Sebenarnya, ada banyak masalah kulit kepala dan masalah rambut yang kerap dialami. Namun, keguguran dan kebotakan adalah yang paling utama. Kenapa? Jom baca artikel ini untuk tahu!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Masalah rambut yang kerap dialami
Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Bahagian Dermatologi, Jabatan Perubatan di Universiti Malaya (UM), Dr Kwan Zhenli, masalah rambut yang kerap dialami adalah alopecia androgenetik dan alopecia areata.
Alopecia androgenetik turut dikenali sebagai kehilangan rambut yang boleh dialami oleh individu lelaki ataupun wanita.
Manakala alopecia areata, sebaliknya, adalah satu keadaan yang melibatkan masalah autoimun dengan isu kebotakan rambut.
Masalah yang melibatkan kulit kepala dan rambut lain yang sering dihadapi adalah seperti psoriasis kulit kepala, seborrhoeic dermatitis dan jangkitan kulat yang dikenali sebagai tinea capitis.
Masalah berkaitan rambut selalu berkaitan isu keguguran rambut.
Keadaan rambut yang gugur boleh meninggalkan parut (dikaitkan dengan kerosakan pada folikel rambut) atau tidak menyebabkan parut.
Individu yang mengalami masalah ini mungkin akan mengadu mengenai perubahan pada kulit kepala yang menjadi kemerahan, bersisik atau kering.
Dalam sesetengah situasi, ia mungkin menyebabkan rasa gatal dan kesakitan.
Bolehkah masalah rambut ini diwarisi?
Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan UM, Dr. Kwan memberitahu bahawa masalah alopecia androgenetik adalah berkaitan dengan kepekaan terhadap hormon testosteron dan sering kali melibatkan genetik.
Bagi wanita yang mengalami masalah ini, ia adalah berkait rapat dengan tahap hormon lelaki (androgen) yang tinggi sama seperti keadaan yang melibatkan sindrom ovarium polikistik.
Individu wanita dengan keadaan ini mungkin akan berdepan isu jerawat, peningkatan pertumbuhan rambut pada wajah, haid tidak teratur serta masalah kesuburan.
Manakala masalah alopecia areata melibatkan keadaan autoimun dan ia cenderung untuk diwarisi.
Lebih kurang 20 peratus individu yang mengalami keadaan alopecia areata mempunyai sejarah keluarga dengan masalah rambut yang sama.
Masalah rambut yang kerap dialami ini turut dikaitkan dengan keadaan autoimun seperti gangguan tiroid, lupus dan vitiligo.
Berikut pilihan rawatan yang ada!
Bagi merawat alopecia androgenetik, cecair atau sabun Minoxidil merupakan antara kaedah rawatan yang biasa digunakan.
Individu lelaki dengan masalah ini boleh mengambil ubat finasteride, manakala individu wanita pula boleh mempertimbangkan pengambilan pil yang berfungsi untuk menyekat tindakan dihydrotestosterone seperti spironolactone atau cyproterone acetate.
Perkara paling penting yang harus dilakukan adalah untuk melindungi rambut dan kulit kepala daripada terdedah kepada cahaya matahari dengan memakai krim pelindung matahari, topi atau rambut palsu.
Terdapat juga pilihan prosedur pembedahan seperti pengurangan kulit kepala atau teknik pemindahan rambut seperti pemindahan unit folikel (FUT) atau pengekstrakan unit folikel (FUE).
Kaedah lain termasuk rawatan cahaya laser tahap rendah atau plasma kaya platelet (PRP).
Walau bagaimanapun, lebih banyak bukti diperlukan untuk menyokong penggunaan modaliti rawatan ini.
Untuk masalah alopecia areata, penggunaan krim atau aplikasi steroid pada kulit kepala boleh digunakan sebagai kaedah rawatan. Suntikan steroid juga antara rawatan yang berkesan.
Bagi keadaan yang serius, pengambilan ubatan oral seperti steroid, methotrexate, sulfasalazine, ciclosporin dan azathioprine, boleh dijadikan antara pilihan rawatan masalah rambut yang kerap dialami itu.
Minoxidil juga boleh digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan rambut.
Kaedah rawatan lain yang boleh digunakan untuk alopecia areata termasuk “contact sensitisation” (menggunakan squaric acid dibutyl ester (SADBE) atau diphenylcyclopropenone (DPCP), suntikan plasma tinggi kandungan platelet dan fotokimoterapi.
Perubahan gaya hidup untuk rambut lebih sihat
Untuk mencegah atau mengurangkan kecenderungan mengalami masalah rambut yang kerap dialami ini, cara terbaik adalah mengekalkan gaya hidup sihat.
Ia boleh dilakukan dengan mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga berat badan ideal, mengurangkan tekanan, menghindari tabiat yang tidak elok seperti merokok serta elakkan pendedahan kepada radiasi ultraviolet.
Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan tabiat menyikat rambut dengan kuat ketika rambut masih basah dan rapuh. Anda boleh merapikan rambut dengan menggunakan jari atau berus sikat rambut.
Untuk menjaga kesihatan rambut, anda juga boleh mengurangkan penggunaan hot combs, perms atau mengerintingkan rambut, penggunaan bahan kimia kepada rambut serta pengering rambut.