backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan

Tak Boleh Pandai-pandai Ambil Ubat Tahan Sakit Ponstan, Ada Kesan Sampingan Jika Terlebih Makan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/05/2021

    Tak Boleh Pandai-pandai Ambil Ubat Tahan Sakit Ponstan, Ada Kesan Sampingan Jika Terlebih Makan!

    Jika anda (wanita) pernah mengalami masalah sakit period, pasti anda pernah dipreskripsikan dengan ubat penahan sakit yang dikenali sebagai ponstan.

    Ia merupakan ubat yang mengandungi bahan aktif asid mefenamik yang tergolong dalam kumpulan anti radang bukan steroid (NSAID).

    Selain daripada sakit period, ia juga boleh dipreskripsikan atas tujuan seperti:

  • Sakit otot atau sendi seperti terseliuh dan radang tendon.
  • Sakit gigi.
  • Sakit kepala.
  • Sakit disebabkan oleh patah tulang atau tulang beralih.
  • Apa yang anda perlu tahu berkenaan dengan ubat tahan sakit seperti ponstan, ia tidak menyembuhkan penyakit.

    Ia hanya mengawal simptom sakit dan radang bagi memberikan keselesaan kepada pesakit.

    Oleh itu, anda masih perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika perlu.

    Jika anda ingin lebih tahu berkenaan dengan ubat ini, teruskan membaca.

    Larangan penggunaan dan tindak balas alergi ponstan

    ubat penahan sakit

    Seperti ubat yang lain, ponstan boleh menyebabkan kesan sampingan dan tindak balas alergi bagi segelintir individu.

    Oleh sebab itulah ubat ini dikategorikan sebagai ubat terkawal dan seharusnya dipreskripsikan oleh doktor atau ahli farmasi yang bertauliah.

    Ia hanya boleh digunakan sekiranya kebaikan pengambilannya mengatasi risiko kesan sampingan/alergi yang boleh dialami pesakit.

    Walau bagaimanapun, bagi sesetengah farmasi, ubat ini boleh dibeli oleh pesakit walaupun mereka tidak mempunyai sebarang preskripsi.

    Keadaan ini menggalakkan pesakit tersebut menggunakan ponstan secara kronik sehinggakan ia tidak dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami.

    Ubat ini tidak boleh diambil sekiranya anda alergi kepada:

    • Asid mefenamik atau sebarang bahan yang digunakan untuk membuat ubat tersebut
    • Individu yang alergi pada ubat aspirin
    • Mereka yang alergi kepada ubat NSAID termasuklah penghalang COX-2

    Bagi mereka yang mengalami tindak balas alergi, mereka boleh mendapat simptom seperti:

    1. Asma, bunyi nafas bising atau sesak nafas.
    2. Muka, lidah atau bibir bengkak.
    3. Sukar untuk menelan.
    4. Ruam gegata.
    5. Pengsan.

    Selain daripada alergi, berikut merupakan kriteria lain yang menegah anda daripada mengambil ponstan:

    1. Pernah alami cirit-birit selepas mengambil ubat ini.
    2. Mempunyai ulser perut atau pernah mengalaminya.
    3. Mempunyai atau pernah mengalami radang atau ulser pada permukaan usus.
    4. Mereka yang menghidap penyakit buah pinggang.
    5. Mereka yang alami kegagalan jantung teruk.
    6. Penghidap kegagalan hati.
    7. Wanita hamil dan ibu yang menyusu badan.
    8. Bakal menjalani pembedahan pintasan arteri koronari.
    9. Kanak-kanak di bawah usia 14 tahun.

    Bagaimana cara menggunakan ubat penahan sakit ponstan?

    ubat penahan sakit

    Secara amnya, ubat ponstan sering dipasarkan dalam dua dos:

    • Kapsul berwarna biru kehijauan atau kuning keputihan (250 mg)
    • Kapsul berwarna kuning dan berbentuk lonjong (500 mg)

    Kebiasaannya, ubat ini perlu diambil 3 kali sehari (500 mg) selepas makan. 

    Namun, bergantung kepada sebab ubat ini dipreskripsikan, dos mungkin dilaraskan oleh doktor supaya sesuai dengan keadaan pesakit.

    Oleh itu penting bagi pesakit untuk menuruti arahan doktor tentang bagaimana ponstan sepatutnya diambil.

    Mungkin ada dalam kalangan pesakit yang mahu menggunakan ubat ini untuk mengawal kesakitan kronik.

    Dalam keadaan tersebut, anda digalakkan untuk merujuk kepada doktor supaya keadaan kesihatan anda dapat dipantau secara berkala.

    Jika anda terlupa hendak mengambil ubat dalam satu-satu masa, corak pengambilan akan berubah mengikut situasi.

    Sebagai contoh, jika anda terlupa makan satu dos, dan masa makan ubat seterusnya sudah hampir, tidak perlu ganti dos yang anda lupa dan ambil dos seterusnya seperti biasa.

    Jika jarak di antara dos yang anda lupa dan dos seterusnya jauh, ambil dos tersebut sejurus anda teringat untuk mengambilnya.

    Jangan sesekali cuba mengambil dua dos sekali gus untuk menggantikan dos yang tertinggal.

    Ia boleh meningkatkan risiko untuk anda mendapat kesan sampingan.

    Sekiranya anda mengambil ponstan secara berlebihan, anda boleh mengalami simptom seperti:

    1. Sakit perut
    2. Cirit-birit
    3. Sawan
    4. Kekeliruan
    5. Pening kepala
    6. Halusinasi

    Konklusi

    Walaupun ubat ponstan sangat popular dan berkesan dalam melegakan simptom sakit, ia perlu digunakan secara berhati-hati.

    Terdapat pelbagai jenis pantang larang yang perlu dipatuhi semasa menggunakan ubat ini, justeru, rujukan kepada doktor sangat penting untuk pemantauan secara berkala.

    Jika anda mengalami sebarang simptom berkait dengan tindak balas alergi atau kesan sampingan ubat, dapatkan nasihat doktor untuk langkah seterusnya.

    Sekiranya anda mengalami sebarang simptom keracunan (ambil secara berlebihan) selepas mengambil ponstan, anda perlu bergegas ke hospital dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan