backup og meta

Peliknya, Ada Orang Alergik Pada Wi-fi? Betul Ke Atau Cuma Dibuat-Buat?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/07/2021

    Peliknya, Ada Orang Alergik Pada Wi-fi? Betul Ke Atau Cuma Dibuat-Buat?

    Tahukah anda, ada orang yang akan rasa pening kepala jika terdedah kepada wi-fi atau peralatan elektronik dalam satu jangka masa yang lama?

    Anehnya, perkara ini merupakan sesuatu yang benar-benar berlaku dan penyakit ini diakui kewujudannya oleh WHO!

    Keadaan ini yang turut dikenali sebagai sensitiviti terhadap gelombang elektromagnetik (electromagnetic hypersensitivity atau EHS) merupakan satu gejala yang boleh memberi impak negatif terhadap penghidapnya.

    Menurut WHO, masih belum ada sebarang bukti yang dapat membuktikan kaitan antara EHS dan simptom yang pesakit laporkan.

    Selalunya, mereka yang mengadu sakit akibat EHS akan alami simptom seperti pening kepala dan keletihan.

    Walau bagaimanapun, simptom yang mereka alami adalah benar serta boleh menyebabkan ketidakselesaan dan tekanan perasaan dalam kalangan penghidapnya. 

    Pesakit alami ketidakselesaan, sering pening kepala

    peralatan elektronik

    Nichols Fox merupakan salah seorang pesakit yang menghidap penyakit EHS. Menurutnya, dia sudah bertahun-tahun mengalami sensitiviti terhadap gelombang wi-fi.

    Menurut Fox lagi, dia kerap rasa letih dan pening kepala jika terdedah dengan gelombang elektromagnetik dalam satu tempoh masa yang lama.

    Malah, di Amerika Syarikat, ramai penghidap EHS seperti Fox akan berpindah ke bahagian ‘radio quiet zone’ di Virginia Barat.

    Di sana, signal wi-fi tidak dibenarkan sama sekali kerana ia boleh mengganggu penggunaan teleskop radio.

    Disebabkan kawasan ini bebas daripada sebarang gelombang elektromagnetik, pesakit yang mempunyai EHS boleh hidup dengan selesa tanpa sebarang gangguan. 

    Walau bagaimanapun, Bob Park, seorang Profesor daripada University of Maryland mempunyai pendapat sendiri mengenai penyakit EHS. 

    Menurutnya, gelombang wi-fi terlalu lemah untuk menyebabkan apa-apa perubahan terhadap tubuh badan manusia. 

    Jadi, apakah cerita sebenar di sebalik ‘alahan’ terhadap wi-fi ini? Adakah ia benar, ataupun hanyalah sesuatu yang diada-adakan?

    Apa itu EHS?

    peralatan elektronik

    EHS adalah keadaan yang menyebabkan seseorang itu mengalami simptom yang tidak spesifik seperti keletihan, kesukaran untuk fokus, pening kepala, loya, dan degupan jantung yang laju setelah terdedah dengan gelombang elektromagnetik (electromagnetic field – EMF).

    Mereka selalunya akan mengalami EHS jika berada dekat dengan peralatan elektronik yang memancarkan signal elektromagnetik seperti komputer riba dan telefon bimbit.

    Malah, ada juga yang akan diserang migrain jika berada berhampiran dengan stesen pemancar radio ataupun alatan yang memberikan signal wi-fi!

    Selain itu, menurut WHO, simptom yang terjadi akibat EHS berbeza mengikut tempat dan keadaan geografi. 

    Penduduk di negara Sweden, German dan Denmark melaporkan gejala EHS yang lebih tinggi daripada populasi lain di seluruh dunia.

    Walaupun simptom EHS berbeza mengikut individu, namun simptom ini juga boleh berlaku akibat faktor lain seperti kurang tidur atau minum air.

    Oleh sebab itu, adakah EHS merupakan penyakit yang benar-benar berlaku, ataupun hanya propaganda belaka?

    Benarkah pesakit pening kepala dan alami simptom akibat EHS?

    Menurut WHO, beberapa kajian dijalankan untuk menguji kesan gelombang elektromagnetik terhadap kesihatan manusia.

    Banyak kajian telah dijalankan di dalam makmal di bawah kondisi yang ketat dan terkawal supaya keputusannya tidak berat sebelah. 

    Majoritinya menyimpulkan bahawa individu yang mengalami EHS tidak mempunyai sebarang sensitiviti terhadap gelombang elektromagnetik yang lebih daripada orang lain.

    Malah, kebanyakan simptom yang mereka rasai juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan gelombang wi-fi ataupun penggunaan aplikasi seperti telefon bimbit dan komputer riba.

    Oleh sebab itu, pakar berpendapat, simptom yang mereka alami mungkin bukan berpunca daripada EMF.

    Sebagai contoh, pesakit mungkin rasa pening dan loya ketika terdedah dengan kerlipan daripada lampu pendarfluor yang terdapat pada sesetengah peralatan elektronik.

    Penggunaan skrin serta visual yang tidak sesuai juga boleh membuatkan seseorang rasa sakit kepala. Tidak dilupakan, ramai pekerja yang tidak dapat duduk dengan betul sewaktu bekerja dan terdedah dengan faktor ergonomik.

    Secara tidak langsung, ini turut menyumbang kepada tahap kesihatan yang merosot dalam kalangan mereka yang menderita dengan penyakit EHS.

    Kualiti udara dalam bangunan yang teruk dan stres di tempat kerja juga boleh menyebabkan simptom yang sama.

    Ada juga bukti yang menunjukkan simptom ini boleh terjadi sebagai salah satu kesan sampingan akibat terlalu risau terdedah kepada gelombang EMF.

    Perkara ini, yang turut dikenali sebagai ‘efek nosebo’ adalah bertentangan dengan ‘efek plasebo’.

    Efek nosebo akan membuatkan seseorang itu benar-benar mengalami manifestasi simptom seperti sakit kepala dan sebagainya setelah kerap berfikir mengenai simptom tersebut.

    Padahal, simptom itu berlaku akibat stres dan rasa risau yang amat sangat serta bukannya disebabkan oleh gelombang itu sendiri!

    Kesimpulan

    peralatan elektronik

    Walaupun penyakit EHS nampak seperti tidak benar, anda perlu tahu bahawa simptom yang pesakit alami akibat EHS adalah benar dan bukannya sesuatu yang dibuat-buat. 

    Oleh itu, pesakit yang mempunyai simptom ini perlu dirawat oleh pakar supaya mereka dapat hidup dengan lebih sihat dan selesa. 

    Walau bagaimanapun, EHS bukanlah satu diagnosis perubatan. Hingga hari ini, masih belum ada sebarang bukti yang dapat menjelaskan tentang efek gelombang EMF terhadap kesihatan manusia.

    Selain itu, pesakit akan dirawat dengan cara mengubati simptom yang dialami.

    Doktor juga mungkin akan melakukan pemeriksaan di tempat kerja ataupun rumah untuk mengenal pasti sama ada anda terdedah dengan sebarang faktor yang boleh membuatkan anda mengalami simptom yang disebutkan.

    Ini termasuklah kualiti udara yang buruk, pencahayaan yang teruk dan faktor ergonomik. Pesakit boleh hidup dengan lebih selesa jika masalah-masalah ini ditangani dalam kadar yang segera. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan