghasilkan kemajuan dalam kesihatan, di mana kosnya lebih efisien dan kualiti kesejahteraan masyarakat juga lebih terjamin.

Liputan Kesihatan Sejagat: Perkembangan Malaysia ketika ini

Seperti yang kita sedia maklum dan sentiasa uar-uarkan serta menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kerana sektor kesihatan awam kita adalah yang terbaik dan diiktiraf dunia.

Ramuan utama mengapa kita berada di kedudukan terbaik ketika ini adalah sentiasa menjadikan saranan dan konsultasi WHO sebagai strategi dan pelan pelaksanaan bagi sektor kesihatan awam kita. Ini bukan sahaja melibatkan polisi kerajaan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, malah penyediaan infrastruktur dan kemudahan bertaraf dunia juga sebagai sebahagian daripada perancangan kerajaan.

Walaupun nilai pelaburan untuk kesihatan menelan kos yang tinggi, namun kerajaan kita komited dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan caj perkhidmatan kerana secara purata, harga yang dikenakan adalah sangat murah bagi rawatan pesakit luar (outpatient) manakala bagi rawatan melibatkan kos pihak ketiga (rawatan dan ubat-ubatan bagi penyakit yang lebih spesifik seperti kanser), adalah berdasarkan kos pihak luar dan kos di pihak hospital (wad, penjagaan primer dan sebagainya) selalunya diserap oleh kerajaan. Terdapat juga bantuan kewangan oleh kerajaan dalam membiayai semua kos rawatan dan ubat-ubatan bagi pesakit kurang berkemampuan.

Semestinya pembinaan dan capaian kepada hospital dan klinik kerajaan (yang telah dibina dan dalam perancangan) menjadi senarai penting dalam pelaburan infrastruktur yang harus diluluskan serta-merta tanpa sebarang perdebatan apabila ia diumumkan ketika pembentangan bajet setiap tahun.

Bercerita mengenai bajet untuk kesihatan, Malaysia sentiasa memastikan peruntukan untuk sektor kesihatan awam adalah pada kadar 5 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet tahunan sepertimana yang disarankan oleh WHO.

Ketika Bajet2019 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November tahun lepas, buat pertama kalinya sektor kesihatan awam menerima peruntukan terbesar bagi sektor tersebut buat setakat ini iaitu RM29 bilion, pada kadar 7.8 peratus daripada jumlah keseluruhan Bajet2019 iaitu RM314.5 bilion.

Bukan sahaja nilai peruntukan meningkat, kerajaan juga mengumumkan Skim Manfaat Kesihatan untuk golongan B40. Skim yang diberi nama mySalam tersebut akan memanfaatkan kira-kira 3.69 juta penerima terdiri daripada isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR).

Skim ini akan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

[BACA: Nota Pengarang: Adakah Bajet2019 cukup efektif?]

Jika diamati dengan teliti, strategi mengenai kesihatan yang terlihat menerusi Bajet2019, sememangnya menyediakan rakyat Malaysia ke arah matlamat Liputan Kesihatan Sejagat dengan pelaburan holistik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan memakai prinsip kesamarataan ekuiti dalam kalangan masyarakat berdasarkan kemampuan ekonomi mereka.

Maka, tidak hairanlah jika dunia terus mengiktiraf sektor kesihatan awam kita adalah yang terbaik di dunia di mana setiap elemen di dalamnya adalah ‘on point’  sepertimana yang digariskan oleh WHO sebagai perkhidmatan kesihatan terbaik.

Penjagaan Kesihatan Primer untuk sepanjang hayat>

Bagi memastikan perancangan bagi sektor kesihatan awam selari dengan matlamat Liputan Kesihatan Sejagat, KKM memberikan keutamaan kepada pengukuhan penjagaan kesihatan primer (Enhanced Primary Healthcare – EnPHC) yang menjadi teras kepada sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.

EnPHC merupakan projek rintis KKM yang memberi penekanan kepada pengesanan awal dan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti Kanser, Diabetes, Hipertensi, Penyakit Kardiovaskular dan Kesihatan Mental dalam kalangan masyarakat. Ia telah bermula semenjak Julai 2017 dengan permulaan melibatkan 20 Klinik Kesihatan di Johor dan Selangor dengan memberi tumpuan kepada 3 perkara berikut:

  1. Kesedaran tentang kesihatan dan memperkasakan masyarakat
  2. Penjagaan berfokus kepada keperluan individu di peringkat penjagaan primer
  3. Penambah baikkan mekanisma rujukan dan rujukan semula dari penjagaan primer kepada sekunder dan tertiari.

Menerusi inisiatif dan projek rintis ini, masyarakat akan menerima manfaat melalui:

  1. Kesinambungan penjagaan kesihatan oleh pasukan perubatan yang sama untuk individu atau ahli keluarga beliau
  2. Membolehkan aktiviti pengesanan awal, pencegahan dan rawatan NCD dilaksanakan melalui pendekatan komuniti.

[BACA: Melabur dalam kawalan NCD, menjana ekonomi dan kesihatan]

Selain EnHPC, KKM telah memperkenalkan dan memudahcara perkhidmatan sektor kesihatan awam menerusi pelbagai program kreatif dan inovatif sekaligus merapatkan jurang sektor awam-swasta dengan kerjasama strategik berdasarkan strategi Lautan Biru.

Antaranya adalah penghantaran ubat-ubatan kepada pesakit oleh perkhidmatan POS Malaysia, Farmasi Pandu Lalu, Sistem Pengedaran Ubat Bersepadu dan Sistem SMS notifikasi mengenai ketersediaan ubat di klinik.

Peranan Komuniti Kesihatan dalam memenuhi matlamat Liputan Kesihatan Sejagat

Peranan pakar perubatan dan para pekerja sektor kesihatan haruslah tidak hanya tertumpu dalam memberikan mutu rawatan yang terbaik, malah mendidik pesakit agar menjaga kesihatan, koordinasi penjagaan kesihatan dengan advokasi keperluan pesakit mereka terhadap kemudahan dan prasarana kesihatan terbaik yang mampu menambahbaik mutu rawatan.

Selain itu, mereka juga harus sentiasa bersikap telus dan terbuka membincangkan keperluan sektor kesihatan awam dengan pihak berwajib (kementerian kesihatan dan kerajaan) agar dasar kesihatan yang dihasilkan seperti bajet kesihatan haruslah mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

Bukan itu sahaja, komuniti kesihatan dan sektor kesihatan awam juga harus terus membina hubungan dan kepercayaan dalam kalangan pesakit mereka dengan sentiasa mengikuti perkembangan dan sejarah kesihatan mereka; bagi mendapatkan gambaran tepat yang bukan hanya dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit malah dapat menjimatkan kos akibat beban penyakit.

Komuniti kesihatan juga merupakan aset terpenting kepada masyarakat jika berlakunya darurat kesihatan, melihatkan tradisi, budaya dan amalan kerja selama ini, menjadikan peranan mereka tiada galang ganti.

[BACA: ‘Hippocratic’ – Sebuah naskah tulen, mengangkat suara pesakit di hujung nyawa]

Bagi merealisasikan impian kesihatan untuk semua, kita memerlukan: individu dan masyarakat mempunyai capaian kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi agar mereka dapat menjaga kesihatan diri sendiri dan keluarga; dengan golongan profesional dalam sektor kesihatan awam memberikan kualiti perkhidmatan terbaik dengan mengutamakan pesakit; dan pembuat dasar/kerajaan komited melakukan pelaburan untuk perkhidmatan kesihatan primer.

[BACA: Perlu pengurusan sumber khusus dan cekap tangani kanser lebih berkesan]

Ini semua bakal menyumbang ke arah pengukuhan dan pencapaian objektif yang terdapat dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan liputan kesihatan sejagat. Malah dengan mencapai matlamat kesihatan tersebut, ia turut sama menyumbang ke arah matlamat SDG lain melibatkan kemiskinan, kebuluran, pendidikan, kesaksamaan gender, capaian kepada air bersih dan sanitasi, sektor pekerjaan dan perkembangan ekonomi, mengurangkan ketidaksamaan dan tindakan terhadap perubahan iklim.

[BACA: Konflik dan Perubahan Iklim punca krisis kebuluran dunia – PBB]

Sebagai penutup kata bagi nota kali ini, ayuh kita amati dan tunjukkan sokongan penuh semangat untuk Hari Kesihatan Dunia 2019 dengan slogan yang cukup mudah namun sangat signifikan- Universal Health Coverage. Everyone, everywhere. / Liputan Kesihatan Sejagat. Setiap Insan, di mana sahaja.

~ Pengarang, Hello Doktor

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"