backup og meta

5 Kesan Puasa yang Perlu Anda Elakkan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    5 Kesan Puasa yang Perlu Anda Elakkan

    Banyak manfaat kesihatan dikaitkan dengan berpuasa, termasuklah mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kencing manis, kanser, hipertensi dan asma. Sebaliknya, beberapa kajian telah menyebut beberapa masalah kesihatan yang berkaitan dengan kesan puasa yang mungkin berlaku pada sesetengah orang yang berpuasa semasa bulan Ramadan.

    Puasa boleh memberi manfaat kepada kesihatan jika dilakukan dengan betul. Semasa berpuasa, anda dinasihatkan untuk mematuhi diet seimbang yang mengandungi bahagian buah dan sayur yang mencukupi, bijirin, kekacang, daging, ikan, susu, dan produk tenusu. Selain itu, anda perlu minum cecair yang mencukupi, seperti air, jus buah segar dan sup, untuk mengelakkan kesan dehidrasi.

    Kesan Berpuasa yang Perlu Anda Elakkan

    Kesan buruk berpuasa berlaku hanya jika anda tidak mengamalkan diet yang sihat dan mencukupi atau jika anda mempunyai masalah kesihatan sebelum berpuasa lagi dan memerlukan pengawasan lebih. Berikut adalah beberapa keadaan yang mungkin berlaku jika anda tidak berpuasa dengan betul dan cara untuk mengelakkannya:

    Kesan puasa 1: Anemia

    Berpuasa boleh mengurangkan kadar hemoglobin dalam darah, menyebabkan anemia.

    Pencegahan: Banyakkan memakan makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging merah, aprikot, kismis, kacang, kurma, bayam dan bawang putih. Zat besi dalam haiwan mungkin lebih mudah diserap badan. Makanan yang mengandungi Vitamin C seperti lemon dan tomato boleh membantu penyerapan zat besi dalam badan. Elakkan minum kopi dan teh sewaktu makan kerana minuman berkafein ini boleh mengurangkan penyerapan zat besi dalam badan. Begitu juga suplemen kalsium didapati menghalang penyerapan zat besi. Oleh itu, elakkan pengambilan suplemen kalsium dengan makanan sewaktu bulan puasa. Anda juga tidak digalakkan mengambil produk tenusu tinggi kalsium sewaktu waktu makan utama di bulan puasa.

    Kesan puasa 2: Sakit Kepala

    kesan puasa

    Statistik menunjukkan kekerapan lawatan ke bahagian kecemasan disebabkan sakit kepala lebih tinggi sewaktu bulan puasa berbanding waktu lain. Hal ini mungkin disebabkan simptom gian kopi dan hipoglisemia (kadar gula dalam darah rendah) yang boleh menyebabkan sakit kepala sewaktu berpuasa.

    Pencegahan: Pengurangan pengambilan teh atau kopi 1-2 minggu sebelum Ramadan dan minum satu cawan kopi pekat sewaktu sahur mungkin mengurangkan sakit kepala disebabkan gian kopi. Sementara pengambilan makanan dengan Glisemik Indek rendah boleh membantu mengurangkan sakit kepala disebabkan hipoglisemia. Elakkan dehidrasi sewaktu berpuasa juga boleh mencegah sakit kepala.

    Kesan puasa 3: Pedih Hulu Hati

    Bagi individu yang mempunyai masalah pedih hulu hati, pengambilan makanan yang bergoreng dan berlemak dengan banyak terutamanya sewaktu berbuka boleh meningkatkan risiko pedih hulu hati dan masalah refluks gastroesofagus (GERD)

    Pencegahan: Elakkan makanan berlemak dan berminyak. Simptom pedih hulu hati juga boleh dikurangkan dengan mengurangkan pengambilan makanan pedas dan minuman berkafein. Selain itu, elakkan berbaring selepas berbuka atau sahur.

    Kesan puasa 4: Sembelit

    kesan puasa

    Perubahan diet dan pengurangan aktiviti fizikal boleh menyebabkan masalah membuang air besar. Begitu juga pengurangan pengambilan air.

    Pencegahan: Banyakkan makanan tinggi fiber dalam diet, lakukan senaman ringan dan pastikan anda mengambil cecair secukupnya sama ada dalam minuman, sup, jus buah-buahan dan sebagainya.

    Kesan puasa 5: Dehidrasi

    Memandangkan berpuasa melibatkan larangan pengambilan makanan dan minuman, dehidrasi boleh berlaku jika anda tidak membekalkan diri dengan cecair yang mencukupi.

    Pencegahan: Minum sekurang-kurangnya 1-1.5 liter air selepas berbuka dan sebelum tidur. Elakkan minuman berkafein (termasuklah minuman tenaga) memandangkan kafein meningkatkan kuantiti air yang keluar daripada badan kerana kesan diuretiknya. Anda juga boleh mendapatkan cecair daripada jus buah, sup, buh-buahan tinggi kandungan air (tembikai, beri, anggur, pic) dan sayur-sayuran (tomato, salad).

    Kurang Kualiti Tidur

    Kualiti tidur mungkin berkurang dalam individu yang berpuasa disebabkan peningkatan suhu badan disebabkan kesan termogenik waktu makan yang dilewatkan.

    Pencegahan: Kualiti tidur boleh ditingkatkan dengan berwudhu sebelum tidur. Elakkan juga lampu artifisial yang mengganggu ritma sirkadian badan sebaliknya pilih cahaya matahari dan aktiviti fizikal serta sosial. Alat elektronik seperti telefon bimbit, tablet dan laptop perlu dijauhi di bilik tidur.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan