Rawatan kuku manicure dan pedicure sememangnya popular dalam kalangan wanita yang mementingkan penampilan diri.
Rawatan kuku manicure dan pedicure, atau lebih popular digelar sebagai mani pedi ini menggunakan lampu khas yang memancarkan sinar ultraviolet (UV) untuk mengeringkan pewarnaan kuku.
Tapi, yang menjadi kebimbangan, terdapat golongan yang mengaitkan penggunaan lampu UV dengan risiko melanoma atau kanser kulit!
Ada yang menyatakan, lampu UV digunakan adalah sama dengan yang digunakan bagi prosedur tanning bed (menggelapkan kulit), yang terbukti meningkatkan risiko terhadap kanser kulit.
Ura-ura ini mencetuskan kerisauan dalam kalangan pelanggan salon untuk meletakkan jari mereka yang digilap dengan sempurna di bawah sinaran lampu tersebut.
Jadi, apakah kebenaran di sebalik kenyataan ini? Jom ikuti artikel ini!
Meneliti kaitan antara rawatan kuku & barah kulit
Dr. Saira George, Penolong Profesor Dermatologi di MD Anderson, Sugar Land mengatakan, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan hubungan antara manicure dan risiko kanser kulit.
Satu kajian tahun 2009 melaporkan, 2 orang wanita yang sihat didapati menghidap barah kulit di tangan mereka.
Apa yang menghairankan, kedua-dua wanita ini tidak mempunyai sejarah kanser kulit peribadi atau keturunan.
Namun, mereka kerap mengunjungi salon kuku dan terdedah dengan lampu UV tersebut.
Pun begitu, masih sukar untuk menentukan sama ada perkara itu memicu pembentukan kanser atau tidak.
Dalam kajian lain yang lebih baharu, para penyelidik menguji sejumlah UV-A yang dipancarkan oleh 17 lampu pengeringan kuku di 16 salon berbeza.
Mereka mendapati, jumlah pendedahan UV-A adalah sangat berbeza dari lampu ke lampu.
Tetapi walaupun terdedah pada lampu dengan watt tertinggi, jumlah sinaran UV yang dihasilkan dalam satu kunjungan ke salon nampaknya tidak menjadi kebimbangan yang serius.
Justeru, para penyelidik menyimpulkan, kunjungan lebih kerap diperlukan untuk mendapatkan pendedahan yang mencukupi sehingga menyebabkan kerosakan DNA pada sel kulit.
Walaupun begitu, risiko barah mungkin masih rendah. Ini kerana lampu UV di salon kuku memancarkan tahap radiasi UVA yang jauh lebih rendah berbanding tanning bed, yang diketahui menyebabkan kanser kulit.
1 kajian baru-baru ini menunjukkan, penggunaan tanning bed menyumbang kepada lebih daripada 419,254 kes kanser kulit di Amerika Syarikat setiap tahun!
Apa yang lebih menyeramkan, jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding jumlah kes kanser paru-paru yang disebabkan oleh tabiat merokok setiap tahun.
Justeru, bagi menjawab persoalan utama artikel ini, lampu UV yang digunakan untuk rawatan kuku berkemungkinan menyebabkan kanser kulit, dengan pendedahan yang kerap.
Pokok pangkalnya, kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan untuk mendapatkan jawapan yang lebih kukuh.
Jadi, apakah penyelesaian terbaik?
Jawapannya, mengurangkan pendedahan kulit terhadap lampu UV adalah kunci bagi mengelakkan risiko terkena kanser!
Pelanggan salon kuku biasanya hanya akan terdedah kepada lampu ultraviolet untuk jangka masa pendek, yang mencukupi untuk mengeringkan cat kuku yang basah.
Disebabkan kajian menunjukkan kunjungan yang kerap diperlukan untuk mencetuskan kerosakan sel, maka para penyelidik menyimpulkan bahawa risiko mendapat barah kulit daripada rawatan manicure pedicure adalah kecil..
Pakar Dermatologi Dr. Melissa Piliang mengatakan, semua risiko ini bergantung pada kekerapan pelanggan terdedah kepada lampu UV.
Sekiranya anda sering melakukan rawatan kuku sekali seminggu dan meletakkan tangan di bawah lampu selama 10 minit, anda mungkin perlu berasa bimbang, tambah Dr. Piliang.
Beliau turut menyatakan, untuk mengambil langkah selamat, mengurangkan kunjungan ke salon kuku kepada hanya beberapa kali setahun adalah perancangan yang bijak!
Elak risiko kanser, ambil langkah berjaga-jaga
Para penyelidik mengesyorkan agar pelanggan setia salon kuku mengamalkan rawatan kuku seperti;
- Menggunakan krim pelindung matahari
- Memakai sarung tangan pelindung yang bersesuaian
Kedua-dua tip ini bertujuan untuk mengurangkan risiko kanser kulit dan penuaan pramatang.
Untuk menjadikannya sebagai rawatan mani pedi yang selamat, laman sesawang The Skin Cancer Foundation mengesyorkan penggunaan sunblock spektrum luas (UVA / UVB) pada kulit tangan 20 minit sebelum terdedah kepada cahaya UV.
Walau bagaimanapun, langkah penjagaan ini tidak melindungi kalian daripada squamous cell carcinoma, subungual (di bawah kuku), sejenis kanser kulit agresif yang jarang terjadi.
Makanya, apabila anda ingin melakukan rawatan kuku manicure pedicure biasa, cara yang paling selamat adalah membiarkan kuku kering secara semula jadi, dan mengelakkan penggunaan lampu UV sama sekali!
Memastikan kuku kekal sihat!
Inginkan penampilan kuku yang berkilat dan sihat tanpa perlu mengunjungi salon kuku dengan kerap? Boleh saja!
Tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak, dan mengamalkan tip-tip yang bakal penulis kongsikan di bawah, impian untuk miliki kuku yang cantik dapat dikecapi!
- Sentiasa mengamalkan kebersihan kuku yang baik: Usah dibiarkan kuku yang kian panjang dan kehitaman. Jika makin dibiarkan, makin banyak kotoran terperangkap di bawahnya! Untuk mendapatkan kuku sihat dan bebas kuman, anda perlu memotongnya, sekali gus mengelakkan berlakunya masalah kuku terkeluar.
- Mengambil suplemen biotin: Apa itu biotin? Biotin adalah vitamin kompleks B, juga dikenali sebagai vitamin B7 dan vitamin H. Ia mendorong pertumbuhan sel sihat dan membantu metabolisme asid amino dalam membentuk protein yang penting untuk pertumbuhan kuku.
- Sentiasa pastikan kuku kekal hidrat: Cukup penting untuk memastikan kuku kekal lembap bagi mengelaknya daripada menjadi rapuh dan mudah patah! Meletakkan sedikit petroleum jelly pada kuku dan kulit di sekitarnya sudah memadai.
- Elak guna polish remover secara berlebihan: Menggunakan polish remover dengan terlalu kerap berisiko mengeringkan dan merosakkan lapisan kuku.