Psoriasis bukanlah sejenis penyakit yang mudah untuk dirawat. Walaupun pelbagai jenis ubat yang telah dicuba, namun masih ramai yang tidak menjumpai rawatan atau ubat psoriasis paling berkesan untuk merawat kondisi mereka.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai pilihan ubat yang mungkin berkesan untuk anda sempena Hari Psoriasis Sedunia tanggal 29 Oktober ini. Jom baca lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
5 ubat psoriasis paling berkesan
Mengapa pesakit psoriasis perlukan ubat? Tujuan utama ubat adalah untuk menghentikan kulit daripada tumbuh dengan terlalu pantas. Dalam masa yang sama, krim atau ubat ini juga bertujuan untuk menanggalkan sisik pada kulit.
Rawatan untuk psoriasis bergantung pada keseriusan penyakit masing-masing.
Ada rawatan yang berkesan untuk orang lain namun mungkin tidak berkesan untuk anda. Malah, ada juga yang telah mencuba pelbagai jenis ubat, namun penyakit terus kembali.
Di bawah, kami akan jelaskan mengenai beberapa ubat psoriasis paling berkesan untuk kegunaan pesakit:
1. Penggunaan ubat kortikosteroid topikal
Kortikosteroid merupakan antara ubat psoriasis yang sangat berkesan untuk merawat masalah kulit yang ringan dan sederhana. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk minyak, krim, losyen, gel, semburan dan juga syampu.
Untuk kawasan yang sensitif seperti muka dan celah paha, selalunya doktor akan membekalkan ubat yang tidak akan memberikan kerengsaan. Pesakit boleh menyapu ubat ini ketika kawasan yang terjejas mula gatal-gatal atau pada hari-hari tententu selepas ruam psoriasis beransur sembuh.
Walau bagaimanapun, penggunaan kortikosteroid boleh menyebabkan kulit menjadi nipis. Lama-kelamaan, ia mungkin tidak akan berkesan lagi. Krim yang kuat hanya boleh digunakan di kawasan kulit yang tebal dan bukannya secara berpanjangan.
Jika anda mempunyai masalah psoriasis yang teruk, doktor akan mencadangkan penggunaan krim yang lebih kuat sebagai cara menghilangkan kerak psoriasis di kepala. Sebagai contoh, antara ubat psoriasis yang paling berkesan untuk merawat kondisi ini ialah triamcinolone atau clobetasol.
2. Pelembap antara ubat psoriasis paling berkesan
Pemakaian pelembap – terutamanya yang mengandungi asid laktik, glikolik atau salisilik – merupakan kunci untuk mengurangkan kegatalan disebabkan psoriasis.
Sebagai contoh, syampu yang mengandungi asid salisilik dapat mengurangkan pembentukan parut pada kulit kepala. Namun, syampu ini memerlukan preskripsi pakar, jadi jangan lupa tanya doktor anda untuk mendapatkannya.
Pastikan anda menyapu pelembap sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pemakaian pelembap juga dapat membantu mengurangkan kegatalan dan bagus digunakan bersama regimen rawatan sedia ada.
Baca juga:
- Ini 5 Ubat Psoriasis Boleh Dibeli Di Farmasi, Dapat Bantu Atasi Gatal-gatal Kulit
- Kelemumur Dan Psoriasis Kulit Kepala: Nampak Sama, Tapi Tak Serupa! Ini Bezanya
3. Gunakan krim analog vitamin D
Krim analog vitamin D merupakan antara ubat psoriasis paling berkesan. Ia sering digunakan bersama krim steroid sebagai cara menghilangkan kerak psoriasis di kepala.
Antara contoh analog vitamin D ialah calcipotriol, calcitriol dan tacalcitol. Semua krim ini selamat untuk digunakan asalkan tidak melebihi dos yang sepatutnya.
4. Jangan sesekali garu atau kopek kulit!
Ini merupakan salah satu pantang larang penghidap psoriasis! Jangan gatal tangan dan kopek kudis pada kulit!
Ia bukan sahaja boleh membuatkan luka lambat sembuh, tabiat ini juga boleh meningkatkan risiko kulit berparut! Pastikan anda biarkan kudis tertanggal dengan sendirinya untuk elak sebarang jangkitan atau parut pada masa hadapan.
5. Letakkan sesuatu yang sejuk pada kulit
Jika kulit anda terlalu gatal sehingga ia mengganggu tidur atau kehidupan seharian, cuba letakkan kain yang sejuk atau pek ais di atasnya. Ia mungkin dapat menjadi penawar segera untuk mengurangkan kegatalan.
Jangan sesekali garu kulit kerana ia hanya akan buatkan kulit anda menjadi semakin teruk. Malah, apabila semakin garu, semakin gatal pula nanti!
Ada ke alternatif lain untuk ubat psoriasis paling berkesan?
Bagi penghidap psoriasis, pengambilan ubat yang bersesuaian dengan kondisi masing-masing merupakan kunci untuk mengawal kegatalan.
Bukanlah anda tidak boleh mencuba alternatif lain, namun ubat tradisional yang dijual terutamanya secara atas talian mungkin akan buatkan kondisi anda menjadi semakin teruk.
Jika anda mengalami kesukaran untuk menangani simptom-simptom psoriasis, dapatkan pendapat daripada doktor. Gabungan ubat-ubat tertentu mungkin dapat mengurangkan inflamasi, memulihkan luka dan memastikan kulit anda sentiasa sihat.