backup og meta

AWAS! Penggemar Cahaya Matahari Berisiko Dapat Kanser Kulit, Ada Kaitan Juga Dengan Genetik?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 19/10/2022

    AWAS! Penggemar Cahaya Matahari Berisiko Dapat Kanser Kulit, Ada Kaitan Juga Dengan Genetik?

    Pada September 2020, satu kajian yang diterbitkan oleh King’s College London berkaitan dengan tabiat berjemur dan kanser kulit (berpunca daripada radiasi matahari) telah menggemparkan komuniti sains.

    Menurutnya, tabiat suka berjemur yang juga merupakan faktor risiko kepada masalah kanser kulit merupakan manifestasi maklumat genetik yang dimiliki oleh segelintir individu.

    Kajian tersebut telah melibatkan kira-kira 260,000 subjek dan kecenderungan untuk berjemur lebih nyata pada subjek kembar seiras berbanding dengan subjek kembar tidak seiras.

    Persoalannya, adakah benar terdapat maklumat genetik di dalam tubuh manusia yang membuatkan seseorang itu lebih berisiko untuk terdedah kepada faktor risiko kanser kulit?

    Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Fahami konsep bagaimana radiasi matahari menyebabkan masalah kanser kulit

    radiasi matahari

    Secara amnya, mutasi dan kerosakan maklumat genetik (DNA) sehingga tercetusnya proses patologi pembentukan kanser berlaku disebabkan oleh radiasi ultra ungu.

    Terdapat dua jenis cahaya ultra ungu utama yang dipancarkan oleh cahaya matahari:

    1. UVA. Sejenis cahaya yang berupaya untuk menembusi kulit. Radiasi ini boleh mempengaruhi proses penuaan sel kulit.
    2. UVB. Ini merupakan radiasi utama yang menyebabkan selaran matahari (sunburn).

    Kedua-dua radiasi tersebut boleh menyebabkan masalah kanser kulit.

    Jika diikutkan, terdapat satu lagi radiasi ultra ungu yang dikenali sebagai UVC. Ia merupakan radiasi yang paling bahaya jika dibandingkan dengan UVA dan UVB.

    Namun, bumi mempunyai lapisan ozon yang mampu menapis jenis radiasi tersebut.

    Apabila sel kulit terdedah kepada sejumlah radiasi, ia akan menyebabkan kerosakan pada maklumat genetik yang terdapat pada sel kulit.

    Sekiranya kerosakan itu berkumpul dalam satu tempoh masa tertentu, ia boleh menyebabkan proses pembahagian sel berlaku di luar kawalan.

    Keadaan ini mengakibatkan terjadinya kanser kulit.

    Secara umumnya, sesiapa sahaja boleh mendapat masalah ini, namun terdapat faktor yang meningkatkan tahap risiko individu untuk didiagnosis dengan barah kulit.

    Antaranya adalah tabiat berjemur yang menjadi aktiviti rutin pada musim panas terutamanya oleh orang barat.

    Tabiat berjemur, manifestasi genetik yang meningkatkan risiko kanser kulit

    radiasi matahari

    Pada mulanya, kajian yang dijalankan oleh King’s London College melibatkan analisis maklumat kesihatan 2,500 subjek kembar dari kajian kembar United Kingdom (UK).

    Antara faktor yang dikaji adalah kecenderungan mereka untuk berjemur di bawah matahari dan kaitannya dengan genetik.

    Dapatan menunjukkan kembar seiras mempunyai tahap kecederungan yang tinggi untuk berjemur berbanding dengan subjek kembar tidak seiras.

    Perkara ini menunjukkan terdapat faktor genetik yang mempengaruhi tingkah laku tersebut.

    Analisis kemudiannya dibuat dalam kalangan 260,000 subjek kajian kohort yang lain. 

    Berdasarkan kepadanya, mereka menemui 5 gen utama yang menggalakkan tingkah laku tersebut.

    Apa yang lebih menarik lagi adalah, sebahagian daripada gen tersebut turut dikaitkan dengan masalah ketagihan alkohol, kanabis dan kecenderungan untuk melakukan hubungan seks dengan banyak pasangan.

    Ini bermakna, misi untuk memberikan didikan kepada khalayak umum berkenaan dengan bahaya berjemur dalam satu tempoh masa yang lama sangat mencabar.

    Ia umpama tabiat merokok. Perokok tahu akan kesan negatif kesihatan yang bakal dialami sekiranya mereka terus merokok namun mereka tidak boleh berhenti.

    Tidak mustahil sekiranya terdapat dalam kalangan mereka yang suka berjemur lama walhal mereka mengetahui akibat yang akan dialami seperti kanser dan sebagainya.

    Anda mungkin berminat:

    Bagaimana cara hindari radiasi matahari untuk cegah kanser kulit?

    kanser kulit

    Oleh sebab maklumat genetik bagi tingkah laku suka berjemur terletak pada gen yang turut dikaitkan dengan masalah ketagihan, jadi sukar untuk penghidap melawan keinginan untuk berjemur.

    Walau bagaimanapun, golongan ini perlu diberikan didikan yang cukup supaya mereka memahami faktor risiko kanser kulit dan komplikasi yang bakal dialami akibat kanser.

    Persatuan Kanser Kulit (SCF), sebuah organisasi bukan untung menyarankan supaya:

    1. Pastikan anda mencari tempat berteduh daripada cahaya matahari di antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.
    2. Elakkan berjemur terlalu lama sehingga berlakunya selaran matahari.
    3. Jangan guna katil tanning UV.
    4. Pakai pakaian yang menutup kulit dengan kaca mata anti ultra ungu.
    5. Gunakan krim pelindung matahari berspektrum luas (UVA/UVB) dengan SPF 15 atau lebih setiap hari. Jika anda ingin beraktiviti di luar dalam jangka masa yang lama, gunakan krim yang kalis air dengan pelindungan SPF 30 dan ke atas.
    6. 30 minit sebelum keluar rumah, gunakan 1 auns atau 2 sudu krim pelindung matahari di seluruh badan. Jika anda kerap berpeluh atau melakukan aktiviti air seperti berenang, sapu semula selepas habis beraktiviti tersebut. Kalau anda tidak beraktiviti seperti yang dinyatakan, disarankan untuk anda sapu semula setiap dua jam.
    7. Jangan bawa anak baru lahir keluar rumah. Bagi anak yang berusia 6 bulan dan ke atas, gunakan krim pelindung matahari jika ingin keluar rumah.
    8. Lakukan pemeriksaan sendiri atau jumpa dengan pakar kulit untuk pemeriksaan secara berkala.

    Konklusi

    Jika anda suka berjemur di tengah panas, ketahuilah bahawa terdapat komponen genetik yang mempengaruhi tingkah laku tersebut.

    Bagi mengelakkan kanser kulit, anda disarankan untuk mengambil langkah proaktif seperti memakai krim pelindung matahari, luangkan masa di kawasan redup dan gunakan peralatan anti sinar UV seperti kaca mata anti UV.

    Sekiranya anda ingin melakukan pemeriksaan kulit secara berkala, dapatkan khidmat nasihat doktor daripada fasiliti kesihatan terdekat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 19/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan