Pada zaman serba moden ini, rutin harian kita merangkumi banyak penggunaan telefon bimbit sama ada menghantar mesej, bermain game, media sosial dan banyak lagi. Namun, jika ia sampai menyebabkan gangguan tidur, bagaimanakah senarionya?
Pernahkah anda mendengar mengenai gangguan tidur sleep texting? Ya, menggunakan telefon untuk menghantar atau membalas mesej teks semasa tidur. Pelik bukan?
Walaupun kedengarannya macam mustahil, hal ini sememangnya boleh terjadi!
Ingin ketahui gangguan tidur ini dengan lebih lanjut? Teruskan membaca ya!
Punca gangguan tidur sleep texting
Dalam kebanyakan kes, sleep texting kemungkinan besar berlaku apabila anda menerima mesej masuk.
Bunyi notifikasi mungkin memberi signal kepada otak anda bahawa anda mempunyai mesej teks baharu, dan otak akan bertindak balas dengan cara yang sama seperti ketika terjaga.
Walaupun anda boleh membalas mesej semasa tidur, kandungannya mungkin tidak dapat difahami.
Sleep texting kemungkinan besar juga mempengaruhi mereka yang tidur berdekatan dengan telefon bimbit membuatkan senang terjaga apabila notifikasi masuk.
Masalah tidur lain seperti sleepwalking dan tidur bercakap adalah antara yang paling biasa berlaku, tetapi sesetengah individu juga boleh mengalami gangguan tidur seperti makan, memandu, dan bahkan melakukan hubungan seks ketika tidur!
Justeru, sleep texting yang jatuh dalam kategori parasomnia ini kemungkinan tidak begitu berbeza dengan tingkah laku lain yang berlaku semasa tidur.
National Sleep Foundation menganggarkan bahawa kira-kira 10% individu di Amerika mengalami parasomnia.
Di samping itu, parasomnia yang berbeza dikaitkan dengan peringkat kitaran tidur yang berbeza.
Sebagai contoh, mimpi dikaitkan dengan tidur pergerakan mata cepat (REM) dan merupakan sebahagian daripada gangguan tertentu yang dikenali sebagai gangguan tingkah laku tidur REM.
Sebaliknya, sleepwalking berlaku semasa terjaga secara tiba-tiba dari tidur bergelombang perlahan, sejenis tidur bukan REM.
Justeru, sleep texting mungkin berlaku semasa dalam keadaan kesedaran separa yang serupa.
Para penyelidik mendapati 10% peserta melaporkan bangun atau terjaga kerana telefon bimbit mereka sekurang-kurangnya beberapa malam seminggu.
Sejumlah faktor yang mungkin menyumbang kepada gangguan tidur ini termasuk:
- Tekanan
- Kekurangan tidur
- Tidur terganggu
- Jadual tidur berubah
- Demam
Masalah ini juga mungkin mempunyai komponen genetik, kerana mereka yang mempunyai sejarah keluarga gangguan tidur berisiko tinggi mengalami parasomnia.
Beberapa kondisi asas yang boleh menyumbang kepada parasomnia termasuk:
- Gangguan pernafasan tidur, seperti apnea tidur obstruktif
- Penggunaan ubat-ubatan, seperti antipsikotik atau antidepresan
- Penggunaan bahan, termasuk pengambilan alkohol
- Masalah kesihatan (seperti sindrom kaki gelisah atau gangguan refluks gastroesofagus (GERD), yang mengganggu tidur anda)
Contoh-contoh sleep texting
Terdapat pelbagai senario yang berbeza di mana masalah tidur ini boleh berlaku.
Yang paling sering terjadi adalah selepas menerima sebarang notifikasi seperti bunyi telefon berdering atau mesej baharu mampu membuatkan anda terbangun dalam keadaan separa sedar.
Gangguan tidur ini bukan sahaja terhad kepada penerimaan mesej teks, sebarang bunyi daripada telefon bimbit akan membuatkan anda untuk bertindak balas, seperti yang mungkin anda lakukan pada siang hari.
Satu lagi senario yang mungkin berlaku ketika kejadian sleep texting adalah semasa mimpi di mana anda menggunakan telefon atau menghantar SMS kepada seseorang.
Selain itu, penggunaan telefon dalam mimpi dapat didorong oleh bunyi notifikasi dari telefon anda.
Dalam kes yang lain, mesej teks semasa tidur mungkin berlaku tanpa penerimaan sebarang notifikasi.
Ini kerana, menghantar atau membalas teks sudah menjadi tingkah laku automatik bagi sesetengah orang, adalah tidak mustahil untuk mereka melakukannya tanpa diminta dalam keadaan separuh sedar.
Pencegahan gangguan tidur sleep texting
Gangguan tidur sleep texting biasanya bukan masalah yang serius kerana ia tidak memberi sebarang risiko kepada kesihatan dan kesejahteraan anda.
Namun, anda harus berbincang dengan doktor sekiranya mengalami masalah tidur ini bersama dengan parasomnia lain yang boleh mengganggu atau berpotensi berbahaya.
Sekiranya anda menjalani rutin tidur yang konsisten dan masih mengalami parasomnia, itu mungkin merupakan petanda masalah kesihatan yang perlu dikenal pasti.
Bagi kebanyakan individu yang mengalami masalah tidur ini, ada penyelesaian yang mudah. Apabila tiba masanya untuk tidur, anda boleh mencuba salah satu perkara berikut:
- Matikan telefon bimbit atau letakkan telefon anda dalam ‘mod malam’
- Silent sebarang bunyi dan notifikasi
- Jauhkan telefon bimbit dari tempat tidur anda
- Elakkan menggunakan telefon anda pada waktu sebelum tidur
Walaupun gangguan tidur ini tidak menjadi masalah, menyimpan peranti di tempat tidur boleh memberi kesan pada kualiti dan kuantiti tidur anda.
Penggunaan peranti teknologi interaktif, seperti telefon bimbit, lebih sering dikaitkan dengan masalah tidur dan dilaporkan sukar untuk berehat dengan berkualiti.
Kesan peranti elektronik pada tidur lebih ketara dalam kalangan remaja dan belia, yang cenderung menghabiskan lebih banyak masa dengan telefon bimbit mereka.
Selain itu, penggunaan telefon bimbit turut dikaitkan dengan jangka waktu tidur yang lebih pendek, masa yang lebih lama untuk tidur, dan kekurangan tidur.
[embed-health-tool-bmi]