Prosedur buang IUD selepas sudah memakainya. Tapi kenapa perlu buang? Ikuti penjelasan daripada artikel ini untuk maklumat selanjutnya.
Buat anda yang masih belum bersedia untuk mengandung, terdapat pelbagai kaedah kontraseptif yang boleh diamalkan bersama pasangan.
Antara yang paling mudah dan murah adalah dengan menggunakan kondom, pil perancang atau teknik pancut luar yang tidak selalunya berjaya.
Ini kerana kaedah perancangan keluarga ini bersifat spontan dan kadangkala kita mungkin akan terlupa untuk mengamalkannya.
Disebabkan itu, ramai pasangan kini sudah mula beralih kepada Intrauterine Device (IUD).
Apa itu IUD?
Intrauterine Device (IUD) adalah alat pencegah kehamilan yang dipasang di dalam rahim wanita bertujuan menghalang kehamilan luar jangkaan daripada berlaku.
Buat anda yang mungkin belum tahu tentang kewujudan alat ini, ia mempunyai bentuk seakan huruf ‘T’ dan diperbuat daripada bahan-bahan berunsur plastik.
Secara umumnya, terdapat 2 jenis IUD yang utama iaitu:
- Copper – Alat yang disaluti tembaga ini akan menyebabkan rahim dan tiub fallopio secara tidak langsung menghasilkan cecair yang boleh merosak atau membunuh sperma
- Mirena – Alat yang mengandungi hormon progesteron ini akan membuat mukus dan serviks menebal dan melekit agar sperma tidak dapat tembus ke rahim lalu merosak dan membunuh sperma
Sebelum memutuskan untuk menggunakannya, anda perlu tahu bahawa alat ini sangat berisiko tinggi kerana ia akan dipasang di dalam rahim wanita.
Sebaiknya, anda berbincang terlebih dahulu dengan doktor pakar untuk mendapatkan nasihat tentang kaedah kontraseptif yang terbaik buat kalian berdua.
Bagaimana pasang IUD?
Jika anda dan pasangan sudah nekad untuk pasang IUD selepas mendapat saranan doktor, berikut adalah prosedur standard yang perlu dilakukan:
- Setelah melakukan pemeriksaan pelvis, doktor akan meletakkan antiseptik pada faraj. Dengan menggunakan aplikator khas, IUD akan dimasukkan melalui serviks
- Setelah IUD sampai di bahagian atas rahim, doktor akan mengembangkannya menjadi bentuk ‘T’. Pada masa itu, anda mungkin mengalami sedikit kekejangan
- Doktor akan memotong talinya mengikut kepanjangan yang bersesuaian dan tali itu akan tergantung ke bawah melalui serviks ke faraj
Prosedurnya adalah cukup mudah dan hanya akan memakan masa beberapa minit namun wanita mungkin mengalami sedikit pendarahan atau kesakitan selepas beberapa minggu ia dimasukkan.
Dalam pada itu, ketahuilah bahawa ia mungkin tidak boleh kekal selama-lamanya di dalam rahim anda ya!
Ada beberapa sebab kena buang IUD!
Untuk pengetahuan anda, alat pencegah kehamilan ini mampu bertahan di dalam tubuh badan wanita selama sekitar 3 ke 10 tahun bergantung kepada jenisnya.
Sepanjang tempoh ia berada di dalam rahim, maka risiko kehamilan luar jangkaan berlaku mampu diturunkan ke tahap yang sangat rendah dan hampir mustahil.
Namun ada beberapa perkara yang menyebabkan anda perlu buang IUD, termasuklah:
- Ia telah mencapai tarikh luput penggunaan
- Ia telah mengalami kerosakan yang teruk
- Ia telah terkeluar daripada rahim secara tidak sengaja
- Anda mengalami kesan sampingan seperti pendarahan, kesakitan atau sakit kepala kronik
- Anda menghidapi jangkitan penyakit kelamin (STD)
- Anda memutuskan untuk mengandung secara normal
- Anda telah hamil walaupun IUD berada dalam rahim
Sekiranya salah satu perkara ini terjadi kepada anda, maka segera beritahu pasangan dan berjumpa doktor untuk membincangkan cara buang IUD ini.
Sebenarnya, tiada apa yang wanita perlu risau kerana buang IUD atau alat pencegah kehamilan ini daripada rahim adalah kurang sakit berbanding ketika memasangnya.
Cuma anda dan pasangan mungkin perlu mengelak daripada melakukan hubungan seks selama seminggu selepas prosedur dijalankan.
Ini bertujuan untuk mengelakkan anda daripada mengandung tanpa sengaja dan mendapat komplikasi lain selepas prosedur membuang IUD dijalankan.
Jadi, adakah kaedah perancangan keluarga ini selamat?
Walaupun terdapat beberapa risiko yang dibawa melalui penggunaan alat pencegahan kehamilan ini, ketahuilah bahawa ia masih selamat digunakan!
Pun begitu, ia bukanlah merupakan pilihan terbaik buat semua wanita terutamanya jika kalian mempunyai keadaan kesihatan seperti berikut:
- Lahir dengan rahim tidak normal
- Pernah menghidap penyakit radang pelvis (PID)
- Berisiko tinggi menghidap penyakit jangkitan kelamin (STD)
- Sedang menjalani rawatan untuk kanser serviks, kanser ovari atau endometrium
- Ada alahan terhadap plastik dan tembaga
Oleh itu, sila buat keputusan dengan bijak dan berkonsultasi dengan doktor terlebih dahulu sebelum mula melakukan prosedur pasang IUD atau buang IUD ya?
[embed-health-tool-ovulation]