backup og meta

Suka Gigit Kuku? AWAS, Tabiat Ini Bawa Mudarat! Ini 5 Cara Untuk Cegah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 12/04/2022

    Suka Gigit Kuku? AWAS, Tabiat Ini Bawa Mudarat! Ini 5 Cara Untuk Cegah

    Adakah anda mempunyai tabiat menggigit kuku terutamanya ketika berasa gemuruh, cemas, tertekan, atau bosan hingga menjejaskan kesihatan kuku? Ternyata kalian tidak keseorangan!

    Untuk makluman, hampir 20% ke 30% daripada populasi umum mempunyai tabiat yang sama, dan tingkah laku ini juga tidaklah sebahaya seperti yang difikirkan.

    Tapi jika tidak dirawat, gigitan kuku yang kronik boleh akibatkan pelbagai masalah kesihatan, termasuk jangkitan dan masalah kebersihan lain.

    Jadi, apa yang boleh anda lakukan untuk menghentikan tabiat buruk yang menjejaskan kesihatan kuku ini? Jom baca!

    Mengapa saya asyik gigit kuku?

    Sebelum penulis kupas cara-cara untuk menghentikan tabiat ini, ada baiknya kalian memahami dahulu sebab di sebalik tingkah laku itu.

    Tabiat menggigit kuku juga mempunyai nama saintifiknya tersendiri, iaitu onychophagia.

    Menurut Dr. Rebecca Rialon Berry, Ahli Psikologi Berlesen dan Pengarah Tics, Tourette Disorder, and Trichotillomania Program at the Child Study Center di NYU Langone Health, tabiat ini dikategorikan sebagai body-focused repetitive behaviors (BFRBs).

    Ia merujuk kepada tingkah laku dandanan diri berulang yang merosakkan kulit, rambut, atau kuku.

    Jadi, kenapa anda boleh terjebak dengan tabiat ini?

    keburukan menggigit kuku

    Kajian menunjukkan, ia berkemungkinan ada kaitan dengan faktor genetik, tetapi sesetengah pencetus (trigger) di persekitaran; stres, kegelisahan, kebosanan, dan bentuk tekanan emosi yang lain turut mempengaruhinya.

    Kadang-kadang, seseorang individu boleh terjebak dengan tingkah laku ini apabila mereka rasa terganggu secara emosi, atau kebosanan, tambah Dr. Berry.

    Menggigit jari juga boleh menjadi antara salah satu medium untuk melepaskan bebanan emosi yang dirasai.

    Tabiat ini biasanya tidak menyebabkan kerosakan kekal. Tetapi ia pasti mempunyai kelemahan tersendiri, seperti:

    1. Kuku tumbuh secara tidak normal: Sekiranya tisu di sekitar kuku dirosakkan, pertumbuhannya akan terjejas, lantas menyebabkan penampilan kuku yang pelik.
    2. Menjejaskan senyuman! Apabila kerap menggigit kuku, gigi anda juga akan mula menerima tempiasnya. Lama-kelamaan, ia mampu menyebabkan masalah rahang!
    3. Boleh jadi punca sakit: Tangan kita adalah ‘sarang’ kuman, dan kuku adalah ‘tempat persembunyian’ yang sempurna. Apabila anda memasukkan jari ke dalam mulut berkali-kali sehari, risiko terjadi pemindahan kuman adalah tinggi.

    Apa cara terbaik untuk cegah tabiat gigit kuku?

    #1 Kenal pasti pencetus anda!

    Sekiranya anda ingin menghentikan tabiat gigit kuku, perkara pertama yang harus dilakukan adalah mengenal pasti pencetusnya!

    Kalian mungkin akan menyedari, tabiat ini sering dilakukan ketika sedang membaca e-mel, melakukan kerja, atau menonton TV.

    Kata Dr. Berry lagi,

    “Kami ingin melihat secara khusus perkara yang dilakukan, tempat mereka berada, orang di sekeliling, dan perasaan yang sedang dirasai.”

    Kesemua elemen ini saling bersangkut paut, yang berpotensi menyumbang kepada tingkah laku tersebut.

    Sebaik sahaja anda dapat kenal pasti pemicunya, langkah seterusnya bakal melibatkan usaha untuk mengubah persekitaran bagi menyingkirkan faktor pencetus.

    #2 Pastikan kuku sentiasa pendek

    kuku

    Anda mungkin akan mempunyai kecenderungan menggigit kuku apabila ia dibiarkan panjang.

    Maka, pastikan kuku sentiasa dalam keadaan pendek supaya tabiat tersebut dapat dikurangkan. Kuku yang pendek tidak akan dapat memberikan kepuasan yang diinginkan apabila digigit.

    Tambahan itu, kuku pendek lebih mudah dijaga dan secara umumnya lebih bersih berbanding kuku yang panjang.

    #3 Lakukan rawatan manicure yang bagus

    Inginkan alasan tambahan yang kuat untuk hentikan tabiat buruk anda? Laburkan wang untuk menjalani rawatan manicure yang bagus dan mahal di salun kuku!

    Apabila sudah banyak melabur untuk penampilan kuku, anda pasti tidak mahu merosakkannya dengan menggigit, kan?

    Walaupun kaedah ini mungkin melibatkan kos, ia mampu mengurangkan dan mencegah tabiat gigit kuku daripada melarat.

    #4 Balut/tutup kuku

    Sekiranya rawatan manicure masih tidak berkesan untuk menghalang diri daripada menggigit, cuba balut atau tutup kuku menggunakan pembalut luka.

    Perkara ini akan mewujudkan kekangan dan halangan membuatkannya mustahil untuk digigit, jelas Dr. Berry.

    Tidak hanya terhad kepada pembalut luka, kalian juga boleh menjadi kreatif dengan menggunakan sarung tangan, memakai set kuku pressed on dan sebagainya!

    #5 Pastikan tangan atau mulut kekal ‘sibuk’

    Cara yang baik untuk menghentikan diri daripada menggigit kuku adalah dengan memastikan tangan dan mulut kekal ‘sibuk’ dengan perbuatan atau makanan.

    Apabila otak dialihkan perhatian, tenaga itu akan disalurkan kepada aktiviti-aktiviti lain yang sedang dilakukan sama ada mengunyah gula-gula getah atau bersenam.

    Selain itu, anda juga boleh cuba menukar tabiat tersebut kepada perkara lain seperti memegang atau memicit barangan tertentu seperti bebola getah atau permainan fidget.

    Konklusi

    Kuncinya, usah tergopoh-gapah dalam cubaan melawan tabiat buruk ini dan lakukan sedikit demi sedikit okey!

    Tetapkan matlamat kecil untuk diri sendiri secara perlahan. Misalnya, cuba hentikan tabiat menggigit kuku selama beberapa hari, kemudian dipanjangkan selama seminggu.

    Apabila anda makin selesa dengan perubahan ini secara fizikal dan emosi, tambah lagi tempoh masa kepada beberapa bulan hingga tabiat itu berjaya dihentikan secara kekal.

    Namun, jika kaedah ini juga gagal, berbincanglah dengan doktor tentang pilihan terapi yang baik untuk bantu anda menyelesaikan masalah dihadapi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 12/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan