Retensi urin atau retensi air kencing merupakan satu keadaan yang menyukarkan pesakit untuk membuang air atau mengosongkan pundi kencing.
Kondisi ini bukanlah satu penyakit, tetapi ia mungkin berlaku disebabkan penyakit lain seperti masalah prostat pada lelaki atau cystocele dalam kalangan wanita.
Retensi urin terdiri daripada dua jenis iaitu akut dan kronik. Individu dengan retensi urin akut selalunya susah untuk buang air kecil dalam jangka masa pendek.
Namun, retensi urin akut boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Pesakit juga akan mengalami masalah untuk membuang air kecil walaupun pundi kencing mereka telah penuh.
Kondisi ini juga boleh mendatangkan kesakitan yang teruk kepada pesakit. Malah, retensi urin akut boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Berbeza pula dengan pesakit yang menghidap retensi urin kronik. Mereka boleh membuang air kecil, namun tidak dapat mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya. Kondisi ini juga berlaku dengan senyap dan dalam tempoh masa yang panjang.
Oleh sebab itu, ramai pesakit yang tidak tahu mereka mengalami retensi urin kronik kerana tidak merasakan sebarang simptom.
Retensi air kencing akut merupakan satu kecemasan. Jika anda mengalami kondisi ini, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin. Retensi urin kronik pula selalunya menyerang lelaki yang telah berusia. Namun, wanita juga berisiko untuk menghidapnya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Pundi Kencing, sila dapatkannya di sini.
Tanda-tanda susah buang air kecil
Ada beberapa simptom yang boleh diperhatikan jika anda mempunyai masalah retensi urin.
Tanda-tanda kondisi ini bergantung kepada jenis retensi air kencing yang anda alami. Sebagai contoh:
1. Retensi urin akut
Individu yang mempunyai kondisi ini tidak dapat membuang air kencing langsung. Akibatnya, pesakit akan merasai kesakitan pada kawasan bawah abdomen.
Retensi urin akut memerlukan perhatian daripada doktor secepat mungkin. Oleh sebab itu, pastikan anda bergerak ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan.
2. Retensi urin ronik
Pesakit yang mengalami retensi urin kronik boleh membuang air kecil, namun pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.
Kondisi ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Antara simptom kondisi ini adalah:
- Perlu membuang air dengan kerap (8 kali atau lebih setiap hari).
- Sukar untuk membuang air pada mulanya.
- Pengaliran air kencing lemah atau berhenti secara tiba-tiba.
- Rasa kencing tidak lawas.
- Perlu bangun tidur malam berkali-kali untuk membuang air kecil.
- Kerap mengalami kebocoran urin.
- Mengalami inkontinens terdesak (rasa yang kuat untuk buang air kecil dan sukar untuk menahannya).
Punca retensi urin
Selalunya, kondisi ini berlaku disebabkan wujudnya halangan pada saluran uretra.
Selain itu, ia juga boleh terjadi apabila pundi kencing pesakit lemah dan tidak mampu untuk menolak semua urin keluar dari badan.
1. Halangan pada saluran urin
Apabila wujudnya sesuatu halangan pada saluran urin, pesakit akan mengalami retensi air kencing.
Air kencing selalunya boleh mengalir tanpa masalah dari buah pinggang hinggalah keluar melalui uretra.
Tetapi, jika berlakunya sebarang halangan sepanjang perjalanan tersebut seperti batu karang atau penyakit lain, besar kemungkinan pesakit boleh mengalami retensi urin.
Di dalam kalangan lelaki, halangan boleh berlaku disebabkan pembesaran kelenjar prostat. Untuk wanita pula, mereka mungkin mengalami cystocele, atau pundi kencing terjatuh (prolapse bladder).
Pesakit mungkin akan rasa susah untuk buang air jika halangan tersebut bersifat separa.
Namun, jika halangan tersebut serius dan menutup saluran urin sepenuhnya, pesakit akan mengalami retensi urin akut dan tidak dapat membuang air kencing dengan normal.
2. Pengambilan ubat-ubatan tertentu
Retensi air kencing juga boleh berlaku disebabkan ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit.
Sebagai contoh, ubat seperti antihistamines, antispasmodics atau antidepressants boleh mempengaruhi fungsi pundi kencing.
Selain itu, ubat darah tinggi contohnya, juga boleh menyebabkan individu yang mengambilnya mengalami masalah untuk mengawal pundi kencing.
3. Masalah saraf menyebabkan retensi urin
Penyakit seperti strok, diabetes, sklerosis berbilang atau sebarang trauma pada bahagian tulang belakang atau pelvis boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah saraf.
Tidak kira lelaki atau perempuan, retensi urin disebabkan penyakit saraf boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
4. Jangkitan atau bengkak
Dalam kalangan lelaki, jangkitan pada bahagian prostat boleh menyebabkan ia membengkak. Perkara ini akan menyebabkan prostat menekan uretra dan pengaliran air kencing turut terhalang.
Selain itu, jangkitan saluran kencing (UTI) juga boleh menyebabkan retensi air kencing. Sama juga dengan penyakit berjangkit melalui hubungan seks (STI).
5. Pembedahan
Ubat yang diberikan sebelum pembedahan boleh menyebabkan pesakit rasa mengantuk dan alami retensi urin selepas pembedahan.
Sebagai contoh, prosedur seperti pembedahan tulang belakang atau pembedahan untuk memperbaiki isu pelvis dalam kalangan wanita selalunya akan menyebabkan pesakit alami retensi air kencing selepas pembedahan.
Rawatan retensi air kencing
Jika mengalami masalah retensi air kencing, doktor akan merujuk kembali sejarah kesihatan anda untuk mengetahui sama ada anda mempunyai penyakit lain yang boleh menyebabkan retensi.
Selain itu, doktor juga mungkin akan melakukan ujian fizikal dan ujian untuk mengukur sebanyak manakah urin yang tinggal di dalam pundi kencing selepas pesakit buang air.
Ujian lain seperti ujian makmal dan ujian imbasan juga mungkin akan dilakukan oleh doktor untuk membantu mereka melakukan diagnosis dengan lebih tepat.
Dari segi rawatan, doktor akan mencadangkan prosedur yang bersesuaian dengan pesakit bergantung kepada jenis retensi urin yang dialami serta puncanya.
Jika anda mengalami retensi urin akut, doktor akan mengeluarkan urin dari buah pinggang secepat mungkin menggunakan sejenis alat yang dikenali sebagai kateter.
Prosedur ini akan memberikan kelegaan kepada pesakit dan elak buah pinggang daripada mengalami sebarang kecederaan disebabkan aliran urin yang berpatah balik.
Untuk pesakit yang mengalami retensi air kencing kronik pula, doktor akan mengenal pasti punca di sebalik retensi ini terlebih dahulu dan merawatnya.
Walau bagaimanapun, jika kondisi ini jadi semakin teruk, doktor mungkin akan menggunakan kateter untuk mengeluarkan urin dari buah pinggang.
Ada juga beberapa kes yang memerlukan pesakit dengan kondisi ini untuk terus menggunakan kateter bagi mengosongkan pundi kencing masing-masing.
Pesakit mungkin perlu menggunakan indwelling catheter atau sejenis kateter yang di tinggalkan secara kekal sehinggalah masalah retensi yang pesakit alami boleh diubati.
Selain itu, pesakit juga boleh menggunakan intermittent catheter – sejenis kateter yang boleh ditanggalkan jika mereka tidak mahu menggunakan sesuatu yang bersifat kekal.
Jika pesakit memilih untuk menggunakan alat ini, doktor atau jururawat akan mengajar cara yang betul untuk menggunakannnya.
Ada banyak lagi rawatan yang ada untuk merawat retensi air kencing seperti pemberian ubat-ubatan, penggunaan alat-alat tertentu, atau pembedahan. Walau bagaimanapun, semua rawatan ini hanya akan diberikan jika pesakit benar-benar memerlukannya.
Selain itu, doktor juga mungkin akan mencadangkan agar pesakit melakukan rawatan kendiri seperti terapi fizikal atau latihan pundi kencing untuk mengawal retensi air kencing yang dialami.
Langkah pencegahan retensi urin
Retensi air kencing tidak selalunya boleh dicegah. Walau bagaimanapun, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko kondisi ini iaitu:
- Buang air kecil ketika perlu dan tidak menahan kencing dari keluar
- Perhatikan berapa kerap anda ke tandas
- Ambil ubat seperti diarahkan doktor
- Lakukan perubahan dari segi pemakanan
- Minum air kosong secukupnya
Kesimpulan
Kesimpulannya, masalah retensi urin boleh mempengaruhi sama ada lelaki mahupun wanita. Walau bagaimanapun, kondisi ini lebih banyak menyerang kaum adam.
Malah, mereka 10 kali lebih berisiko untuk mengalami kondisi ini berbanding wanita.
Ingat, retensi air kencing akut boleh membawa maut. Oleh sebab itu, pastikan anda segera ke hospital jika mengalami masalah susah buang air kecil.