backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

MENGEJUTKAN! Ada Diet Khas Yang Boleh Mencegah Sawan, Tapi Berkesankah?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 04/11/2022

    MENGEJUTKAN! Ada Diet Khas Yang Boleh Mencegah Sawan, Tapi Berkesankah?

    Diet seimbang daripada pelbagai kumpulan makanan membantu tubuh dan otak berfungsi, selain dapat mengurangkan risiko sawan bagi sesetengah individu dengan epilepsi.

    Epilepsi adalah gangguan otak apabila sel-sel saraf dalam otak kadangkala mengeluarkan isyarat yang luar biasa.

    Namun terdapat ura-ura yang mengatakan sesetengah makanan boleh menjadi penyebab sawan, benar atau tidak?

    Untuk menjawab persoalan tersebut, jom ikuti artikel ini ya!

    Kenali epilepsi (sawan)

    Ia boleh merangkumi corak aktiviti neuron terganggu dan menjejaskan perasaan, tingkah laku dan emosi atau kadangkala menyebabkan kekejangan otot bahkan pengsan.

    Pun begitu, seseorang yang mengalami sawan tidak bermakna ia mempunyai epilepsi.

    Epilepsi akan dikenal pasti apabila seseorang kerap mengalami sawan (dua atau lebih).

    Untuk pengetahuan kalian, epilepsi tidak berjangkit dan tidak disebabkan oleh penyakit atau kemerosotan mental.

    Penyakit ini juga boleh dikawal, namun sesetengahnya mampu sembuh dengan sendiri.

    Punca-punca

    Epilepsi berpunca daripada pelbagai faktor. Sebarang gangguan pada aktiviti normal neuron sama ada penyakit mahupun kecederaan otak boleh sebabkan sawan.

    Namun, sebahagian besar sawan masih tidak diketahui puncanya.

    Punca epilepsi:

    • Faktor-faktor genetik
    • Kecederaan pranatal (sebelum kelahiran) dan masalah tumbesaran
    • Cedera di otak
    • Keracunan
    • Tumor otak
    • Pengambilan alkohol berlebihan
    • Penyakit Alzheimer
    • Angin ahmar (strok)
    • Jangkitan otak

    Serangan sawan juga boleh berlaku jika seseorang individu kurang tidur, mengambil alkohol, stres atau mengalami perubahan hormon yang berkaitan dengan haid.

    Makanan boleh menjadi penyebab sawan?

    makanan tidak berkhasiat

    Untuk pengetahuan, pada masa ini masih tiada bukti menunjukkan apa-apa jenis makanan berisiko menjadi penyebab sawan pada individu dengan epilepsi.

    Bagi epilepsi refleks, sawan seseorang berlaku sebagai tindak balas kepada pencetus tertentu seperti:

    • Fotosensitiviti
    • Reading epilepsy (sawan yang tercetus disebabkan aktiviti membaca)
    • Epilepsi mengejutkan (sawan yang disebabkan oleh kejutan secara tiba-tiba atau bunyi kuat)

    Walaupun terdapat beberapa pencetus biasa untuk sawan, seperti kekurangan tidur, tekanan dan pengambilan alkohol, namun kejadian epilepsi bagi setiap orang adalah berbeza.

    Sebilangan individu pula berpendapat beberapa bahan pewarna, pengawet, monosodium glutamat (MSG) atau pemanis buatan boleh menjadi penyebab sawan mereka.

    Di samping itu, kebanyakan makanan yang berlabel ‘rendah lemak’ mengandungi bahan tiruan ini.

    Justeru, sebilangan penderita epilepsi menghindari makanan tertentu sekiranya ia seperti mampu untuk mencetuskan sawan.

    Bagi kafein yang terdapat dalam kopi, teh, air berkarbonat dan beberapa minuman tenaga pula dikatakan mempunyai kesan perangsang pada sistem saraf pusat (CNS).

    Pun begitu, hubungan antara kafein, kawalan sawan dan ubat anti epilepsi adalah kompleks dan masih tidak difahami sepenuhnya.

    Walau bagaimanapun, beberapa laporan menunjukkan kafein boleh meningkatkan kemungkinan terjadinya sawan, manakala terdapat juga laporan yang mengatakan sebaliknya.

    Untuk mengelak sebarang kekeliruan, dapatkan khidmat nasihat pakar sekiranya anda mempunyai persoalan serta kebimbangan mengenai kesan kafein terhadap kawalan sawan.

    Diet seimbang bagi penghidap epilepsi

    Diet seimbang biasanya terdiri daripada sumber karbohidrat, lemak, protein, sayur-sayuran, buah-buahan, dan pengambilan cecair yang mencukupi.

    Pengamalan diet yang sihat dipengaruhi oleh tempat tinggal, keperluan kesihatan, dan gaya hidup kita.

    Berikut adalah penerangan mengenai sumber-sumber nutrisi makanan yang menjadikan diet pemakanan yang seimbang, antaranya merangkumi:

    • Karbohidrat membekalkan tenaga dan terkandung dalam makanan seperti kentang, roti, pasta dan nasi. Versi lengkap makanan ini menyediakan vitamin, mineral dan serat tambahan yang membantu membuang sisa dari badan
    • Lemak boleh didapati dalam minyak, kacang dan bijian. Lemak membantu kita menyerap nutrien termasuk beberapa vitamin penting. Ia turut membantu menjaga kesihatan sel dan memberi kita tenaga yang diperlukan
    • Protein membina dan menyokong otot, hormon, enzim, sel darah merah dan sistem imun badan. Protein terdapat dalam makanan tenusu seperti susu, keju, daging, ikan, tauhu, kacang, lentil dan telur

    • Sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pelbagai warna menyediakan vitamin dan mineral. Ia juga membantu melindungi kita daripada jangkitan, kerosakan pada sel dan penyakit

    Makanan yang dimasak biasanya lebih sihat apabila dikukus, dibakar, dipanggang, atau direbus berbanding digoreng.

    Manakala, minum air kosong dapat membantu kita berfungsi dan fokus, mengurangkan risiko sawan yang disebabkan oleh dehidrasi.

    Bolehkah diet khas membantu mencegah sawan?

    Terdapat diet khas yang dikatakan boleh membantu pesakit masalah sawan yang kurang terkawal dengan menggunakan tahap lemak, karbohidrat dan protein tertentu untuk mempengaruhi bagaimana otak berfungsi.

    Salah satu diet yang disarankan adalah diet ketogenik yang menjadi rawatan perubatan dijalankan di bawah pengawasan pakar diet dan pakar epilepsi.

    Namun, ini adalah diet yang tidak boleh dimulakan tanpa pengawasan pakar.

    Pada masa ini diet ketogenik kebanyakannya digunakan terhadap kanak-kanak epilepsi yang tidak bertindak balas terhadap AED (rawatan yang paling biasa digunakan untuk epilepsi).

    Konklusi

    Apa yang dapat disimpulkan, ura-ura mengatakan sesetengah makanan berpotensi menjadi penyebab sawan masih tidak dapat disokong secara saintifik, walaupun ia mungkin berkesan pada segelintir individu.

    Yang penting, pesakit epilepsi harus cuba untuk mengamalkan gaya hidup sihat di samping diet pemakanan seimbang agar sebarang risiko sawan dapat dikurangkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 04/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan