backup og meta

Alamak, Minum Teh Herba Boleh Buatkan Usus Hitam! Bahaya Ke Untuk Kesihatan?

Alamak, Minum Teh Herba Boleh Buatkan Usus Hitam! Bahaya Ke Untuk Kesihatan?

Pernahkah anda dengar mengenai penyakit yang bernama melanosis coli? Melanosis coli merupakan satu kondisi yang menandakan terdapatnya penyahwarnaan pada kawasan usus besar. Ini bermaksud, penghidap kondisi ini akan mengalami usus hitam dipercayai disebabkan pengambilan makanan tertentu!

Selalunya, kondisi ini berlaku disebabkan penggunaan julap (laxative) yang kronik. Walau bagaimanapun, kondisi ini selalunya tidak kekal lama dan boleh kembali normal jika pengambilan julap dikurangkan.

Mengapa melanosis coli berlaku?

Melanosis coli selalunya berlaku kepada pesakit yang mengalami sembelit yang teruk dan kerap menggunakan julap untuk meredakan simptom yang mereka alami.

Walau bagaimanapun, penggunaan teh atau jus detoks yang mengandungi sejenis kompaun yang bernama anthrquinone juga boleh menyebabkan usus besar menjadi hitam.

Pengambilan teh herba terutamanya teh aloe vera, saffron, dan buckthorn juga berisiko untuk menyebabkan melanosis coli. Kesemua teh herba ini mengandungi anthrquinone di dalam ramuannya. 

Untuk pengetahuan anda, usus akan menjadi hitam seawal 4 bulan selepas penggunaan teh herba atau jus detoks. Ngeri bukan!

Namun, melanosis coli merupakan satu keadaan yang tidak berbahaya. Hingga hari ini, tidak ada sebarang bukti bahawa melanosis coli dapat meningkatkan risiko kanser usus.

Malah, penyahwarnaan yang berlaku juga masih menjadi misteri bagi pakar.

Penyakit ini selalunya didiagnosis dalam kalangan wanita.

Berbanding lelaki, kaum Hawa mempunyai risiko sebanyak 3 kali ganda untuk mengalami sembelit. Malah, wanita juga selalu mengalami sembelit ketika mereka datang bulan.

Malahan juga, kaum Hawalah yang sering mengamalkan pengambilan teh herba dan jus detoks dengan alasan ingin kurus tanpa menyelidiki bahan-bahannya terlebih dahulu.

Usus hitam dan kaitannya dengan kanser

usus hitam

Seperti yang dijelaskan sebentar tadi, melanosis coli atau usus hitam merupakan satu keadaan yang tidak berbahaya (benign).

Malah, kajian yang dilakukan juga tidak dapat menemui kaitan di antara kanser usus dan juga melanosis coli.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1997, U.S. Food and Drug Administration (FDA) telah mengharamkan penggunaan anthraquinone phenolphthalein di dalam julap yang boleh dibeli secara over-the-counter.

Menurut FDA, penggunaan julap dalam satu jangka masa panjang boleh menyebabkan kanser. 

Pada waktu tersebut, terdapat bukti bahawa penggunaan julap yang berpanjangan boleh menyebabkan tumor pada haiwan.

Sama jugalah dengan sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2011. Mereka mendapati melanosis coli dalam kalangan pesakit kanser kolon semakin bertambah apabila pesakit menjadi semakin berusia. 

Walau bagaimanapun, tiada melanosis dijumpai di dalam tumor pesakit tersebut.

Sebenarnya, kajian telah mendapati bahawa wujudnya hubungan di antara sembelit dan juga kanser kolon. Namun, penyebabnya tidak dapat dikenal pasti.

Hingga hari ini, tidak ada rawatan untuk melanosis coli.

Walau bagaimanapun, pesakit yang menghidap kondisi ini mungkin perlu menjauhkan diri daripada mengambil sebarang makanan yang mengandungi julap.  

Selalunya, usus besar akan kembali normal dalam masa 6 hingga 12 bulan.

Tak mahu usus hitam? Tinggalkan jus detoks!

usus hitam

Sebenarnya, ada banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan usus menjadi hitam. Pertama sekali, pastikan anda tidak lagi mengambil jus detoks atau teh herba.

Kedua-dua minuman ini bukan sahaja akan membuatkan usus menjadi hitam, keberkesanan serta kesannya terhadap kesihatan juga tidak dapat dipastikan.

Jika anda sering mengalami sembelit, ada pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya. Selalunya, perubahan dari segi gaya hidup sudah mencukupi untuk memastikan perut anda tidak sakit lagi.

Sebagai contoh, anda boleh: 

  1. Meningkatkan pengambilan serat. Pastikan anda mengambil makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Semua makanan ini dapat membantu anda untuk mengelakkan sembelit.
  2. Bersenam dengan mencukupi. Senaman yang kerap dapat memudahkan pergerakan tinja pada bahagian usus besar.
  3. Minum lebih banyak air. Sasarkan 8 gelas air sehari dan elakkan mengambil kopi atau teh yang mengandungi kafein.
  4. Pergi ke tandas apabila anda rasa hendak membuang air besar. Jangan sesekali tahan lama-lama!
  5. Cuba untuk mengawal stres.
  6. Pastikan anda mempunyai jadual untuk membuang air, terutamanya selepas makan.

Jika anda telah melakukan semua perkara di atas tapi masih mengalami sembelit, masalah anda mungkin tergolong dalam kumpulan kronik.

Bergantung kepada punca sembelit yang dialami, anda mungkin perlukan terapi fizikal untuk merawat masalah ini.

Pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor dapat memberikan anda rawatan yang bersesuaian dengan kondisi yang anda alami.

Kesimpulan

usus hitam

Pengambilan teh herba dan jus detoks bukan sahaja akan membuatkan usus besar menjadi hitam, ia juga mungkin tidak sihat untuk badan anda jika diambil dalam tempoh masa yang panjang.

Elakkan terpedaya dengan muslihat peniaga di laman sosial. Pengambilan teh herba dan jus detoks tidak akan membuatkan anda menjadi kurus.

Sebaliknya, pengambilan makanan yang sihat dan senaman yang kerap sudah cukup untuk membawa perubahan yang positif terhadap kesihatan dan bentuk tubuh badan anda.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Biernacka-wawrzonek, D, M Stępka, and A Tomaszewska. 2017. “Melanosis coli in patients with colon cancer.” Prz Gastroenterol 22-27.
  2. Gocke, Aylin Hande, and Feridun Suat Gocke. 2018. “Prognosis in Patients with Melanosis Coli; A Prospective Study.” Original Investigatio 198-201.
  3. Johns Hopkins Medicine. n.d. Constipation: Causes and Prevention Tips. Accessed April 8, 2021. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/constipation-causes-and-prevention-tips.
  4. Liu, Zhong Hui, Dominic Chi Chung Foo, Wai Lun Law, and Fion Siu Yin, Fan, Joe King Man Chan. 2017. “Melanosis coli: Harmless pigmentation? A case-control retrospective study of 657 cases.” PLOS ONE.
  5. Mayo Clinic. 2019. Constipation. June 29. Accessed April 4, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/constipation/symptoms-causes/syc-20354253.

Versi Terbaru

23/09/2021

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Masalah Radang & Rengsa Usus Berbeza, Kenal Pasti Simptom Dulu Baru Boleh Rawat!

Elak Serangan Jantung Kali Kedua Dengan Amalkan 9 Makanan Ini, Ada 4 Diet Khusus Juga!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 23/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan