backup og meta

Sudah Berkahwin Tak Bermakna Anda Boleh Terus Terjah Pasangan! Kena Minta Izin Sebelum Seks

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 24/03/2021

    Sudah Berkahwin Tak Bermakna Anda Boleh Terus Terjah Pasangan! Kena Minta Izin Sebelum Seks

    Istilah sexual consent selalu kita kaitkan dengan hubungan antara pasangan. Namun sedarkah anda, seks bagi pasangan yang sudah berkahwin juga memerlukan persetujuan 2 pihak?

    Ya, benar. Hal ini bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya keganasan seksual, seperti perbuatan atau permintaan seksual yang tidak dipersetujui oleh pasangan.

    Perkara ini mungkin kedengaran agak ganjil buat segelintir pembaca, kerana masyarakat kita lebih sinonim dengan ‘hak mutlak’ suami/isteri berkenaan seks dalam perkahwinan.

    Tambah membimbangkan lagi, apabila hak sebagai pasangan tidak dihormati, isu keganasan seksual boleh membawa kepada penceraian dan kehancuran rumah tangga!

    Sempena Hari Hak Asasi Manusia, 10 Disember ini, kami bawakan artikel mengenai hak dalam mendapatkan persetujuan pasangan sebelum bersetubuh.

    Persetujuan pasangan untuk melakukan seks dalam perkahwinan

    Persetujuan seksual membawa maksud kedua-dua pihak bersetuju terhadap aktiviti seksual yang bakal berlangsung.

    Persetujuan yang diperlukan merangkumi semua jenis aktiviti seksual seperti mencium, memeluk, menyentuh, seks faraj, bahkan seks anal.

    Malah, sebelum berhubungan seks, anda dan pasangan berhak menolak atau menangguh melakukan perhubungan tersebut.

    Bersikap jujur juga amat penting, terutamanya ketika memaklumkan pasangan tentang perkara yang anda selesa dan tidak diingini semasa bersenggama.

    Keizinan semasa seks memainkan peranan besar dalam kebahagiaan rumah tangga kerana ia memberikan kalian ketenangan dan memastikan hubungan itu dilakukan atas dasar suka sama suka.

    Persetujuan seksual diperlukan tanpa mengira jenis hubungan sama ada yang sudah berkahwin ataupun belum.

    Justeru, semua pasangan yang ingin melakukan seks bertanggungjawab untuk meminta dan memberi persetujuan.

    Bagi seseorang yang berada di bawah pengaruh alkohol, ubatan, pengsan, tidur atau yang tidak sedarkan diri, seks tanpa persetujuan yang jelas adalah salah!

    Bagaimana jika pasangan dipaksa untuk melakukan seks?

    tolak pasangan melakukan seks

    Sekiranya anda sebagai isteri mahupun suami merasakan diri dianiaya secara seksual, anda boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.

    Kesalahan yang boleh disabitkan di bawah akta ini adalah apabila seseorang:

    • Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa
    • Sengaja atau dengan sedar meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal
    • Memaksa atau mengancam mangsa melakukan apa-apa perbuatan seksual
    • Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya
    • Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta

    Di bawah akta itu, jika disabitkan kesalahan, pelakunya boleh dijatuhkan hukuman.

    Bagaimanapun, ia bergantung kepada aduan yang bakal dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak polis.

    Selain Akta Keganasan Rumah Tangga, adakah Malaysia memperakui kesalahan marital rape?

    Walaupun istilah marital rape atau perkosaan perkahwinan tidak dijumpai dalam undang-undang Malaysia, namun Seksyen 375A Kanun Keseksaan memberikan hukuman bagi suami yang melakukan seks melalui intimidasi dan menyakiti isterinya.

    Bahagian tersebut menyatakan bahawa:

    “Mana-mana lelaki yang selama berlakunya perkahwinan yang sah menyebabkan kecederaan, ketakutan atau kecederaan kepada isterinya untuk melakukan hubungan seksual, akan dihukum penjara selama tempoh yang boleh berlangsung hingga 5 tahun. ‘

    Kepentingan izin pasangan sebelum melakukan seks

    seks

    Meminta persetujuan atau izin daripada pasangan sebelum melakukan seks menunjukkan penghargaan anda terhadap mereka, dan bukan sekadar tempat untuk ‘melampiaskan nafsu!’

    Secara umumnya, sexual consent adalah penting untuk melindungi wanita mahupun lelaki daripada jangkitan seksual yang bahaya dan penindasan hak terhadap pasangan masing-masing.

    Antara beberapa cara untuk anda peroleh persetujuan pasangan adalah dengan bertanya secara langsung atau mengajak mereka untuk melakukan seks secara lembut.

    Bukan itu sahaja, sebaiknya sebelum anda bertanya, pertimbangkan dahulu keadaan mereka pada masa itu sama ada mereka kelihatan penat, tiada mood atau sebagainya.

    Bagaimana cara untuk kenal pasti jika pasangan anda memberikan izin atau sebaliknya?

    Kunci untuk mengetahui sama ada pasangan bersetuju atau tidak adalah dengan jawapan ‘ya’ atau pernyataan serupa yang menyatakan bahawa mereka bersetuju dan ingin melakukan hubungan tersebut.

    Manakala, sekiranya pasangan anda mengatakan ‘tidak’ secara terangan atau hanya berdiam diri, ini bukan tanda mereka setuju!

    Bagaimana dengan bahasa badan? Bahasa badan juga adalah bahagian penting dalam komunikasi.

    Contohnya, jika pasangan anda mengatakan ‘ya’, tetapi kelihatan tidak selesa, ini adalah masa untuk berhenti dan bertanya semula agar mereka tidak rasa ‘terpaksa’ melakukannya.

    Konklusinya…

    Untuk mengekalkan rumah tangga yang bahagia, amalkan sikap jujur terutamanya kepada pasangan apabila di atas katil.

    Apabila anda jujur kepada mereka, anda juga berlaku jujur terhadap diri sendiri.

    Jika anda berasa tidak selesa atau sedang tiada mood untuk bersama, maka tolaklah ajakan mereka secara lembut berserta penjelasan yang munasabah.

    Tambahan itu, sentiasa beringat untuk menghormati diri dan tubuh pasangan anda, jangan sampai nafsu sendiri menjadi punca rumah tangga anda terjejas!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 24/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan