
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melancarkan Global Influenza Strategy yang baharu untuk tempoh 2019 sehingga 2030 yang bermatlamat dalam melindungi kesemua penduduk dunia di seluruh negara daripada ancaman influenza. Tujuan strategi ini tidak lain ingin menghalang influenza bermusim, mengawal penyebaran influenza daripada haiwan kepada manusia dan bersedia dengan kehadiran pandemik influenza yang akan datang. Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, ancaman pandemik influenza bersifat ‘sentiasa ada’ dan risiko berterusan oleh penyebaran virus influenza baharu daripada haiwan kepada manusia adalah bersifat realiti. Beliau turut menyatakan bahawa kebimbangan yang sebenar bukanlah berkenaan apakah jenis pandemik yang akan datang menyerang tetapi bilakah ianya akan datang kepada manusia. Beliau turut menegaskan bahawa kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang serangan influenza kerana kos bagi menghadapi influenza tersebut jauh lebih mahal berbanding tindakan pencegahan terhadapnya.
Rekod pandemik terbesar dunia
Sejak 1918, terdapat 4 pandemik influenza terbesar yang telah berlaku iaitu pada tahun 1918, 1957, 1968 dan 2009 (H1N1). Pada tahun 1918, dunia diserang oleh pandemik influenza yang turut dikenali sebagai Spanish Flu dan ia telah menjangkiti 500 juta individu diseluruh dunia pada ketika itu termasuklah di kawasan terpencil seperti Artik dan kepulauan Pasifik. Spanish Flu telah mengakibatkan kematian sebanyak 50 sehingga 100 juta manusia iaitu kira-kira 3 sehingga 5 peratus penduduk dunia. Kemudian, pada tahun 1957 dunia dikejutkan sekali lagi dengan serangan influenza yang dikenali sebagai Asian Flu yang dikenalpasti pada Februari 1957 di Asia Timur yang kemudiannya merebak keseluruh dunia. Pada 1968, Hong Kong Flu pula datang menyerang manusia yang turut mengakibatkan kematian dengan anggaran sebanyak 1 juta individu diseluruh dunia. Pandemik terbaru adalah pada tahun 2009, bilamana penyakit yang menyerupai influenza berlaku di Mexico pada bulan Mac sehingga April 2009. Pandemik yang turut dikenali sebagai H1N1 pada ketika itu merebak dengan cepat ke Amerika Syarikat, Kanada dan Sepanyol dan WHO menganggarkan sekitar 284, 500 mati akibat jangkitan H1N1 pada ketika itu.
Influenza dan vaksinasi
Influenza adalah salah satu cabaran kesihatan awam terbesar di dunia. Setiap tahun, terdapat 1 bilion kes dengan 3 hingga 5 juta dikategorikan sebagai kes yang parah di seluruh dunia. Influenza turut menyebabkan 290 000 sehingga 650 000 individu mati disebabkan oleh penyakit pernafasan yang berkaitan influenza. WHO mencadangkan bahwa vaksinasi influenza setiap tahun adalah cara terbaik dalam menghalang penyebaran influenza dan vaksinasi amat penting bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi influenza yang serius.
Global Influenza Strategy
Global Influenza Strategy 2019 – 2030 telah menetapkan 4 objektif strategik dan 10 keutamaan untuk menyokong visi dan matlamat strategi:
- Menggalakkan kajian dan inovasi untuk menangani keperluan kesihatan awam yang belum dipenuhi.
- Menggalakkan kajian dan inovasi untuk diagnostik novel yang ditambah baik, vaksin dan rawatan menentang influenza
- Menggalkkan kajian operasi untuk pencegahan, pengawalan dan penyedian program berkaitan influenza
- Menggalakkan kajian untuk lebih memahami ciri-ciri virus dan faktor perumah yang membawa kepada impak influenza
- Memperkukuhkan pemantauan, pemerhatian dan penggunaan data influenza global
- Meningkatkan, mengintegrasikan dan memperluaskan pengawasan virologi dan penyakit
- Membangun asas pembuktian kukuh untuk memahami kesan dan beban influenza
- Membangunkan strategi komunikasi influenza berkesan di pelbagai sektor dan antara pihak berkepentingan.
- Meningkatkan dasar dan program pencegahan dan kawalan influenza bermusim untuk melindungi golongan yang terdedah
- Mengintegrasikan intervensi non-farmaseutikal (NPI) ke dalam program pencegahan dan kawalan.
- Merancang dan melaksanakan dasar dan program imunisasi berasaskan bukti untuk mengurangkan keparahan pemindahan dan penyakit.
- Merancang dan melaksanakan dasar dan program rawatan berasaskan bukti untuk mengurangkan morbiditi dan kematian.
- Memperkukuhkan kesediaan dan tindak balas pandemik untuk influenza untuk menjadikan dunia lebih selamat
- Mengukuhkan perancangan nasional, serantau dan global untuk membolehkan kesediaan pandemik yang tepat pada masanya dan berkesan.
Setiap negara perlu bertindak dalam menangani pandemik influenza kerana kesemua negara akan terkesan dengan cetusan influenza. Kewujudan kapasiti yang kuat bagi sesebuah negara amatlah penting seperti pemantauan, tindakan, pencegahan, kawalan, dan persediaan terhadap sebarang penyakit.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.