Sistem imun berfungsi untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan. Namun, apabila seseorang mempunyai penyakit autoimun seperti psoriasis, sistem kekebalan badan akan terjejas.
Psoriasis menyebabkan sistem imun menjadi terlalu aktif yang membuatkan sel darah putih menyerang sel kulit, sekali gus mempercepatkan proses penghasilan sel.
Ia juga adalah penyakit kulit yang kronik di mana kulit penghidap menebal lebih cepat daripada kulit yang normal.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Pun begitu, penyakit ini tidak berjangkit dan kawasan yang biasa berlaku adalah kulit kepala, lutut, siku lengan dan kaki. Akan tetapi, ia boleh juga melibatkan bahagian badan lain termasuk kuku.
Walaupun sistem imun tubuh adalah penyebab utama psoriasis, namun ia penting untuk mengawal penyakit kulit ini.
Oleh itu, bagaimanakah caranya untuk ‘menenangkan’ sistem imun yang terlalu aktif ini bagi penyakit psoriasis?
Sempena Hari Psoriasis Sedunia, 29 Oktober ini, ketahui cara untuk meningkatkan sistem imun buat penghidap psoriasis. Jom baca!
Cara-cara meningkatkan sistem imun bagi melawan psoriasis
#1 Lebihkan pengambilan vitamin D
Kajian menunjukkan banyak pesakit psoriasis mengalami kekurangan vitamin D. Justeru, apa kesannya terhadap kulit?
Tahukah anda vitamin D menyumbang kepada peningkatan kualiti kesihatan kulit?
Bagi mereka yang mempunyai psoriasis, tubuh menghasilkan sel kulit baharu dengan kadar yang cepat.
Ini menyebabkan pengumpulan sel mati di permukaan kulit yang turut dikenali sebagai ‘plak’.
Justeru, pengambilan vitamin D dapat membantu dengan melambatkan pertumbuhan sel.
Sebenarnya, penyelidikan telah menunjukkan bahawa sel-sel imun mereka dengan penyakit autoimun bertindak balas terhadap kesan vitamin D.
Jadi bagaimana cara yang boleh anda lakukan untuk mendapat lebih banyak sumber vitamin D?
Terdapat beberapa pilihan makanan yang mengandungi vitamin D, seperti:
- Ikan berlemak
- Susu
- Telur
- Jus dan bijirin yang diperkaya
Selain daripada pilihan di atas, anda juga boleh berbincang dengan doktor bagi pengambilan suplemen vitamin D.
#2 Makan makanan kaya antioksidan
Individu yang mempunyai psoriasis juga sering kekurangan antioksidan, terutamanya yang disebut sebagai selenium.
Selenium adalah sangat penting untuk pembentukan sistem imun yang kuat.
Peningkatan kadar antioksidan dalam makanan dapat membantu meningkatkan fungsi kulit dan kesihatan pesakit secara keseluruhan.
Kedua-dua vitamin C dan vitamin E berfungsi sebagai antioksidan. Sumber vitamin C yang tinggi dalam makanan termasuk:
- Sayuran berdaun hijau
- Buah-buahan sitrus seperti oren dan lemon
- Buah beri
Manakala, vitamin E boleh diperoleh daripada makanan-makanan berikut:
- Sayuran berdaun hijau
- Biji bunga matahari
- Kacang
- Minyak sayur
#3 Bersenam
Seperti yang sudah kita semua tahu, bersenam adalah sangat penting untuk kesihatan yang baik secara menyeluruh.
Senaman juga adalah sangat penting bagi penderita masalah kulit ini kerana mereka berisiko mengalami tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, dan masalah jantung jika dibandingkan dengan golongan yang tidak mempunyai psoriasis.
Bukan itu sahaja, bersenam secara berkala juga dapat membantu mengekalkan sistem imun yang sihat dan kuat.
Pun begitu, bersenam boleh menjadi pengalaman yang menyiksakan terutamanya bagi mereka yang menderita penyakit ini, maka pesakit disarankan untuk mempertimbangkan senaman alternatif seperti berikut:
- Berenang
- Senamrobik air
- Yoga
- Angkat berat
- Brisk walking
Apa pun jenis senaman, pastikan anda melakukan sesuatu yang digemari dan tidak terganggu oleh masalah kulit agar ia dapat diamalkan buat jangka masa panjang.
Pastikan anda berbincang rutin senaman dengan doktor terlebih dahulu sebelum memulakannya.
Aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh juga membantu mencegah kolesterol tinggi, diabetes, masalah jantung, dan tekanan darah tinggi.
#4 Mengamalkan kebersihan tangan yang baik
Memastikan tangan sentiasa dalam keadaaan bersih amat penting bagi mengelak sebarang jangkitan daripada berlaku, terutamanya bagi pesakit psoriasis.
Pembersih tangan berasaskan alkohol sesuai digunakan dan kurang rengsa bagi mereka berbanding pencucian tangan yang berlebihan.
Juga, elakkan cuci tangan secara berlebihan dengan tidak melebihi 10 kali pada waktu siang agar kulit tidak hilang kelembapan.
Gunakan air suam bersama sabun yang lembut dan sesuai untuk kulit sensitif. Pastikan juga tangan sentiasa dikeringkan sehingga bersih.
Untuk mengekalkan kelembapan kulit, segera sapukan krim pelembap atau losen selepas cuci tangan.
Selain itu, elakkan menyentuh mata, hidung, atau mulut dengan tangan- ini cara yang bagus untuk mencegah jangkitan.
#5 Dapatkan vitamin dan nutrien yang mencukupi
Untuk menguatkan sistem imun badan, selain vitamin C, D, dan E, banyakkan pengambilan omega-3 dan jauhi makanan yang menyebabkan keradangan, seperti gula halus dan daging merah berlemak.
Selain mengamalkan diet pemakanan yang sihat, pesakit juga harus memastikan untuk:
- Kawal tahap tekanan/ stres: Tahap tekanan yang tinggi mampu mencetuskan gejala psoriasis. Justeru, pesakit harus memastikan tahap stres mereka sentiasa terkawal dengan melakukan aktiviti yang anda gemari
- Berhenti merokok: Tabiat merokok akan memburukkan lagi simptom-simptom pesakit psoriasis
- Elakkan pengambilan alkohol: Alkohol mampu menyebabkan keradangan di dalam badan dan pengambilan yang berlebihan kini telah terbukti secara saintifik akan memburukkan lagi gejala psoriasis
Kesimpulannya, anda boleh cuba cara-cara untuk meningkatkan sistem imun seperti di atas, tapi disarankan untuk mendapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu.