home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Perasan Ada Lubang Kecil Di Telinga? Ia Berisiko Alami Jangkitan!

Perasan Ada Lubang Kecil Di Telinga? Ia Berisiko Alami Jangkitan!

Pernahkah kalian terbaca, terdengar atau ternampak individu yang mempunyai lubang kecil di telinga? Jangan terlalu terkejut kerana keadaan ini memang wujud!

Untuk pengetahuan anda, kondisi yang lebih dikenali secara saintifik sebagai Preauricular sinus ini adalah satu kelainan atau kecacatan kongenital.

Ramai penderita mungkin tidak tahu, tidak sedar atau tidak peduli tentangnya lantas hanya mengabaikannya kerana tidak mahu berjumpa dengan doktor.

Persoalannya, adakah ia berbahaya? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila dapatkannya di sini.

Adakah lubang kecil di telinga itu normal?

Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi wajarlah untuk kita tahu tentang perkara penting ini terlebih dahulu.

Seperti mana yang telah kami katakan di awal artikel tadi, ia adalah satu kondisi yang tidak normal dan merupakan kelainan atau kecacatan kongenital (terbentuk semasa dalam kandungan ibu lagi).

Mungkin ketika masih bayi, lubang ini kurang jelas namun akan makin membesar seiring pertambahan usia bayi.

Kondisi ini juga boleh berlaku kepada mana-mana belah telinga sama ada kiri, kanan atau kedua-duanya sekali.

Ia dikatakan lebih kerap berlaku kepada telinga belah kiri berbanding belah kanan namun boleh terjadi kepada kedua-duanya sekali dalam 25-50% kes lepas.

Punca kelainan atau kecacatan ini berlaku adalah didasari oleh faktor aurikel (cuping telinga) tidak terbentuk dengan sempurna ketika di dalam kandungan.

Kebanyakan pakar percaya pembentukan tidak sempurna ini adalah disebabkan oleh mutasi genetik manusia.

Buat anda yang mungkin belum pernah melihat lubang sebegini, ia adalah begitu kecil seakan seekor semut sahaja dan kebiasaannya terletak di bahagian luar telinga berdekatan dengan wajah.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, boleh amati gambar di bawah ini:

lubang kecil di telinga

Sumber: myhealth.gov.my

Jika anda mempunyainya, ketahuilah ia bukan satu keadaan yang normal dan mungkin memerlukan rawatan lanjutan.

Apakah risiko buat kalian yang mempunyainya?

Meskipun keadaan ini tidak normal, ia biasanya tidak akan mendatangkan apa-apa risiko atau kesan sampingan terhadap keadaan kesihatan anda.

Pun begitu, adalah tidak wajar untuk memandangnya sebelah mata sahaja kerana ada kemungkinan ia akan mendatangkan jangkitan kuman pada telinga.

Berikut merupakan simptom-simptom yang boleh berlaku sekiranya lubang kecil di telinga terkena jangkitan:

  • Pembengkakan
  • Kesakitan
  • Kemerahan
  • Keluar nanah dari lubang
  • Timbul ulser di sekitar lubang
  • Demam

Kesannya? Ia sudah tentu akan mengakibatkan kawasan sekitar lubang itu mengalami pembengkakan, kesakitan, kemerahan dan ketidakselesaan.

Bukan itu sahaja, malahan ada juga kes di mana lubang kecil di telinga akan menimbulkan kesan parut yang merebak atau lebih dikenali sebagai keloid.

Ini tentu sahaja akan menjejaskan penampilan muka dan wajah individu sekali gus menurunkan tahap keyakinan diri penderita.

Apa yang perlu dilakukan oleh penderita lubang kecil di telinga?

Baiklah, sekarang kita sudah tahu bahawa lubang ini adalah satu kelainan atau kecacatan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sejak lahir lagi.

Ia mungkin tidak akan menyebabkan sebarang kesan sampingan, namun ada risiko ia terkena jangkitan kuman lantas menjejaskan tahap kesihatan dan kecantikan anda.

Perkara pertama yang kalian perlu lakukan adalah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan.

telinga

Doktor pakar otolaringologis akan memeriksa lubang kecil di telinga ini untuk memastikan sama ada ia terkena jangkitan atau tidak.

Jika tidak, anda mungkin tidak memerlukan rawatan lanjutan sehinggalah ia terkena jangkitan kuman.

Jika ya, anda akan disarankan untuk mengambil ubatan antibiotik untuk membunuh kuman pada telinga.

Sekiranya jangkitan tersebut berulang dan berada pada tahap kritikal, maka rawatan lanjutan berbentuk pembedahan perlu dijalankan segera.

Pembedahan kecil ini akan dilakukan dengan tujuan menutup atau membuang lubang kecil di telinga untuk mengelakkan ia terkena jangkitan pada masa hadapan kelak.

Selepas prosedur tersebut, doktor akan memberi arahan tentang bagaimana untuk menjaga kawasan telinga bagi memastikan ia pulih sepenuhnya.

Segera berjumpa doktor jika ragu-ragu!

Adalah tidak wajar untuk anda sebagai penderita atau ibu bapa kepada bayi dengan kondisi lubang kecil di telinga melakukan diagnosis sendiri.

Untuk langkah berwaspada, segera berjumpa doktor sekiranya anda terlihat lubang yang kami katakan ini wujud pada telinga anda.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. http://www.myhealth.gov.my/preauricular-sinus/
  2. https://rarediseases.info.nih.gov/diseases/10507/preauricular-sinus
  3. https://radiopaedia.org/articles/preauricular-sinus
  4. https://www.malacards.org/card/preauricular_sinus
  5. https://www.chop.edu/conditions-diseases/preauricular-pits
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 20/04/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung