Setiap pasangan berkahwin tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai cabaran dan masalah. Salah satunya adalah masalah tidur. Jangan bimbang, ada 5 cara atasinya.
Tidur penting bagi pasangan berkahwin
Banyak pakar berkaitan perkahwinan bersetuju bahawa mendapat tidur yang berkualiti dan mencukupi bersama pasangan mampu mengekalkan hubungan perkahwinan.
Ini kerana tanpa tidur yang baik, ia boleh mendedahkan pasangan berkahwin dengan pelbagai isu kesihatan mental dan fizikal.
Ini termasuklah gangguan kemurungan dan juga penyakit kardiovaskular.
Namun malangnya, ramai pasangan berkahwin berdepan dengan masalah tidur seperti tidak dapat memejamkan mata dengan lena jika sekatil.
Tetapi benarkah masalah ini wujud?
Tidur bersama buat pasangan sukar lena?
Biasanya, apabila menyebut pasangan suami isteri, pastinya kita tidak dapat lari daripada memikirkan tentang tidur sekali pada waktu malam, bukan?
Walau bagaimanapun, terdapat individu yang tidak boleh tidur dengan baik apabila sekatil bersama pasangan.
Jika anda salah seorang daripadanya, jangan malu. Anda tidak keseorangan dalam hal ini.
Hakikatnya ramai pasangan suami isteri menghadapi masalah tidur bersama.
Jika ini situasi yang anda lalui, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk mendapat katil kembar atau tidur secara berasingan.
Eh, takkan perlu tidur berasingan?
Cuba anda fikirkan sejenak, jika anda tidur berasingan, sekurang-kurangnya ia tidak akan menjadi punca berlakunya perbalahan antara kalian.
Sebaliknya, kalau anda masih tidur bersama dan berdepan dengan kesukaran untuk tidur, bukankah ia boleh menyebabkan tercetus pertengkaran yang akhirnya mendorong kepada perpisahan?
Punca masalah tidur bagi suami isteri
Berikut disenaraikan antara faktor serta situasi yang boleh mengakibatkan timbulnya masalah berkaitan tidur kepada pasangan berkahwin, seperti:
- Tiada persetujuan tentang sisi katil
- Kedudukan posisi tidur yang berbeza
- Suhu bilik
- Mahu tidur berpelukan atau tidak
- Tekstur cadar katil
- Bunyi jam pada waktu pagi
- Tabiat mengetap gigi
- Pasangan suka berguling atau berpusing atas katil
- Tahap ketenangan dalam bilik
- Terjaga di tengah malam
- Saiz katil
- Tahap kelembutan katil
- Tabiat berdengkur
- Mahukan tingkap terbuka atau tertutup
- Kemahuan tidur dengan anak atau haiwan kesayangan
- Mimpi ngeri
- Berada dalam emosi marah ketika masuk tidur
- Tidur berjalan
- Jumlah bantal dan selimut
- Sindrom keghairahan suami isteri
- Waktu masuk tidur
- Ketetapan waktu bangun tidur
- Insomnia
5 langkah penyelesaian masalah tidur
Mungkin ada antara pasangan berkahwin tidak bersetuju dengan saranan untuk tidur berasingan bagi mengatasi masalah berkaitan tidur ini.
Tidak mengapa, berikut ada 5 cara lain boleh anda cuba untuk memperbaiki isu yang timbul.
- Menyedari kepentingan waktu tidur
Tidur adalah aspek penting bukan sahaja untuk kesihatan tetapi juga untuk ikatan perkahwinan kalian.
Mendapat tidur yang berkualiti dapat memberikan impak positif kepada kepuasan hubungan. Sebaliknya, kurang tidur boleh mengakibatkan suami isteri keletihan dan mengalami keadaan emosi yang mudah terganggu.
Situasi itu pastinya boleh menyebabkan wujud konflik antara kalian. Dalam keadaan yang letih, kecenderungan anda untuk mempunyai tanggapan negatif terhadap pasangan tinggi.
Jadi sekiranya pasangan anda meluahkan masalah berkaitan dengan tidur, sila ambil peduli. Berbincang dan dapatkan jalan penyelesaian terbaik.
Sebaiknya cuba atasi masalah sebelum masuk ke kamar tidur.
- Kamar tidur sebagai tempat peribadi
Anggaplah bilik tidur kalian sebagai tempat perlindungan peribadi yang perlu dihindari daripada dunia luar.
Jika boleh, saat melangkah masuk ke bilik tidur, tutup segala gajet dan elakkan sebarang salah faham.
Hindari segala perkara yang boleh menjadi gangguan kepada pasangan untuk berhubung antara satu sama lain dan mendapatkan tidur malam yang nyenyak.
- Tiada kanak-kanak dalam bilik tidur suami isteri
Tabiat membawa anak tidur bersama dianggap 1 kebiasaan dan kerap diamalkan pada tahun-tahun pertama kelahiran bayi.
Namun, amalan ini boleh menjejaskan hubungan pasangan berkahwin. Kewujudan anak akan menyukarkan pasangan untuk berhubung antara satu sama lain.
- Atasi masalah kesihatan
Terdapat beberapa keadaan berkaitan masalah tidur didasari oleh isu kesihatan.
Sebagai contoh, individu dengan diabetes mungkin akan kerap bangun malam untuk membuang air.
Atau mereka yang mengalami kemurungan atau tekanan akan cenderung berdepan insomnia atau kesukaran untuk tidur malam.
Situasi yang dinyatakan di atas sudah tentu memerlukan rawatan sewajarnya bagi mengatasi isu kesihatan yang dihadapi.
Secara tidak langsung, ia mungkin dapat menyelamatkan hubungan perkahwinan kalian.
- Keintiman sebagai keutamaan
Sebelum tidur, luangkan sedikit masa untuk berbual dengan pasangan secara intim. Kalau tidak ada rasa untuk berbual, cukuplah sekadar berdakapan bersama.
Gunakanlah masa tersebut untuk memberikan penghargaan kepada pasangan. Tunjukkanlah rasa kasih sayang kepada si dia dan lakukanlah hubungan asmara bersama.
Masuk tidur bersama
Jika isu yang timbul masih tidak dapat diatasi, mungkin tidur berasingan pilihan yang terbaik bagi pasangan berkahwin. Tetapi sekurang-kurangnya, masuklah ke kamar tidur bersama.
Bagi pasangan yang mengalami masalah tidur, selepas si dia terlelap, anda boleh keluar tidur di bilik yang berasingan.
[embed-health-tool-bmi]