backup og meta

Hati-hati! Bukan Semua Tahi Lalat Itu Penyeri Wajah, Boleh Jadi Petanda Kanser

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/07/2022

    Hati-hati! Bukan Semua Tahi Lalat Itu Penyeri Wajah, Boleh Jadi Petanda Kanser

    Berseri wajah jika ada tahi lalat di bawah bibir macam penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza tu, kan? Tapi hati-hati, ia mungkin petanda barah kulit.

    Tahi lalat vs barah kulit

    Melanoma adalah sejenis barah kulit yang paling serius. Ia berkembang di dalam sel (melasonit) yang menghasilkan melanin – pigmen yang memberikan warna pada kulit.

    Seperti bintik tahi lalat, kanser kulit ini boleh terbentuk di mana-mana bahagian badan seperti mata. Dalam kes yang jarang, ia boleh tumbuh di dalam badan seperti rongga hidung atau tekak. 

    Punca sebenar melanoma tidak begitu jelas. Tetapi pendedahan kepada sinaran ultraviolet (UV) daripada cahaya matahari atau lampu di tempat tidur boleh meningkatkan risikonya.

    Jadi bagaimana untuk mengetahui bahawa tahi lalat yang muncul itu bukan barah kulit melanoma?

    Mengenal pasti simptom barah kulit melanoma

    Seperti dinyatakan, melanoma boleh berkembang pada mana-mana bahagian badan anda. 

    Tetapi selalunya ia berkembang pada bahagian badan yang terdedah kepada matahari seperti belakang badan, lengan, kaki dan muka.

    Pun begitu, bahagian badan yang mungkin tidak terdedah kepada cahaya matahari seperti telapak tangan dan kaki juga berisiko untuk dijangkiti. 

    Biasanya melanoma yang tersembunyi ini, kerap berlaku kepada individu yang mempunyai warna kulit yang lebih gelap.

    Simptom dan gejala melanoma yang pertama akan dikesan adalah:

    • Perubahan pada tahi lalat yang sedia ada
    • Perkembangan pertumbuhan baru yang berpigmen atau luar biasa pada kulit

    melanoma

    Perbezaan tahi lalat & melanoma

    1 perkara yang anda harus tahu, melanoma tidak selalunya bermula sebagai tahi lalat. Ia juga boleh berkembang pada bahagian kulit yang tampak normal. 

    Tahi lalat normal

    Biasanya tahi lalat atau mole yang normal berwarna seragam seperti tan, coklat atau hitam – dengan sempadan yang berbeza bagi memisahkan kulit sekitarnya. 

    Ia selalunya berbentuk bujur atau bulat dan saiz diameternya lebih kecil daripada ¼ inci, kira-kira 6 mm.

    Sebilangan besar tahi lalat akan muncul pada zaman kanak-kanak sehingga berusia 40 tahun. 

    Seiring peningkatan usia, secara puratanya seorang individu akan mempunyai antara 10 hingga 40 mole.

    Sesetengah daripada bintik kecil itu mungkin berubah dari masa ke masa. Bahkan ada juga yang menghilang apabila bertambahnya usia.

    Bintik kecil petanda melanoma

    Untuk membantu anda mengenal pasti ciri mole yang luar biasa dan mungkin petanda melanoma atau barah kulit lain, ingat ABCDE:

  • A untuk bentuk Asymmetrical (tidak simetri). Cari bintik yang bentuknya tidak teratur
  • B untuk Border (sempadan) yang berbeza. Cari mole yang tampak agak berlekuk dan mungkin berjeriji seperti kerang
  • C untuk Changes (perubahan) pada warnanya. Lihat pertumbuhan baru yang mempunyai banyak warna atau sebaran warna tidak sekata
  • D bagi Diameter. Cuba lihat jika bintik baharu itu lebih besar daripada ¼ inci
  • E adakah Evolving (berkembang). Sentiasa peka terhadap perubahan dari masa ke masa. Ia boleh melibatkan saiz ukuran, perubahan warna atau bentuk. Bintik hitam yang ada juga boleh berkembang dengan gejala lain seperti gatal atau pendarahan
  • Tahi lalat kanser (malignan) adalah berbeza daripada segi penampilannya. Sesetengahnya mungkin menunjukkan semua ciri yang dinyatakan di atas.

    Pun begitu, ada juga mole yang hanya mempunyai 1 atau 2 ciri yang luar biasa.

    tahi lalat

    Melanoma tersembunyi

    Keadaan barah kulit jenis ini juga boleh berkembang pada bahagian badan yang tidak terdedah kepada cahaya matahari seperti kulit kepala mahupun bahagian alat kelamin.

    Ia dikenali sebagai melanoma tersembunyi kerana berlaku di tempat yang tidak disangka oleh kebanyakan individu. 

    Jika melanoma dialami oleh mereka yang mempunyai kulit lebih gelap, ia sering kali wujud pada bahagian tersembunyi. 

    Ia termasuklah pada bahagian:

    # Melanoma di bawah kuku 

    Melanoma acral-lentiginous adalah bentuk melanoma yang jarang berlaku. Ia boleh ditemui di bawah kuku kaki atau kuku jari. Ia juga boleh ditemui di telapak tangan atau tapak kaki. 

    Individu daripada keturunan Asia, berkulit hitam dan mempunyai pigmen kulit gelap, selalunya mengalami barah kulit jenis ini. 

    # Melanoma di dalam mulut, saluran pencernaan, saluran kencing atau faraj

    Melanoma mukosa boleh berkembang pada selaput lendir yang melapisi hidung, mulut, tekak, dubur, saluran kencing dan faraj.

    Ia sukar untuk dikesan kerana sering dianggap sebagai 1 keadaan lain yang tidak berbahaya.

    # Melanoma pada mata

    Dikenali sebagai melanoma ocular. Biasanya berlaku pada bahagian uvea – lapisan di bawah putih mata (sclera).

    Jika berlaku pada mata, ia boleh menyebabkan perubahan pada penglihatan.

    Kesimpulan 

    Walaupun pertumbuhan bintik kecil itu tidak boleh dikawal, namun sekurang-kurangnya anda boleh mencegahnya.

    Hadkan pendedahan terhadap sinaran UV bagi mengurangkan risiko mendapat barah kulit melanoma.

    Dengan mengetahui tanda dan simptom melanoma boleh memastikan ia dapat dikesan dan dirawat sebelum merebak menjadi lebih kronik.

    Melanoma dapat dirawat dengan jayanya jika dikesan lebih awal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan