Semakin anda tua, maka semakin banyak rambut beruban yang anda miliki. Tetapi, walaupun umur anda masih muda, tidak bermakna anda tidak akan memiliki banyak uban.
Ada sesetengah individu yang masih boleh dikategorikan sebagai golongan muda, mempunyai rambut beruban yang jelas kelihatan walaupun jumlahnya tidak begitu banyak. Ada yang menyatakan uban yang tumbuh ini terjadi disebabkan oleh pelbagai sebab seperti terlalu banyak berfikir, sudah lanjut usia, dan juga disebabkan oleh tekanan atau stres.
Oleh itu, apakah faktor sebenar yang menyebabkan kewujudan uban pada rambut?
Betul ke stres sebabkan rambut beruban?
Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature, stres memainkan peranan yang signifikan dalam perubahan warna rambut daripada warna asal kepada warna kelabu.
Walaupun para saintis telah lama memahami bahawa terdapatnya hubungan antara stres dan rambut yang beruban, tetapi kajian terbaharu ini telah mengesahkannya dengan lebih mendalam bagaimana ia berlaku.
Bagaimana stres sebabkan uban tumbuh?
Pada permulaan kajian, penyelidik melihat kepada kortisol, iaitu sejenis hormon stres yang meningkat naik dalam tubuh apabila seseorang individu tersebut mengalami respons ‘lawan atau lari’ (fight or flight). Kortisol adalah satu fungsi badan yang amat penting, tetapi jika ia sentiasa wujud dengan kadar yang tinggi, ia akan memberikan kesan negatif pada tubuh badan manusia.
Bahan kimia yang dilepaskan ketika tindak balas stres, terutama sekali norepinephrine, boleh menyebabkan sel stem penghasil pigmen diaktifkan secara tidak matang lalu mengurangkan simpanan warna rambut.
Menurut ketua penyelidik kajian ini, Dr. Ya-Chieh Hsu, selepas beberapa hari, kesemua sel stem penghasil pigmen ini hilang dan tubuh tidak lagi dapat menghasilkan kembali pigmen untuk rambut manusia. Ini kerana, kerosakan yang berlaku pada warna rambut ini bersifat kekal.
Dr. Kasey Nichols dari Rave Review pula menyatakan, stres terjadi apabila terdapat ketidakseimbangan antara radikal bebas dan juga antioksidan dalam badan kita atau disebut sebagai stres oksidatif (oxidative stress). Ia kemudiannya menyebabkan kerosakan pada tisu, protein dan juga DNA.
Genetik turut sebabkan uban tumbuh pada rambut
Walaupun stres mungkin memainkan peranan signifikan yang menyebabkan rambut anda menjadi beruban, namun masih terdapat pelbagai sebab lain yang membolehkan ia berlaku.
Dalam kebanyakan kes, ia juga boleh disebabkan oleh faktor genetik keluarga individu itu sendiri.
Menurut Dr. Lindsey A. Bordone, Profesor Dermatologi di Columbia University Medical Center, rambut beruban disebabkan oleh kehilangan sel pigmen dalam folikel rambut. Ia akan berlaku seiring dengan peningkatan usia. Tetapi malangnya, tidak terdapat sebarang rawatan yang boleh mengembalikan semula sel pigmen ini.
Beliau juga menyatakan, faktor genetik turut menjadi punca berlakunya rambut beruban terhadap seseorang individu itu. Tidak terdapat sebarang rawatan perubatan yang boleh mereka lakukan untuk menghalang perkara ini daripada berlaku apabila ia disebabkan oleh faktor genetik.
Apa faktor lain yang menyebabkan berlakunya rambut beruban?
Dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2013, merokok diketahui merupakan salah satu faktor risiko bagi kejadian rambun beruban pramatang. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menyebabkan proses uban pramatang seperti kekurangan protein, vitamin B-12, tembaga dan juga zat besi. Di samping itu, ia juga boleh disebabkan oleh pengumpulan stres oksidatif.
Apa yang boleh anda lakukan untuk melambatkan uban pramatang?
Bagi anda yang ingin melambatkan proses uban pramatang, anda boleh cuba lakukan perkara-perkara ini:
- Ambil makanan yang tinggi dengan asid lemak omega-3 seperti ikan salmon dan kacang walnut
- Kurangkan pendedahan diri dan rambut anda daripada cahaya ultraviolet kerana ia boleh merosakkan kulit dan juga rambut anda
- Ambil suplemen vitamin B-12 dan vitamin B-6
Kajian lanjut masih diperlukan
Kajian yang dilakukan oleh Universiti Harvard ini hanyalah kajian yang dijalankan terhadap tikus semata-mata. Oleh itu, kajian ini juga perlu dilaksanakan ke atas manusia bagi menguatkan hasil kajian.
Menurut Dr. Ya-Chieh Hsu, bagi memahami dengan lebih tepat lagi, kajian telah meletakkan satu asas untuk mengetahui bagaimana stres memberi kesan kepada tisu dan organ lain dalam tubuh.
“Memahami bagaimana tisu-tisu manusia berubah semasa berada dalam keadaan stres adalah langkah kritikal pertama ke arah penyediaan rawatan. Akhirnya, perkara ini dapat menghentikan atau membalikkan kesan stres yang amat merugikan, ” ujar Dr. Ya.
Kesimpulan
Adakah mungkin akan terdapat satu rawatan khusus yang boleh mengembalikan warna asal rambut setelah ia beruban?
Perkara ini masih tidak dapat dipastikan, tetapi ia juga tidak mustahil. Jika saintis berjaya mengembalikan semula sel pigmen yang hilang ke dalam rambut manusia, maka pada ketika itu ia bukanlah satu perkara yang tidak mungkin berlaku.
Selain itu, elakkan juga daripada sebarang perkara atau persekitaran yang boleh membuatkan anda stres. Jika tidak, rambut yang beruban pasti akan bertambah dengan cepat daripada hari ke hari.