home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Air Kencing Dihurung Semut? Selain Tanda Diabetes, Ini Juga Simptom Penyakit Lain!

Air Kencing Dihurung Semut? Selain Tanda Diabetes, Ini Juga Simptom Penyakit Lain!

Pasti anda akan rasa pelik jika bakul pakaian anda yang tidak berbasuh tiba-tiba dihurung semut. Habis pakaian dalam anda melekat dengan serangga kecil tersebut. Terutamanya bila anda penghidap kencing manis.

Mungkin anda fikir ada air yang rasa manis ataupun lauk makan tengah hari tadi tertumpah pada pakaian anda.

Tetapi, anda rasa makin pelik setelah melihat mangkuk tandas anda juga dipenuhi dengan semut! Tentu ada sesuatu yang ‘manis’ telah berjaya menarik minat sahabat kecil kita ini.

Buat pengetahuan pembaca, normal untuk pesakit diabetes mempunyai air kencing yang berbau manis seperti buah.

Tapi, adakah bau manis menandakan air kencing pesakit diabetes turut rasa manis?

Jika anda ingin tahu lebih lanjut, jom ikuti artikel kami di bawah!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

Normal ke jika air kencing dihurung semut?

Thomas Willis merupakan antara doktor pertama yang mengaitkan rasa manis urin dengan penyakit kencing manis.

Rasa air kencing milik pesakitnya itu membuatkan Willis rasa pelik, sehinggakan beliau merekodkan penemuannya sebagai ‘satu rasa yang manis seperti madu dan tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata’.

Sebenarnya, bukan Thomas Willis sahaja doktor yang pernah merasa urin. Doktor pada zaman dahulu juga akan merasa urin milik pesakit untuk tentukan jika mereka menghidap diabetes.

Pesakit kencing manis yang mengambil ubat gliflozins boleh mengalami kondisi kencing manis yang benar-benar rasa manis.

Ubat ini berfungsi dengan cara menghalang buah pinggang daripada menyerap gula kembali ke dalam darah.

Oleh itu, lebihan gula akan keluar bersama-sama air kencing, lalu menyebabkan urin menjadi manis!

Jangan risau jika semut bertindak menghurung air kencing anda. Jika anda mengambil gliflozins, ia bermaksud ubat anda berfungsi dengan baik!

rasa manis

Namun, jika anda tidak pernah didiagnosis dengan diabetes, hati-hati kerana ini merupakan tanda kadar gula dalam darah anda sedang tinggi.

Selain itu, anda juga mungkin alami simptom-simptom seperti di bawah:

  1. Kepenatan
  2. Haus yang amat sangat
  3. Tidak lalu makan
  4. Turun berat badan secara tiba-tiba
  5. Buang air lebih banyak dari biasa

Jika anda nampak semut di sekitar mangkuk tandas anda selepas ini, cuba ambil ujian gula dalam darah.

Lebih baik lagi jika anda boleh berhubung terus dengan doktor pakar untuk sesi konsultasi.

Diabetes merupakan salah satu penyakit yang sering berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berdasarkan laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, 1 daripada 5 individu dewasa di Malaysia menghidap diabetes.

Oleh itu, jika anda rasa mungkin menghidap penyakit ini, cepat-cepatlah berjumpa doktor sebelum terlambat ya!

Anda mungkin juga berminat:

Renal glycosuria juga boleh sebabkan air kencing manis!

Renal glycosuria merupakan satu keadaan di mana glukosa dibuang melalui urin walaupun paras gula dalam darah individu tersebut adalah normal.

Penyakit ini merupakan penyakit keturunan dan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina.

Namun, khabar baiknya ialah, individu yang mempunyai penyakit ini tidak akan mengalami apa-apa simptom yang serius.

Pesakit renal glycosuria mempunyai tiub renal yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Tiub ini merupakan penapis utama dalam buah pinggang manusia.

Sebab itulah glukosa tidak dapat ditapis dengan sempurna dan keluar bersama-sama dengan air kencing.

Keadaan ini juga boleh mengakibatkan air kencing seseorang itu menjadi manis.

Selalunya, individu yang mempunyai renal glycosuria tidak memerlukan apa-apa rawatan dan boleh hidup normal seperti orang lain.

Tetapi, sebahagian pesakit renal glycosuria boleh menghidap diabetes dengan meningkatnya umur.

MSUD – Air kencing bayi berbau manis seperti sirap maple

rasa manis

Satu lagi jenis penyakit yang jarang berlaku ialah maple syrup urine disease (MSUD) ataupun penyakit air kencing berbau manis seperti sirap maple.

Penyakit ini berlaku sejak bayi dan dikenal pasti oleh doktor seawal kelahiran.

MSUD juga amat jarang berlaku dan hanya 1 bayi daripada 185,000 kelahiran sahaja yang dikesan mempunyai penyakit ini.

Pesakit MSUD tidak boleh memproses beberapa jenis asid amino dan menyebabkan bahan tersebut berkumpul dalam darah dan juga urin.

Tahap amino asid yang tinggi dalam badan boleh bertukar menjadi toksik.

Salah satu simptom penyakit ini ialah bau urin yang manis seakan-akan sirap maple.

Berbeza dengan pesakit renal glycosuria, penghidap penyakit ini terpaksa mengalami rawatan seumur hidup untuk elak daripada komplikasi yang serius.

Tetapi, dengan pengesanan awal, diet yang berkesan dan rawatan yang betul, kehidupan pesakit MSUD boleh dibantu. Jika ingin pulih sepenuhnya, pesakit MSUD perlu melalui pemindahan hati.

Kesimpulan

Jika air kencing anda dihurung semut, ketahuilah itu tidak normal! Jika anda tidak pernah didiagnosis dengan kencing manis, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk rawatan yang lebih lanjut.

Kencing manis merupakan penyakit yang boleh membawa maut. Oleh itu, jangan ambil ringan jika anda mempunyai kadar gula dalam darah yang tinggi.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Patient Platform Limited. 2016. Glycosuria. March 11. Accessed July 14, 2020. https://patient.info/doctor/glycosuria.
  2. Cleaveland Clinic. 2019. Maple Syrup Urine Disease: Management and Treatment. November 11. Accessed July 14, 2020. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21168-maple-syrup-urine-disease/management-and-treatment.
  3. Code Blue. 2020. Survey: 1.7 Million Malaysians Risk Three Chronic Conditions. May 29. Accessed July 14, 2020. https://codeblue.galencentre.org/2020/05/29/survey-1-7-million-malaysians-risk-three-chronic-conditions/#:~:text=An%20estimated%203.9%20million%20adults,Statistics%20on%20diabetes.
  4. Genetic and Rare Diseases Information Center. 2020. Renal glycosuria. January 7. Accessed July 14, 2020. https://rarediseases.info.nih.gov/diseases/7548/renal-glycosuria.
  5. Inquirer. 2015. ‘There are ants in my urine!’. August 1. Accessed July 14, 2020. https://business.inquirer.net/196299/there-are-ants-in-my-urine#:~:text=This%20is%20possible%20through%20the,being%20attracted%20by%20their%20urine.
  6. NHS. 2018. Maple syrup urine disease. June 18. Accessed July 14, 2020. https://www.nhs.uk/conditions/maple-syrup-urine-disease/.

 

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 29/07/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung