Masalah buang air kecil ternyata bukanlah isu yang hanya dialami oleh warga tua. Untuk pengetahuan, orang-orang muda pun mempunyai risiko yang sama!
Berminat untuk tahu dengan lebih lanjut? Mari ikuti artikel ini!
Apa itu penyakit OAB?
OAB membawa maksud overactive bladder. Ia adalah sejenis penyakit berkaitan pundi kencing yang terlalu aktif.
Kondisi ini akan mengakibatkan si penghidap kencing terlalu kerap, yang sudah tentu akan mengganggu ketenteraman kehidupan harian.
Dalam beberapa kes, ada penghidap OAB yang akan mengalami nokturia, terjaga beberapa kali daripada tidur pada waktu malam hanya untuk membuang air kecil.
Kondisi ini lebih kerap berlaku pada wanita dan orang berusia lebih daripada 40 tahun, menurut National Institute on Aging.
Pun begitu, OAB masih berisiko untuk menimpa individu pada usia berapa pun.
Satu kajian yang diterbitkan oleh Annals of Internal Medicine melaporkan, lebih daripada 10% wanita dalam kajian tersebut, yang rata-rata berusia dalam lingkungan 20-an, mengalami OAB!
Antara faktor-faktor terjadinya OAB boleh merangkumi:
- Otot pundi kencing yang lemah
- Kerosakan pada saraf yang mengawal kencing
- Penyumbatan prostat yang membesar pada lelaki
- Kerengsaan pada dinding pundi kencing
Penyakit OAB, apakah puncanya?
Sebenarnya, ada beberapa punca yang berjaya dikenal pasti menyebabkan masalah ini.
Antaranya adalah kesalahan penghantaran dan pembacaan isyarat daripada pundi kencing kepada otak.
Dalam erti kata lebih mudah, kondisi ini berlaku apabila otot pundi kencing menghantar isyarat terlalu awal kepada otak untuk membuang air kecil walaupun ia belum lagi penuh.
Selain itu, penyakit pundi kencing yang terlalu aktif ini juga disebabkan oleh diet pemakanan yang kurang sesuai.
Apa yang harus anda fahami, bukan semua masalah buang air kecil merupakan OAB ya!
Sekiranya anda rasa anda menghidap OAB, adalah disarankan untuk berjumpa doktor bagi menolak kondisi-kondisi lain yang boleh disalah anggap sebagai OAB.
Antara kondisi lain yang boleh mempunyai gejala seakan masalah pundi kencing terlalu aktif ini termasuklah:
- Jangkitan saluran kencing (UTI), termasuk jangkitan pada buah pinggang dan pundi kencing
- Tekanan daripada prostat yang membesar
Kedua-dua keadaan di atas ini memerlukan rawatan. Teruskan pembacaan anda!
Berapa kali kekerapan ‘berkunjung’ ke tandas yang normal?
Jika hendak diikutkan, tidak ada jumlah berulang-alik ke bilik air yang normal setiap hari.
Hal ini mungkin menyukarkan anda untuk mengenal pasti simptom-simptom OAB.
Namun, menurut garis panduan umum, ‘mengunjungi’ tandas kurang daripada 10 kali sehari menunjukkan fungsi pundi kencing yang normal.
Jika masih keliru, pastikan untuk memerhatikan kekerapan anda membuang air kecil sama ada lebih banyak berbanding biasa atau jika anda ada mengalami ketidakselesaan.
Usia dan jantina, adakah ia mempengaruhi OAB?
Secara umumnya, OAB lebih kerap berlaku terhadap wanita berusia lebih daripada 40 tahun dek kerana otot yang mengawal kencing semakin lemah dari masa ke masa.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada otot yang lemah termasuk tekanan fizikal saat kehamilan dan bersalin.
Pun begitu, sebilangan individu mempunyai kecenderungan genetik terhadap OAB dan masalah seperti inkontinens urin, kadangkala berlaku disebabkan faktor keturunan.
Tambah lagi, bagi para lelaki yang menghidap OAB, mereka harus menjalani pemeriksaan prostat untuk menentukan sama ada saluran kencing tersekat atau sebaliknya.
Perlukah saya mengehadkan pengambilan air?
Pengambilan air harian yang mencukupi sememangnya penting dalam mengekalkan fungsi tubuh pada tahap optimum.
Tapi jangan minum terlalu banyak pula ya! Ini kerana ia bakal meningkatkan keperluan untuk kencing walaupun anda tidak menghidap OAB.
Persoalannya sekarang, adakah terdapat minuman tertentu yang perlu penghidap OAB elakkan?
Banyak individu mendapati pengambilan alkohol menyebabkan iritasi kepada pundi dan meningkatkan rasa hendak kencing.
Bukan itu sahaja, pengambilan alkohol yang tinggi juga boleh mengakibatkan kehilangan kawalan otot pundi kencing!
Selain alkohol, kafein turut menyumbang terhadap kekerapan membuang air kecil dan boleh memburukkan lagi penyakit ini.
Disebabkan itu, pastikan untuk mengehadkan pengambilan alkohol dan kafein harian anda okey!
Cara-cara pengurusan masalah pundi kencing terlalu aktif
Bagi merawat masalah ini, doktor anda mungkin akan memberikan ubat untuk membantu mengawal otot pundi kencing.
Terdapat juga pilihan rawatan yang melibatkan pembedahan di mana tisu disambungkan dari satu sisi perut ke bahagian lain untuk menyokong pundi kencing.
Antara kaedah lain, anda boleh cuba mengurus, memperbaiki, dan mungkin mengawal OAB dengan beberapa strategi gaya hidup. Sebagai contoh:
- Menguatkan otot pelvis dengan senaman
- Mencatatkan kekerapan anda mengunjungi tandas di dalam diari. Ini dapat membantu dalam menentukan faktor mana yang menyebabkan atau menyakitkan OAB anda
- Kurangkan pengambilan minuman beralkohol dan kafein setiap hari