Ramai wanita yang mengamalkan tabiat kencing lepas seks kononnya sebagai salah satu langkah kontrasepsi sedangkan ia bukanlah cara yang terbaik.
Tidak hanya itu, tabiat ini juga adalah sangat popular dalam kalangan kaum Hawa kerana mereka percaya ia mampu mengelak jangkitan salur kencing (UTI) atau kencing kotor.
Benarkah wanita perlu kencing lepas berjimak untuk mengelakkan UTI? Jom teruskan membaca!
Kenapa wanita perlu kencing lepas seks?
Untuk pengetahuan anda, hubungan seksual bersama pasangan merupakan salah satu daripada faktor risiko jangkitan salur kencing yang paling utama.
Ini kerana bakteria-bakteria yang wujud pada alat sulit sama ada wanita mahupun lelaki itu boleh memasuki salur kencing melalui penetrasi zakar ke dalam faraj.
Bakteria yang masuk ke dalam salur kencing ini seterusnya pula mungkin boleh jadi punca UTI atau kencing kotor!
Disebabkan itu, wanita mungkin perlu mengamalkan tabiat kencing lepas seks kerana ia dipercayai mampu mengeluarkan kembali bakteria yang masuk semasa bersama pasangan.
Jadi, tabiat ini mungkin benar mampu mengelakkan jangkitan salur kencing akibat hubungan seksual bersama pasangan dan ia adalah fakta yang menarik.
Bila wanita perlu kencing lepas seks?
Seperti mana yang mungkin kita semua sudah tahu, aktiviti seksual terutamanya yang melibatkan penetrasi zakar ke dalam faraj adalah memenatkan pasangan.
Disebabkan itu, ramai pasangan cenderung untuk rehat dan tidur sejurus selepas seks tanpa mempedulikan keperluan untuk membuang air kecil sesudahnya.
Pun begitu, perkara ini harus diubah kerana ramai pakar yang percaya wanita perlu kencing dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 minit lepas seks.
Tambahan itu, doktor turut menyimpulkan jika lebih cepat wanita kencing lepas seks, maka lebih besar peluang untuk elak jangkitan salur kencing.
Jika anda mengalami sebarang kesulitan, tabiat minum 1 atau 2 gelas air mungkin boleh membantu.
Bagaimana pula jika wanita ingin hamil?
Seperti mana yang telah dinyatakan pada awal artikel ini, tabiat kencing lepas seks juga mungkin dilakukan dalam usaha untuk mengelakkan kehamilan.
Sebenarnya, anda perlu tahu bahawa tabiat ini mungkin tidak akan dapat menghalang anda daripada mengandung meskipun anda terus membuang air kecil sejurus selepas bersama.
Ini kerana air mani yang keluar dari zakar akan masuk terus ke dalam lubang faraj yang menuju ke rahim dan bukannya melalui lubang air kencing.
Dalam erti kata yang lebih mudah, faraj wanita mempunyai 2 lubang yang berbeza fungsinya (1 untuk saluran perkumuhan, 1 untuk saluran pembiakan).
Pun begitu, doktor masih menyarankan wanita agar melambatkan sedikit tabiat ini agar keseluruhan air mani dan sperma mampu masuk sepenuhnya ke dalam tubuh anda.
Tabiat ini turut mampu elakkan STD?
Ya, memang benar bahawa tabiat membuang air kecil lepas bersenggama dengan pasangan mampu elakkan jangkitan salur kencing yang disebabkan oleh bakteria.
Pun begitu, anda dan pasangan juga perlu tahu bahawa tabiat ini mungkin tidak mampu elakkan jangkitan penyakit kelamin yang turut disebabkan oleh bakteria.
Ini kerana STD akibat bakteria akan berjangkit kepada individu melalui cara yang berlainan yakni melalui koyakan kecil pada membran mukus tubuh badan.
Oleh itu, kencing lepas bersenggama tidak akan berkesan untuk menghalang jenis penyakit kelamin ini. Jadi, sila gunakan kondom untuk elakkan UTI dan STD secara serentak.
Lelaki juga kena kencing lepas seks?
Buat anda yang mungkin belum tahu, sebenarnya golongan wanita adalah 30 kali ganda lebih berisiko untuk mendapat UTI berbanding golongan lelaki.
Kenapa? Berikut adalah 2 punca perkara ini lebih berisiko buat wanita berbanding lelaki:
- Salur kencing wanita adalah sangat dekat dengan faraj dan anus lantas menyebabkan bakteria lebih mudah masuk
- Salur kencing wanita adalah lebih pendek berbanding lelaki lantas menyebabkan bakteria lebih mudah masuk
Jadi, wanita perlu untuk kencing lepas bersenggama agar bakteria-bakteria yang masuk ini dapat dikeluarkan kembali bersama dengan air kencing.
Namun, lelaki mungkin tidak perlu melakukannya kerana mereka mempunyai salur kencing yang lebih panjang dan sukar untuk dimasuki oleh bakteria.
Konklusinya, tabiat ini adalah penting dilakukan oleh wanita dalam usaha untuk elakkan jangkitan salur kencing dan ia merupakan fakta, bukannya mitos!