
Peningkatan jangka hayat, urbanisasi dan gaya hidup kurang sihat menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (Non Communicable Disease) di Asia Tenggara. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 55% daripada semua kematian di rantau ini disebabkan oleh NCD – iaitu hampir 8 juta orang setiap tahun. Lebih membimbangkan, satu pertiga daripada mereka yang mati akibat daripada NCD adalah lebih muda dari 60 tahun. Kematian muda seperti ini menyebabkan kerugian sosial dan ekonomi.
Di Malaysia, penyakit tidak berjangkit merupakan antara 10 penyebab utama yang menyumbangkan kepada beban penyakit negara. Laporan KKM juga menunjukkan peningkatan trend penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.
Apa itu Penyakit Tidak Berjangkit (Non Communicable Disease)?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit tak berjangkit, kebanyakannya adalah penyakit kronik yang tidak boleh disebarkan daripada seorang individu kepada individu yang lain. Penyakit-penyakit ini biasanya berkembang perlahan-lahan dan berlangsung untuk masa yang lama, selalunya sepanjang hayat.
Penyakit tak berjangkit boleh dibahagikan kepada:
- Penyakit kardiovaskular (jantung dan salur darah) seperti serangan jantung, strok, tekanan darah tinggi/hipertensi, hiperkolesterolemia/kolesterol tinggi)
- Barah/kanser
- Penyakit pernafasan kronik seperti penyakit peparu sesak/tersumbat yang kronik dan lelah
- Diabetes/kencing manis
- Penyakit mental
- Penyakit yang berkaitan dengan atau disebabkan oleh kecederaan yang pernah dialami
Peningkatan NCD membawa kepada “dwi-bebanan penyakit” bagi negara-negara yang menghadapinya – iaitu terpaksa mengubah sistem kesihatan yang dibina untuk memerangi penyakit berjangkit dan penjagaan akut (penyakit yang datang tiba-tiba); kepada sistem yang boleh menangani epidemik penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan dan kanser.
Golongan muda sebagai penyelesaian
Trend empat faktor risiko utama – merokok, alkohol, tidak aktif dan pemakanan yang tidak sihat telah meningkat di Asia Tenggara. Kaji selidik yang dijalankan oleh WHO menunjukkan beberapa statistik yang sangat membimbangkan:
- Lebih satu pertiga daripada kanak lelaki Indonesia berusia 13-15 telah merokok atau menggunakan produk tembakau pada bulan lalu
- Di Filipina, Thailand dan Vietnam, lebih daripada seperlima kanak-kanak lelaki telah minum alkohol
- Separuh daripada kanak-kanak lelaki di Malaysia dan Thailand adalah obes atau mempunyai berat badan berlebihan. Di sebahagian besar Asia Tenggara, murid sekolah menengah menunjukkan tahap ketidakaktifan fizikal.
Di Malaysia, kajian faktor risiko NCD pada tahun 2005/2006 (MyNCDS-1) menganggarkan terdapat kira-kira 11.6 juta orang dewasa mempunyai sekurang-kurang satu faktor risiko penyakit yang boleh diubah yang antaranya adalah diet tidak sihat (72.8%), tidak aktif secara fizikal (60.1%), merokok (25.5%), obesiti (16.3%), hipertensi (25.7%), gula dalam darah abnormal (11.0%) dan hiperkolesterolemia (53.5%).
Tabiat buruk yang diamalkan golongan muda sekarang akan memberi kesan kepada kadar NCD ketika mereka mencapai umur pertengahan. Menjelang 2050, penduduk berusia lebih daripada 45 tahun dijangka akan berganda di Asia Tenggara berbanding saiznya hari ini. Oleh itu, penyelesaian utama peningkatan masalah NCD adalah dengan menangani faktor risiko yang boleh diubah dalam kalangan golongan muda.
Langkah pencegahan dalam golongan muda
Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah penjagaan kesihatan yang komited dan penyelidikan. Kajian audit ke atas pengurusan Diabetes dan Hipertensi di fasilti kesihatan Malaysia pada tahun 2005 menunjukkan peratusan pesakit diabetes terkawal hanya 10% dan peratusan pesakit hipertensi terkawal hanya 28% sahaja.
Rawatan untuk penyakit kronik memerlukan pengawasan berterusan dan penjaga kesihatan perlu sentiasa memantau keadaan pesakit dari masa ke masa. Contohnya golongan muda yang didapati mempunyai faktor risiko diabetes seperti kadar gula dalam darah yang tinggi (pra-diabetik) perlu dicegah melalui diet yang sesuai. Meskipun perkara ini sukar dilakukan tanpa kerjasama pesakit dan keluarga, ia adalah lebih baik berbanding membiarkan pesakit terpaksa menghadapi kesan diabetes seumur hidup selepasnya.
Penyelidikan juga memainkan peranan penting. Memandangkan NCD adalah keadaan yang akan dihadapi pesakit sepanjang hayat, kajian tentang tindak balas antara NCD dengan keadaan lain perlu dikaji. Sebagai contoh, terlalu sedikit diketahui tentang bagaimana HIV bertindak balas dengan penyakit kardiovaskular, atau apa yang berlaku kepada pesakit dengan TB jika mereka mengalami diabetes.
Pendidikan dan penggubalan dasar juga memainkan peranan. Pendidikan bukan hanya untuk pekerja penjagaan kesihatan, tetapi juga untuk masyarakat dan golonga muda.
Dalam penggubalan dasar kurikulum sekolah, perlu ada pendidikan mengenai gaya hidup sihat. Kanak-kanak sekolah memang aktif, tetapi mereka memerlukan akses kepada taman permainan dan ruang hijau. Golongan muda juga harus dihalang daripada mendapatkan alkohol dan rokok, dan produk tersebut harus dikenakan cukai untuk menyukarkan jualan kepada kanak-kanak. Pengiklanan produk tinggi lemak dan gula kepada golongan muda juga perlu dihadkan.
Keputusan bijak sekarang akan membawa perbezaan yang ketara kepada beban NCD masa depan terhadap sistem ekonomi dan kesihatan Asia Tenggara.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.