
Sejak berdekad lamanya, vaksin telah berjasa dalam mencegah banyak penyakit termasuk beguk, demam campak, difteria, tibi, dan rubella yang dahulunya sangat kerap berlaku dalam kalangan masyarakat. Malah, sebahagian daripada penyakit tersebut berjaya dihapuskan sepenuhnya seperti smallpox.
Meskipun begitu, satu daripada 5 kanak-kanak di dunia masih tidak dilindungi vaksin yang paling asas, Tambahan pula, hampir 20 juta daripada mereka berisiko dijangkiti penyakit yang boleh dicegah hanya kerana mereka tidak mendapatkan vaksin yang mencukupi. Kesannya, sekitar 1.5 juta kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun disebabkan oleh penyakit yang boleh dicegah melalui suntikan vaksin.
Kurang bekalan eletrik punca pembaziran
Salah satu daripada sebab utama ialah banyak kawasan pedalaman di dunia yang tidak mempunyai bekalan eletrik yang mencukupi. Vaksin perlu disimpan pada suhu yang khusus, kebiasaannya di dalam peti ais untuk mengekalkan keberkesanannya. Tanpa bekalan eletrik yang cukup, pemindahan vaksin daripada tempat penghasilan ke pesakit tidak akan berlaku dengan baik. Sebaliknya, ia akan rosak dan dibuang sebelum boleh digunakan.
The Global Alliance for Vaccine and Immunization menganggarkan bahawa hanya 10 peratus kemudahan kesihatan di dalam negara-negara termiskin mempunyai bekalan eletrik yang mencukupi. Di Uganda, 70 peratus daripada kemudahan kesihatan tidak mempunyai akses terhadap bekalan eletrik utama.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 50 peratus vaksin mungkin mengalami pembaziran setiap tahun di seluruh dunia disebabkan oleh isu sekitar kawalan suhu, logistik, dan pengangkutan.
Mengambil langkah untuk mengelakkan lebih banyak pembaziran
Membawa vaksin ke kawasan pedalaman dalam kuantiti yang banyak adalah sangat membebankan. Namun, masih terdapat beberapa perkara yang mungkin boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini.
1. Garis panduan yang lebih baik
Satu garis panduan komprehensif tentang bagaimana ingin menguruskan vaksin serta ubat-ubatan lain oleh profesional kesihatan perlu diwujudkan berdasarkan ujian ke atas kestabilan dan keberkesanan vaksin dalam keadaan berbeza.
2. Peralatan baru
Sebagai alternatif kepada peti yang memerlukan bekalan eletrik, peralatan seperti peti solar yang boleh mengekalkan keberkesanan ubat tanpa bekalan eletrik diperlukan.
3. Vaksin baru
Penghasilan vaksin baru yang lebih tahan lasak terhadap perubahan suhu merupakan langkah yang baik. Sebahagiannya telah pun ada termasuk hepatitis A dan B, difteria, tetanus, HPV, dan rotavirus.
Usaha ke arah menjayakan inovasi seperti ini boleh menjimatkan lebih banyak pembaziran yang tidak sepatutnya.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.