Individu yang sering mengambil minuman probiotik pasti tahu akan kebaikannya terhadap sistem pencernaan. Tetapi, tahukah anda akan kebaikan probiotik untuk kulit?
Sebenarnya, semua bakteria yang terkandung di dalam ‘botol mini’ ini sangat bermanfaat untuk kesihatan kulit, terutamanya untuk penghidap jerawat, ekzema atau rosacea.
Tambah lagi, probiotik juga digunakan secara meluas dalam dunia penjagaan kulit ketika ini.
Banyak jenama-jenama besar telah menggabungkan penggunaan probiotik sebagai bahan utama dalam produk skin care mereka.
Menurut Dr. Debra Jaliman, Ahli Dermatologi di New York serta pengarang buku Skin Rules: Trade Secrets from a Top New York Dermatologist, bakteria memainkan peranan penting terhadap kesihatan kulit seseorang.
Malah, kehadiran bakteria baik ini juga dapat menghalang sebarang jangkitan bakteria yang dapat merosakkan kulit wajah.
Menurut beliau lagi, setiap bahagian kulit kita mempunyai mikrobiomnya yang tersendiri. Setiap mikrobiom ini pula terdiri daripada virus, kulat dan bakteria baik yang berbeza.
Walaupun bakteria sering dikaitkan dengan penyakit, namun kulit kita juga sebenarnya dihuni oleh pelbagai bakteria baik yang mengelakkan inflamasi serta melindungi badan daripada jangkitan.
Sebelum kita kupas lebih lanjut mengenai kebaikan probiotik untuk kulit, mari ketahui maksud sebenar probiotik serta fungsinya terhadap kesihatan kita
Apakah maksud probiotik?
Probiotik merupakan kombinasi bakteria atau yis hidup yang tinggal secara semula jadi dalam badan kita.
Walaupun bakteria sering dianggap sebagai sesuatu yang menyebabkan penyakit, namun ada juga bakteria baik yang memastikan badan kita kekal sihat dan berfungsi dengan sempurna.
Bakteria baik ini dapat membantu kita melalui pelbagai cara, antaranya adalah dengan melawan bakteria jahat dan memastikan kita rasa lebih sihat dalam jangka masa panjang.
Ada jutaan bakteria yang menghuni tubuh manusia.
Mikrob ini terdiri daripada bakteria, kulat, virus dan protozoa. Malah, setiap manusia mempunyai kombinasi mikrob yang berbeza. Tidak ada dua manusia dengan mikrobiom yang sama.
Probiotik boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan. Malah, ia juga boleh dibeli dalam bentuk pil atau tablet.
Selain dapat mengelakkan inflamasi pada kawasan perut, probiotik juga membantu badan menyerap nutrisi tertentu dan memastikan sistem imun dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
Malah, kebaikan probiotik untuk kulit juga tidak boleh disangkal lagi. Kajian menunjukkan, probiotik dapat menyihatkan kulit, menghilangkan kedutan dan memastikannya sentiasa lembap dan kekal hidrat.
5 kebaikan probiotik untuk kulit
Selain manfaatnya terhadap kesihatan tubuh badan kita, probiotik juga amat bermanfaat untuk kesihatan kulit. Antara kebaikan probiotik yang diakui sains ialah:
1. Dapat membantu melegakan pelbagai jenis penyakit kulit
Jika anda menghidap penyakit kulit seperti jerawat, ruam, ekzema, rosacea atau psoriasis, mungkin bakteria di dalam perut anda telah berubah atau menjadi ‘tidak sihat’.
Pengambilan probiotik dapat mengelakkan masalah ini dengan cara mengembalikan semula keseimbangan bakteria di dalam perut anda.
Oleh sebab itu, pengambilan probiotik secara oral dan juga topikal mungkin dapat membantu anda mendapatkan kulit yang lebih sihat dan cantik.
2. Dapat mengurangkan kesan penuaan
Penggunaan probiotik secara topikal dipercayai dapat mengurangkan tanda-tanda penuaan pada kulit.
Malah, ia juga membantu kulit menghasilkan kolagen yang dapat menguatkan struktur kulit serta melembutkan wajah. Inilah yang membuatkan kulit muka kita nampak lebih awet muda!
Sebab itulah, semakin banyak jenama yang menggunakan probiotik sebagai bahan di dalam produk mereka. Selain dapat mengurangkan inflamasi, probiotik juga membuatkan kulit lebih rintang terhadap kesan negatif cahaya matahari.
3. Dapat mengekalkan kelembapan kulit
Salah satu kebaikan probiotik untuk kulit adalah kemampuannya untuk mengunci kelembapan pada kulit wajah.
Kajian menunjukkan, probiotik mempunyai manfaat terhadap skin barrier – satu lapisan yang melindungi kulit daripada segala bahan yang terampai di persekitaran kita.
Kulit yang kering, gatal-gatal dan mengalami keradangan merupakan tanda gangguan pada skin barrier.
Untuk memastikan lapisan kulit ini sentiasa sihat, pengambilan probiotiklah rahsianya! Ia akan memastikan kulit sentiasa sihat dan kekal hidrat walaupun dalam satu tempoh masa yang panjang.
4. Probiotik mengelakkan breakout
Kulit sering tumbuh jerawat? Tidak tahu bagaimana hendak mengatasinya? Mungkin pengambilan probiotik dapat membantu!
Banyak kajian yang menunjukkan pengambilan makanan tertentu dapat meningkatkan penghasilan minyak pada kulit. Akibatnya, kulit akan menjadi tersumbat dan jerawat akan mula tumbuh.
Probiotik dapat mengelakkan keradangan dan mengurangkan breakout pada kulit. Malah, ramai yang mengalami perubahan ketara selepas menambah probiotik dalam diet setiap hari.
5. Dapat memperbaiki kulit serta mengurangkan sensitiviti
Penyakit kulit datang dengan pelbagai simptom yang perit seperti gatal-gatal, rasa pedih dan sensitif terhadap sentuhan.
Apa yang lebih teruk, apabila jerawat mulai sembuh, kulit pasti akan dihinggapi dengan parut yang sukar untuk dihilangkan.
Tahukah anda, dengan pengambilan probiotik, masalah ini dapat dielakkan? Malah, parut yang terhasil akibat jerawat juga mudah hilang dan pudar jika anda rajin mengambil makanan yang mengandungi probiotik.
Jelaslah, terdapat banyak kebaikan probiotik untuk kulit namun ia masih berada dalam peringkat penyelidikan dan kajian lanjutan masih lagi diperlukan.
Mulai hari ini, anda boleh cuba ambil makanan yang mengandungi probiotik dengan kerap. Pasti anda akan dapat rasai perbezaannya!