backup og meta

Umur Panjang Jika Selalu Senyum? Malah Ia Boleh Menghindari Anda Dari Sakit Kronik

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/10/2020

    Umur Panjang Jika Selalu Senyum? Malah Ia Boleh Menghindari Anda Dari Sakit Kronik

    Senyuman yang melebar mampu memberikan keupayaan kepada individu untuk melihat kehidupan mereka daripada sudut positif. Ini meningkatkan kebarangkalian buat mereka untuk menghindari penyakit-penyakit kronik sekali gus menikmati kualiti hidup yang lebih baik berbanding dengan mereka yang sukar untuk tersenyum. Namun, apakah kata sains berkenaan dengan fenomena ini? Ikuti artikel ini untuk mengetahui hubungan di antara senyum dan kelanjutan usia.

    Senyuman Duchenne

    Anda sering terdengar suara-suara positif yang menyuruh anda untuk tersenyum tatkala kesedihan menempuhi cabaran dan dugaan hidup. Katanya senyum mampu meningkatkan hormon endorfin dan dopamine yang sering dikaitkan dengan perasaan gembira dan memberikan galakan psikologi untuk melakukan sesuatu. Kajian-kajian yang telah dijalankan pada masa lalu telah membuktikan bahawa mereka yang mudah tersenyum mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ini mendorong kepada kelanjutan usia. Siapa tak mahu hidup lama, kan? Nabi Muhammad pun sentiasa tersenyum walaupun disakiti.

    Pada tahun 2010, Abel dan Kruger telah menjalankan kajian melibatkan penganalisaan senyuman 230 gambar pemain besbol Liga Major melalui rekod pemain 1952. Pemboleh ubah lain seperti jisim berat badan, tempoh karier besbol, status perkahwinan dan taraf pendidikan turut diambil kira. Mereka membahagikan pemain-pemain besbol tersebut kepada 3 kumpulan; mereka yang tidak tersenyum, mereka yang senyum separa dan mereka yang mempunyai senyuman Duchenne

    Senyuman Duchenne melibatkan penggunaan otot zigomatik major (merangkumi tulang pipi ke sudut mulut) dan otot obicularis oculi yang mengangkat pipi menyebabkan mata kelihatan sepet. Paten senyuman ini sering dikaitkan dengan emosi positif dan ia dianggap sebagai senyuman yang tidak dibuat-buat. Senyuman separa (Pan Am smile) pula hanya menggunakan otot zigomatik major, seringkali digelar sebagai senyuman botoks. Namanya diambil bersempena dengan syarikat penerbangan Pan American World Airways, di mana setiap pramugari dan pramugara memperagakan paten senyuman yang sama. Ia merupakan senyuman yang sering digunakan apabila sesi bergambar buat mereka yang sukar untuk tersenyum.

    Dapatan kajian Abel dan Kruger tersebut menunjukkan bahawa mereka yang tidak tersenyum hidup sehingga berumur 72.9 tahun secara purata manakala mereka yang senyum separa hidup sehingga berusia 75 tahun. Mereka yang mempunyai senyuman Duchenne hidup sehingga purata usia 79.9 tahun. 

    Stres kronik 

    Menurut Profesor Psikologi dan Tingkah Laku Sosial Universiti California, Sarah Pressman, kegembiraan hidup dapat memberikan kebaikan fisiologi yang tidak dapat diekstrak daripada amalan gaya hidup sihat yang lain seperti bersenam. Senyuman dapat melegakan tekanan emosi dan ini telah dibuktikan melalui kajian yang melibatkan penggunaan video berbabak sedih daripada filem Steel Magnolias. Filem ini ditonton oleh 72 subjek. Aktiviti jantung mereka dipantau dan mereka dirakam untuk melihat sama ada mereka tersenyum sewaktu babak sedih tersebut. Dapatan kajian tersebut menunjukkan 50 subjek tersebut tersenyum sekurang-kurangnya sekali sepanjang babak filem tersebut.

    Hasilnya? Mereka yang tersenyum mempunyai degupan nadi yang normal dua kali lebih cepat daripada mereka yang tidak tersenyum. Ini menunjukkan senyuman bukan sahaja boleh menyebabkan kestabilan emosi, malah ia boleh mendorong kepada pemulihan kardiovaskular. Kajian pada tahun 2011 juga menunjukkan bahawa mereka yang kurang tersenyum mempunyai risiko kematian dua kali ganda lebih tinggi untuk tempoh 5 tahun yang akan datang berbanding dengan mereka yang sering tersenyum.

    Konklusi

    Harus diingat bahawa tiada hubungan langsung antara panjang usia dengan senyum.

    Namun, kita tidak boleh menafikan manfaat senyum kepada setiap individu. Jika tidak, takkan boleh muncul pepatah lama, senyum itu sedekah!

    Senyum bukan sahaja boleh membuatkan anda gembira, malah ia boleh membantu mengekalkan taraf kesihatan pada tahap optimum.

    Jadi, senyumlah!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan